"Mila bukan orang senang. Jadi Mila kena kerja keras untuk membina kehidupan Mila sekeluarga," katanya.
Mengulas mengenai kemenangannya sebagai juara pertama AF di kalangan seorang wanita dan desus-desus mendakwa Astro seolah-olah memberinya laluan mudah kepadanya, Mila menyangkal pendapat itu.
Dia memberitahu, ketika dalam AF, dia bersama rakan-rakan diberi peluang memilih lagu sendiri untuk konsert setiap minggu.
"Kalau Mila tahu kemenangan ini satu rancangan Astro, tak perlulah Mila belajar bersungguh-sungguh. Mila masuk AF dengan zero knowledge, tapi berkat kegigihan, hari ini Mila dah ada sedikit ilmu.
Sepanjang tempoh pembelajaran, Mila kerja keras, berfikiran positif dan semua perkara boleh dilakukan kalau ada usaha berterusan.
"Dengan kemenangan ini, ia memperlihatkan pengundi lelaki mahupun perempuan semakin setara, sekali gus memecah monopoli tanggapan yang mengatakan hanya peminat perempuan yang rajin mengundi pelajar lelaki.
"Alhamdulillah, berkat usaha, hari ini sudah menampakkan hasilnya. Mila berjaya membuktikan, kaum perempuan juga boleh mendapat tempat dalam AF," kata Mila yang sentiasa merendah diri dan kalimah insya-Allah selalu terucap di bibirnya.
Perasaan Mila bergelar juara?
"Juara hanyalah pada nama dan gelaran. Inilah permulaan sebenar kerjaya seni Mila. Semuanya dah berada dalam dunia realiti, bukan lagi fantasi. Jadual kerja Mila semakin padat. Dalam hal ini, tak ada apa yang perlu Mila kesalkan kerana inilah jalan yang sudah Mila pilih. Sekarang masa untuk kerja keras memperbaiki mutu persembahan," katanya bersungguh-sungguh.
Pengalaman cinta Mila?
"Mila mengaku Mila pernah bercinta dengan seseorang sebelum Mila menyanyi di Hotel Evergreen dulu. Tapi percintaan kami hanya bertahan kira-kira enam bulan saja. Sekarang, masa dah mula membatasi segala-galanya. Mila kena buat banyak pengorbanan kalau mahu berjaya sebagai artis.
"Mila tak boleh memikirkan lagi soal hati. Cinta sebenar Mila adalah lebih kepada membina kerjaya. Mila berazam nak berjaya, nak bantu keluarga.
"Pada kesempatan ini, Mila juga ingin ucapkan sekali lagi terima kasih kepada semua pengundi Mila yang tidak jemujemu menyokong Mila dalam AF5. Insya-Allah, Mila akan ingat pesanan orang di sekeliling yang banyak memberikan semangat kepada Mila," ujarnya menyimpul kata.