AGAK memeranjatkan apabila mengetahui bekas tunang Mawi, Nor Diana Mohd. Naim atau lebih dikenali sebagai Ina Naim, 23, sudah pun mengikat tali pertunangan dengan bekas anggota kumpulan In-Team, Mohd. Suhaimi Saad, 27, pada 6 Jun lalu.
Dalam majlis itu juga, Ina menerima hantaran sebanyak RM 10,000.
Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba dunia hiburan digemparkan dengan berita itu. Malah, berita itu mula tersebar luas dari sebuah laman web sehari selepas majlis pertunangan tersebut. Bukankah sebelum ini, Ina sudah berjanji akan mengumumkan majlis pertunangan dan pernikahannya kepada pihak media?
Bertempat di pejabat urusan Hijjaz Records Sdn. Bhd, (HRSB) pada 11 Jun lalu, Ina Naim dan tunangnya tampil memberikan penjelasan yang sebenar berhubung majlis pertunangan yang didakwa berlaku dalam keadaan mengejut itu.
“Memang benar. Sebenarnya tiada sebarang perancangan yang dilakukan. Tujuan asalnya adalah untuk melawat keluarga Ina di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi dan berkenalan dengan keluarganya.
“Malam sebelum ke rumah Ina, kedua orang tua saya berkata mereka akan merisik dan terus meminang. Jadi, saya maklumkan kepada Ina. Malah, barang hantaran semuanya kami beli dalam perjalanan ke rumah Ina,” jelas Suhaimi.
Ina juga menjelaskan apabila dimaklumkan keadaan itu, dia dan keluarganya membuat persiapan sebaik mungkin dengan pertolongan jiran terdekat.
Apabila ditanya apakah keistimewaan Suhaimi sehingga menyebabkan dia terbuka hati untuk menerima lamarannya, Ina menjelaskan pegangan agama yang tinggi dimiliki tunangnya itu membuatkan dia yakin dengan pilihannya itu.
“Suhaimi begitu baik, sopan santun dan mempunyai pendidikan agama yang baik sehingga saya sendiri berasa malu. Malah, Suhaimi juga mempunyai ciri-ciri suami idaman saya. Saya percaya dia mampu membimbing saya menjadi isteri yang solehah apabila berkahwin kelak,” jelas Ina tersipu malu sambil memandang ke arah Suhaimi.
“Suhaimi yang membimbing dan menjaga vokal saya untuk pertandingan itu. Memang pada mulanya kami kenal, tiada perasaan apa-apa. Lama-kelamaan perasaan itu timbul tetapi masing-masing takut untuk meluahkan,” kata Ina disambut ketawa kecil.
Bagi Suhaimi pula, dia memilih Ina bukan atas dasar kasihan tetapi kagum dengan semangat dan kecekalan yang ditonjolkan oleh wanita itu.