DUA pelakon veteran mendapat penghargaan yang amat bermakna daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sempena ulang tahun keputeraan baginda pada 2 Jun lalu.
Seniman Aziz Sattar atau nama sebenarnya Abdol Azez Satta, 82, dikurniakan pingat Panglima Jasa Negara (PJN) membawa gelaran Datuk.
Sementara seniman Datuk Jins Shamsuddin dikurniakan pingat Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.
Tentunya Aziz Satar amat terharu dengan kurniaan buatnya itu kerana tidak menyangka jasanya selama 50 tahun menjadi artis dihargai oleh kerajaan.
Aziz Satar yang mula mencipta nama menerusi filem pertamanya Putus Harapan pada tahun 1953, cukup diminati melalui karakternya yang dianggap sebagai ‘pak lawak’
Lakonan beliau dengan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dalam filem Bujang Lapok memang meninggalkan kesan kepada penonton.
Dengan kurniaan darjah kebesaran itu, tentunya para artis dan karyawan seni turut tumpang berbangga kerana golongan seperti mereka tidak dilupakan oleh negara. Tahniah Datuk, Tan Sri.