Tuesday, August 7, 2007

Apek lebih selesa bertiga

BIARPUN sudah popular dan mampu bergerak sendirian tetapi pelawak nombor satu negara, Saiful Apek lebih senang bergerak secara berkumpulan.

Bukan tidak yakin berlawak bersendirian atau mahu meniru kumpulan pelawak yang sedia ada seperti Senario, tetapi Apek mempunyai sebab lain mengapa dia kini lebih senang bergerak bersama dua teman baiknya iaitu Yasin dan Bob KU2.

“Untuk menghasilkan sebuah komedi yang berkesan, formula paling baik ialah berkumpulan. Lantas saya senang bergerak bersama-sama mereka berdua. Tambahan pula mereka ini merupakan rakan kongsi dalam syarikat saya Gitu-Gitu Production. Kami dah bersama sejak tahun 2001 malah kami dah macam adik beradik,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program televisyen Gitu-Gitu Apek musim kedua di Damansara, baru-baru ini.

Gitu-Gitu Apek akan bersiaran setiap Rabu pukul 9.30 malam di Astro Ria selama 26 episod.

“Paling penting antara kami mempunyai keserasian. Lebih mudah untuk kita bekerja dan berhubung. Tapi saya harap jangan ada yang salah faham dan ingat saya ingin melawan Senario. Mereka pun kini dah bertiga. Tak terlintas dalam hati saya. Cuma saya mahu menjelaskan yang kini saya selesa bergerak secara berkumpulan,” katanya.
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR