Linda Onn mahu menggayakan pakaian yang pernah mengundang kontroversi
AWAL tahun ini, dunia hiburan tempatan kecoh seketika apabila penyampai radio wanita popular, Linda Onn, tidak muncul di kaca televisyen mengendalikan acara permaidani merah Anugerah Academy ke-79 untuk Star Movies. Alih-alih, program itu hanya menyaksikan kelibat VJ Channel V, Dominic Lau.
Satu Malaysia kini sudah tahu cerita di sebalik "kehilangan" Linda daripada acara berkenaan. Isu pakaian membabitkan dua pereka tempatan, Jovian Mandagie dan Radzuan Radziwill dikatakan menjadi alasan mengapa selebriti jelita itu gagal muncul di kaca TV pada acara gilang-gemilang berkenaan.
Linda dikatakan diarah pihak tertentu untuk memakai pakaian rekaan Radzuan yang tiba beberapa ketika sebelum latihan bermula. Personaliti itu menolak untuk mengenakan busana terbabit atas alasan ia agak seksi dan dia sendiri tidak pernah mencubanya sebelum ini. Sebaliknya Linda sudah pun menempah kebaya moden daripada Jovian, yang berharga RM7,000 untuk menjayakan program itu!
Lupakan saja episod kelabu itu kerana kehidupan perlu diteruskan. Linda sendiri kini kembali aktif menceriakan pendengar radio dengan celotehnya di saluran kesukaan ramai, Era. Namun, rentetan peristiwa terbabit, tidak dinafikan ramai peminat seni hiburan yang ingin sekali menyaksikan Linda mengenakan rekaan pereka berusia awal 20-an itu.
Jovian sendiri, dengar khabarnya, bekerja keras untuk menyiapkan busana ini. Malah Linda sendiri pernah berkata, suatu hari, dia akan memakai juga pakaian yang mencetus kontroversi. Nampaknya, impian peminat untuk menatap rekaan popular itu akan tiba seawal-awalnya pada Anugerah Era 2007 (AE’07) yang bakal berlangsung di Genting Highlands pada 8 September depan.