TAHUN lalu Ella berhadapan dengan cerita mengejutkan mengatakan dia hendak mengakhiri zaman bujangnya. Hampir setahun berita itu berlalu, kisah perkahwinan Ella akhirnya senyap begitu sahaja.
Bagaimanapun bukannya cerita perkahwinan yang semakin senyap itu diperkatakan semula sebaliknya bertambah sensasi apabila isu kononnya Ella dan kakaknya Jojie melakukan perbuatan yang tidak senonoh.
Mereka dikatakan beraksi di dalam sebuah kapal dan dirakamkan menerusi kamera telefon bimbit. Berita yang belum tentu kebenarannya itu tersebar luas sehingga menyebabkan kedua-dua beradik tersebut mengambil langkah membuat laporan polis.
Ella dan Jojie mendakwa mereka sebenarnya difitnah oleh orang yang cuba untuk menjatuhkan kerjaya mereka. Malah kedua-dua beradik itu mengakui mereka terkejut dan sedih dengan apa yang dilemparkan itu.
Yang pasti Jojie mahu mencari dalang yang menyebarkan berita tak baik itu sehingga ke lubang cacing.
“Saya memang kecewa dengan orang yang sengaja memfitnah kami dan saya berjanji nak cari sampai dapat dan mengheret dia ke mahkamah,’’ kata Jojie.
Menurut Jojie, dia menyedari berita itu selepas mendapat kiriman pesanan ringkas (SMS) daripada peminat yang ingin mengetahui kesahihan berita tersebut.
Pada mulanya Jojie dan Ella hanya ketawa dengan dakwaan sedemikian tetapi apabila cerita itu menjadi semakin hangat, mereka tiada pilihan lain sebaliknya membuat laporan polis agar orang yang bertanggungjawab menyebarkan rakaman tak senonoh itu menerusi internet dapat ditangkap.
Pihak polis sudah mengambil keterangan dan kedua beradik itu sudah memberi kerjasama terbaik untuk memastikan perkara berkenaan dapat diselesaikan secepat mungkin.
“Memang kami tak sabar nak tengok muka orang yang menuduh kami melakukan perbuatan itu. Saya percaya terhadap kecekapan pihak polis untuk menyiasat,” katanya.
Selain sakit hati dengan kejadian itu, mereka juga sedih apabila isu berkenaan turut memberi tekanan kepada ibu mereka. Manakan tidak boleh dikatakan setiap hari ada saja orang termasuklah jiran-jiran yang datang bertanyakan pekara itu.
Kata Jojie, ibunya sudah pening kepala dan kadangkala kesihatannya terganggu walaupun menyedari apa yang berlaku itu sebenarnya fitnah.
“Setiap hari kami perlu bercakap perkara yang sama kepada banyak orang. Sehinggakan ibu saya pun kadangkala merungut tak larat nak jawab pertanyaan sedemikian. Langkah yang paling baik saya rasa buat saja laporan polis,” ujarnya.
Jelas Jojie, dia berada pada kedudukan benar dan tidak malu untuk memberi bantuan kepada pihak berkuasa untuk menyiasatnya.
*Jangan pandang serong
Jojie yang turut kecewa dengan apa yang terjadi ke atasnya dan Ella itu berharap orang ramai tidak memandang serong terhadapnya dan Ella. Malah dia kecewa kebanyakan orang suka memberi hukuman sendiri terutama sekali jika melibatkan masyarakat artis.
Katanya, golongan seperti mereka juga berbuat baik tetapi tidak semua kebaikan itu dihebahkan kepada umum sebaliknya cukuplah menjadi rahsia diri.
“Bukannya kami nak menunjuk tetapi secara jujurnya kami selalu juga membuat kebajikan tetapi kami tidak mengambil langkah untuk menceritakannya di akhbar.
“Kepada yang tahu tu, tahulah tetapi janganlah anggap golongan macam kami khususnya artis tidak tahu untuk buat baik,” kata Jojie.
Sumber : Utusan