Perkahwinan vokalis Lefthanded, Nasharuddin Elias atau Nash, 47, dengan pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages, Sosilawati Lawiya, 43, baru berusia 10 bulan tetapi dikatakan sudah bergolak.Sosilawati yang mendirikan rumah tangga dengan Nash awal Disember lalu, memfailkan permohonan cerai melalui peguamnya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, minggu lalu.Ketika dihubungi Harian Metro semalam berhubung keretakan rumah tangga mereka yang dikatakan bermasalah, usahawan wanita terkenal itu mengesahkan dia sudah memfailkan permohanan cerai dan hanya menunggu sebutan kes terbabit.
Katanya, perkahwinan dengan Nash yang berusia 10 bulan tidak mampu dipertahankan biarpun pada Ramadan yang mulia ini berikutan tiada lagi keserasian.
"Saya sudah berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik supaya rumah tangga yang kami bina kekal hingga akhir hayat.
"Saya tidak boleh mendedahkan semuanya selagi pihak mahkamah masih belum memutuskannya. Cuma apa yang boleh saya katakan, semua ini banyak menguji ketabahan diri saya. Saya reda dengan apa yang berlaku," katanya.Sepanjang perkahwinan itu, menurut Sosilawati, dia berusaha mengambil hati semua pihak supaya tidak mahu gagal dalam perkahwinan kali keduanya."Namun, jika takdir sudah menentukan saya kembali hidup sendiri, ia ketentuan Tuhan," katanya dengan nada sedih.
Dia menjelaskan, bagi sesetengah orang tindakan itu mungkin sesuatu yang tidak kena pada masanya."Lagipun usia perkahwinan kami terlalu baru dan ada yang menyifatkan ia keterlaluan," katanya.Sebagai isteri, katanya, dia sudah lakukan yang terbaik demi menyelamatkan keadaan dan menjaga nama baik semua pihak.Nash dan Sosilawati diijabkabul di kediaman pengantin perempuan di Batu Pahat, Johor pada 17 November tahun lalu, disusuli empat majlis resepsi.Dalam satu daripada majlis resepsi di Hotel Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan, untuk sanak-saudara, rakan niaga, teman artis, pihak media serta peminat, Nash menyanyikan lagu Ku Di Halaman Rindu dan Kenangan Bersamamu bagi menjadi saksi betapa romantisnya penyanyi itu terhadap isteri yang baru dinikahinya.
Sambil merenung wajah Sosilawati yang kelihatan malu-malu di atas pelamin, Nash dengan yakin mengalunkan bait demi bait lirik lagu itu dengan penuh penghayatan sambil mencium tangan isterinya yang cukup anggun berkebaya moden rona putih berserta layah daripada warna yang sama."Sayang, saya tujukan lagu ini untuk awak," itulah kata-kata yang keluar daripada mulut Nash membuatkan hadirin yang hadir bertepuk tangan sebagai tanda sokongan.Nyanyian penuh syahdu itu diiringi anggota asal kumpulan Lefthanded seperti Man Kidal dan Yan.Nash menerusi perkahwinan terdahulu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Fareena Nasha, 18, Najeeha Nasha, 16, Mohd Shameer Nasha, 11, dan seorang anak angkat, Jasmin Hanis Nasha, 9.Sosilawati pula dikurniakan enam anak iaitu Erni Dekritawati Yuliana, 21, Erwan Suwari Ridzuan, 20, Md Erwan Nasri, 19, Erni Erinawati Sofia, 17, Erni Reenilawati, 16, dan Siti Nur Fatimah, 9.
Sumber : Metro