Monday, September 10, 2007

Keunikan Tashya bernilai RM100,000


DIA bukanlah calon kegemaran untuk menjadi juara namun keunikan serta imejnya membawa tuah bagi Hamiza Tasha Basyir atau Tashya, 20, untuk menjadi juara pertama dalam pertandingan realiti TV, MyStarz LG terbitan TV3 dan ntv7 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad lalu.
Ini diakui sendiri oleh salah seorang juri jemputan pada pertandingan akhir itu iaitu komposer terkenal, Azmeer yang mengakui Tashya mempunyai kriteria yang secukupnya untuk dijulang sebagai juara.
“Jika kita lihat dalam senario industri muzik tanah air sekarang ini, tiada seorang pun penyanyi wanita yang mempunyai imej, personaliti serta muzik yang dibawa oleh Tashya. Saya kira dia mempunyai pakej yang lengkap untuk muncul sebagai juara.
“Kemenangan Tashya juga adalah kerana dia bijak memilih lagu yang sesuai dengan dirinya dan dapat dilihat dengan jelas dia selesa ketika membuat persembahan. Ini secara tidak langsung dapat menutup kelemahannya,” kata Azmeer pada sidang media selepas berakhirnya pertandingan tersebut.
Jika melihatkan pada persembahan Tashya dari bermulanya pertandingan ini sehinggalah ke peringkat akhir, Tashya dilihat begitu selesa dan sering membawakan lagu-lagu penyanyi lelaki dan tidak pernah membawa lagu penyanyi wanita.
“Secara jujurnya, saya begitu selesa membawakan lagu lelaki kerana ia serasi dan sesuai dengan vokal saya. Terus-terang saya katakan, vokal saya bukan untuk lagu melankolik dan sentimental serta yang mendayu-dayu. Penyanyi yang membawakan lagu seperti itu sudah ada. Jadi, kehadiran saya ini, hanyalah untuk mewarnai industri hiburan tanah air,” jelas Tashya bersungguh.
Pada pertandingan akhir itu, Tashya membawakan lagu popular M. Nasir, Mentera Semerah Padi serta berduet bersama Reshmonu untuk lagu Harder To Breath.
Mengenai imejnya yang ala lelaki pula, Tashya menjelaskan, dia tidak mahu memikirkan persepsi orang terhadapnya tetapi sebaliknya, dia jujur dengan dirinya dan mahu mempunyai identiti sendiri.
“Saya tahu bila saya berimej begini orang akan fikir saya ini tomboy atau `pengkid’ tetapi inilah imej saya dari dulu dan saya berasa selesa begini. Apa yang penting, saya mempunyai imej tersendiri untuk diperkenalkan kepada umum,” kata anak bongsu daripada lima beradik ini.
Mengenai wang kemenangannya sebanyak RM100,000 itu pula, dia bercadang menggunakan sebahagian daripada wang itu untuk membina sebuah studio kecil yang menjadi impiannya sejak dulu.
Malah Tashya juga membawa pulang sebuah televisyen LCD berjenama LG berukuran 42 inci serta kontrak rakaman album dengan sebuah syarikat rakaman yang akan diumumkan kelak.
Kemenangan Tashya itu sekali gus melenyapkan impian calon kegemaran, Badri Ibrahim atau Badri, 28, untuk muncul sebagai juara meskipun menampilkan persembahan yang menghiburkan.
Kata Badri: “Tipulah kalau saya kata saya tidak kecewa tidak menjuarai pertandingan ini, namun saya percaya pada rezeki. Malah, kejayaan saya hari ini adalah usaha isteri tercinta, Atina Awang yang banyak menyokong dan memberi semangat kepada saya selama ini.”
Badri juga menolak persepsi lapuk mengenai statusnya sebagai suami menghalang dirinya daripada muncul sebagai juara.
“Itu semua tidak betul dan peminat hari ini sudah bijak menilai bakat seseorang penyanyi itu. Saya mengambil contoh Faizal Tahir yang sudah berkahwin dan menjadi bapa kepada dua orang anak. Dia masih diterima kerana bakatnya itu dan bukan statusnya,” jelas Badri.
Gelaran naib juara melayakkan Badri menerima wang tunai RM20,000 serta sebuah televisyen LCD berjenama LG berukuran 32 inci.
Persembahan Badri pada petang itu sememangnya menggamit perasaan penonton apabila menyampaikan lagu tema filem Cinta, Perpisahan. Malah, apabila dia muncul berduet bersama Raja Gelek Malaysia, Datuk M.Daud Kilau menerusi lagu Gila Judi dan Cik Mek Molek, penonton di dewan bagaikan terkena histeria dengan persembahannya.
Peserta lain yang membuat persembahan adalah Rubisa untuk lagu Cinta dan medley, Di Dadaku Ada Kamu dan Mimpi Pun Sama, Rachel (Awan Yang Terpilu dan Satu Harapan) serta Ijam (Khayalan dan Jangan Ada Benci).
Sistem pemarkahan MyStarz LG berasaskan 60 peratus daripada juri profesional yang terdiri daripada Datuk Siti Nurhaliza, Azmeer, Patrick Teoh serta Darren Choy manakala selebihnya adalah undian peminat menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan talian tetap.
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR