SEJAK bergelar isteri, kehadiran Datuk Siti Nurhaliza dilihat ada di mana-mana sebagaimana lagu dari album Transkripsi, Siti Situ Sana Sini sampaikan dalam satu majlis pelancaran sebuah restoran nasi ayam, baru-baru ini, gambarnya memotong ayam menjadi tumpuan.Siti dikatakan menjaja kehidupan peribadi untuk meraih publisiti. Bermula sidang media mengumumkan berita pertunangannya, menjual hak eksklusif majlis perkahwinannya kepada stesen televisyen untuk menyiarkan majlisnya secara langsung. Malah, ada program khas paparkan percintaan dan perkenalannya dengan suami, Datuk Khalid Mohd Jiwa.
Begitu juga majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-28 pada Januari lalu diikuti ulang tahun pertama perkahwinannya, baru-baru ini. Ini berbeza sebelum kahwin kerana Siti meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-25 dalam suasana meriah bersama media.Terbaru, Siti sudi menjadi artis undangan program Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) musim ke-10 yang memaparkannya menikmati hidangan bersama pengacaranya, Maria Tunku Sabri. Rakaman program berkenaan diadakan di Restoran MyThai, Starhill, Jalan Bukit Bintang.Apakah Siti kini tidak lagi mengawal penampilannya di khalayak ramai? Bagaimanapun, Siti mempunyai alasannya sendiri.
Katanya, dulu dia terlalu sibuk dengan jadual kerja hingga tiada masa terluang untuknya menghadiri majlis seperti itu.
"Dulu bukan saya tidak mahu, tetapi tiada masa. Sekarang saya agak lapang kerana tumpuan utama bukan lagi kerjaya tapi rumah tangga."Tidak timbul soal jaga eksklusif atau tidak kerana semuanya bergantung kepada kelapangan. Contohnya hadir di majlis pelancaran restoran nasi ayam. "Dulu saya pernah diajak, tetapi tiada kesempatan itu. Tapi baru-baru ini saya ada masa lapang, apa salahnya hadir. Ia juga sebagai tanda sokongan saya kepada rakan artis."Begitu juga menjayakan program Jalan-Jalan Cari Makan, mereka sudah cuba mengundang saya sebelum ini, tetapi baru kali ini berkesempatan," katanya ketika rakaman JJCM, baru-baru ini.
Siti yang tampil ringkas tengah hari itu berkata, apabila keutamaannya kini berubah dari kerjaya kepada keluarga, jadual waktunya memenuhi undangan menyanyi juga dikurangkan untuk memberi tumpuan kepada rumah tangga."Apabila ada masa lapang, saya cuba memenuhi semua undangan, hingga adakalanya saya menghadiri enam majlis dalam sehari pada satu hujung minggu. "Dulu apabila saya tidak dapat penuhi banyak undangan kerana sibuk, ada orang mengata. Sekarang apabila saya penuhi undangan, orang mengata juga. Apa boleh buat kerana saya tidak mampu menghalang orang daripada bercakap perkara ini," katanya.
Sementara itu, Maria mengakui pihaknya beberapa kali cuba mendapatkan Siti menjayakan program itu, tetapi baru kini berjaya. Katanya, semua itu juga kerana usaha penerbit, Nurhul Huda Khalid."JJCM musim ke-10 mempunyai konsep baru yang memberi tumpuan kepada restora menarik yang ada di pusat beli-belah di Lembah Klang. Kami juga tampilkan artis terkenal," katanya.Untuk rakaman di Restoran MyThai, Siti dan Maria menikmati hidangan istimewa seperti meng kam, udang galah masak asam dan stim ikan garupa.
JJCM yang disiarkan setiap Ahad, jam 6 petang sejak 9 September lalu menjalankan penggambaran bersama beberapa artis terkenal sebelum Ramadan dan akan disambung selepas raya. Sepanjang bulan puasa ini, mereka sibuk di studio untuk proses suntingan.Maria, 36, yang juga penerbit program ini berkata, sejak bersama JJCM selama sembilan tahun, dia rasa program berkenaan begitu bermakna dalam hidupnya.
Sumber : Metro