Wednesday, September 26, 2007

Tunang Sarah seronok laksana ibadat puasa

RAMADAN 1428 yang memberi kenangan paling manis buat penyanyi kecil molek, Siti Sarah Raissuddin sejak menjalin ikatan pertunangan jejaka kelahiran New Zealand, Muhammad Harith Fuad Robinson. Pengalaman yang agak menguji apatah lagi Ramadan ini adalah kali pertama Fuad menjalani Rukun Islam ketiga iaitu berpuasa sejak memeluk agama suci ini, akhir tahun lalu.

Ketika ditemui pada sesi rakaman Melodi Raya 2007 di Berjaya Times Square lapan hari selepas umat Islam berpuasa, Sarah yang hadir ditemani tunangannya meluahkan perasaan terharunya melihat kesungguhan Fuad menjalani ibadah wajib itu. "Dia langsung tidak mengeluh, sebaliknya banyak bersabar untuk menyempurnakan puasanya. Selepas lapan hari berpuasa, saya bersyukur kerana belum sehari pun dia meninggalkan tanggungjawab itu. "Ini pengalaman pertama Fuad berpuasa, seronok dia kerana selain dapat berdiet ibadah ini juga merehatkan perut selepas 11 bulan bekerja. Sempat dia memberitahu, dia memperoleh kelegaan sepanjang lebih seminggu berpuasa," kata artis periang itu.

Didorong keinginan Fuad yang mahu mendalami agama suci ini dengan ikhlas turut menggerakkan hati anak kepada artis popular era 80-an, Raissuddin Hamzah itu sama-sama mempelajari Islam. Seperti kata Fuad, dia berpuasa bukan kerana Sarah memaksanya melakukan ibadah itu. "Sebaliknya, saya melakukannya kerana ia menjadi ibadah wajib kepada umat Islam. Saya gembira kerana dapat menunaikan puasa tanpa sebarang masalah besar," katanya. Meskipun belum menetapkan bila mereka akan bersatu di jinjang pelamin, pasangan ini turut teruja menanti ketibaan fajar Syawal.

Bukan hanya kerana mahu meraikan Aidilfitri bersama, sebaliknya hari raya ini juga menjadi lebih bermakna apabila keluarga Fuad dari New Zealand akan mengunjungi Kuala Lumpur pada 15 Oktober ini. Apakah kunjungan itu bermakna tarikh perkahwinan mereka semakin dekat? Diusik pertanyaan itu, gadis keletah berusia 23 tahun ini berkata, buat masa ini dia masih belum bersedia untuk melangkah ke fasa baru dalam kehidupannya. Bagi Sarah, dia mahu menyempurnakan dulu cita-cita serta tanggungjawabnya dan apabila segala-galanya berakhir, baru dia bersedia untuk memikirkan soal rumah tangga.

"Saya meletakkan sekurang-kurangnya setahun lagi sebelum memberi kata persetujuan untuk berumahtangga. Namun, manusia hanya mampu merancang dan saya berserah jika takdir menetapkan jodoh kami tiba lebih awal," katanya.
Sesekali bersenda dan mengusik Sarah yang menurut Fuad, kuat berceloteh serta suka menyakat menyerlahkan kebahagiaan yang menghuni sudut hati mereka.

Sertai One In A Million

PERNAH melahirkan tiga album ketika menaungi syarikat rakaman NAR Records, Sarah berharap kehadiran Ramadan membawa keberkatan dalam hidupnya lantas menyerlahkan semula karier seninya. Lantaran itu juga, Sarah memberanikan diri untuk menyertai program realiti, One In A Million (OIAM). Musim pertama program itu menyaksikan penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak Dayang Nurfaizah mencuba nasibnya untuk merebut hadiah lumayan yang ditawarkan RM1 juta. Malangnya, impian besar Dayang itu musnah selangkah sebelum ke pertandingan akhir. Kegagalan Dayang menempatkan diri pada final OIAM musim pertama tidak menakutkan Sarah untuk mencuba nasibnya pada musim kedua program itu.

Berjaya tersenarai dalam Top 80, Sarah mencabar dirinya untuk membuktikan bakat besarnya membawa penyanyi ini melangkah ke tahap yang lebih tinggi. Mengakui menyertai pertandingan realiti mengundang kebaikan dan keburukan, Sarah berkata, dia akan cuba memberikan yang terbaik untuk memenangi undian peminat. "Saya tahu ia bukan usaha yang mudah namun saya sudah memikirkan semasak-masaknya apabila bersetuju menyertai pertandingan ini. Alhamdulillah, saya mendapat kekuatan daripada dorongan tunang juga keluarga tercinta. "Jika saya terlalu memikirkan sesuatu yang negatif, saya tidak akan melangkah ke mana-mana. Saya hanya mahu memandang ke depan.

Andai saya terlalu mengikut telunjuk orang, sampai bila pun saya tidak akan berjaya. "Justeru, saya hanya berserah dan berusaha untuk membuktikan saya juga mampu melakukan sesuatu untuk menaikkan lagi semangat dalam karier yang semakin mencabar," katanya. Seperti kata Dayang, persediaan mental dan fizikal adalah perlu kerana pertandingan itu sangat mencabar, Sarah berharap Tuhan memberikannya kekuatan untuk menempuh segala halangan yang bakal menanti.

PROFIL: Siti Sarah Raissuddin
Tarikh Lahir: 15 September 1984
Pencapaian: Artis Baru Terbaik, Album Pop Terbaik dan Album Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM 2003).
Sarah juga mendapat dua lagi pengiktirafan pada acara Anugerah Planet Muzik 2003 (APM2003) iaitu Artis Wanita Popular dan Artis Wanita Terbaik Album:
Sarah (2002)
Mimpi Pun Sama (2003)
Tiada Dikau Tiada Makna (2005)

Sumber : Berita Harian
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR