SUKAR untuk percaya bahawa penyanyi yang terkenal membawakan lagu world music ini baru saja putus cinta. Bukannya apa, riak wajahnya yang sentiasa mengukir senyuman dan canda tawa sepanjang menjalani sesi fotografi membuatkan hati tertanya-tanya apakah dia sekadar bergurau atau memang serius. Namun, bagi Waheeda kisah kasih tidak kesampaian antara dia dan pemuda berdarah Arab yang ingin dikenali sebagai 'H' itu bukanlah sebuah cerita dongeng. Hanya kerana tidak sekufu, cinta suci antara dua jiwa ini tidak direstui keluarga sebelah pihak lelaki.
"Ya, kami terpaksa berpisah kerana halangan keluarga. Keluarganya mahu menjodohkannya dengan wanita yang sama keturunan dengannya. Masa mula-mula putus cinta tu memang kecewa sangat tapi apabila memikirkan mungkin antara kami tiada jodoh, saya menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka," ujar Waheeda dalam satu pertemuan dengan Hip, baru-baru ini. Namun, katanya walaupun ikatan murni itu terlerai di pertengahan jalan, dia dan lelaki itu tidak pernah bermusuhan. Malah, andai orang tidak tahu cerita sebenar pasti menganggap jejaka itu masih bergelar teman lelakinya. "Selama lapan bulan mengenalinya, saya akui dia seorang lelaki yang baik. Kami tidak pernah bergaduh, cuma tidak ada jodoh. Apapun, sehingga kini kami masih bersahabat baik, keluar bersama dan saling menghubungi antara satu sama lain," ujarnya tanpa berselindung.

Mengimbas saat manis sewaktu bersama dulu, Waheeda mengakui 'H' tidak seperti jejaka lain yang pernah singgah dalam hatinya sebelum ini. "Paling penting, dia boleh menerima saya seadanya walaupun dia tahu saya seorang artis. Masih ingat lagi waktu itu saya diserang sakit gastrik, dia tolong jaga saya dan buatkan sup. Dia juga mempunyai ciri-ciri seorang pelindung. Pernah satu masa apabila orang cerita tidak baik pasal saya, dia sanggup berdepan dengan orang itu. "Apabila terkenang kembali situasi seperti ini, timbullah macam-macam perasaan yang boleh buat saya tension. Hendak buat macam mana, pasrah saja," ujar si pelantun Melodi Ahlan ini. Biarpun perasaan sayang masih ada, namun menurut si pemilik nama penuh Norwahidah Abdul Wahab ini, tidak mungkin mereka akan bersatu kembali. "Sukar rasanya untuk kami meneruskan hubungan ini. Lagipun sudah terang, keluarganya tidak memberi restu. Jadi biarlah kami kekal berkawan. Ada juga dia bertanya sama ada saya sudah bertemu dengan kekasih baru kerana jika sudah, dia ingin saya memperkenalkan lelaki bertuah itu dengannya. Tapi saya kata sukar untuk mencari penggantinya," ujar Waheeda atau lebih akrab disapa Wawa ini. Nyata, hubungan baik antara Waheeda dan 'H' masih utuh dan buktinya perbualan kami petang itu terhenti seketika apabila jejaka itu menghubunginya menerusi telefon bimbit. Manja sungguh suara Waheeda ketika bersembang dengan lelaki itu seolah-olah mereka masih bergelar pasangan kekasih. Bakal berhijrah ke Dubai? BUKAN kerana merajuk ataupun ingin membawa hati yang lara apabila menyatakan dirinya bakal berangkat ke Dubai tetapi menurut Waheeda, itu adalah sebahagian daripada tuntutan hidup sebagai anak seni. Jika sebelum ini dia menyatakan yang dia ingin ke negara itu kerana menerima tawaran bekerja dalam bidang pemasaran, namun sebenarnya ia lebih daripada itu. Khabarnya, Waheeda akan menebarkan sayapnya di negara yang kaya dengan minyak itu. Walaupun enggan menjelaskannya dengan terperinci, namun dari percakapannya, jelas dia mempunyai cita-cita ke arah itu. "Saya ada juga berbincang dengan rakan di sana dan menurutnya, sekarang ini sudah menjadi trend penyanyi dari luar menembusi pasaran di sana. Jadi terfikir juga, mengapa tidak direbut saja peluang itu. Lagipun, konsep muzik yang saya bawa tidak banyak beza dengan muzik mereka," jelas gadis berusia 29 tahun ini. Ditanya sama ada dia akan berhijrah ke Dubai jika kehadirannya disambut baik di negara itu, Waheeda berkata segala-galanya bergantung kepada keadaan dan rezeki di negara Timur Tengah itu. "Bagaimanapun, rasanya saya tidak akan berhijrah terus ke sana. Mungkin saya akan berulang alik kerana komitmen saya masih lagi ada di sini," ujarnya sambil mengukir senyuman penuh bermakna.
INFO WAHEEDA.
NAMA: Norwahidah Abdul Wahab
NAMA KOMERSIAL: Waheeda
TARIKH LAHIR: 23 September 1978
TEMPAT LAHIR: Johor Bahru
KERJAYA: Penyanyi, pelakon, pengacara dan model komersial
ALBUM: Wassini, Binafsha, dan Melodi Ahlan
FILEM: Jutawan Fakir, Tujuh Perhentian, Anak Mami Kembali, Nana Tanjung dan I Know What You Did Last Raya.
ANUGERAH: Pemenang ke-3 Voice of Asia 2004; Anugerah Planet Music bagi Lagu Popular, Artis Baru Popular & Artis Wanita Popular 2004; Anugerah Bintang Popular Berita Harian bagi Artis Baru; Anugerah Juara Lagu 2003 bagi kategori Etnik Kreatif.
Sumber : Berita Harian