TENTUNYA ketika ini debaran pasangan Erra Fazira dan Engku Emran Engku Zainal Abidin makin kencang menantikan detik mereka disatukan sebagai suami isteri malam ini.
Walaupun ini pernikahan kedua Erra, SS pasti debarannya tetap hebat seperti yang pertama dulu.Cuma kali ini, SS nampak Erra lebih bersederhana berbanding perkahwinannya sebelum ini. Kalau tidak takkan majlis pada 2003 dulu disebut-sebut sepanjang tahun sebagai wedding of the year.Kalau dulu Erra bersanding bersaksikan peminatnya di Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak, Cheras kemudian majlis gilang-gemilang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), kali ini Erra hanya melakukan yang wajib saja. Tapi pihak lelaki turut mengadakan majlis menyambut menantu pada 3 November nanti.
SS difahamkan, kad cantik dari pihak Emran sudah dilayangkan kepada rakan media.Sebagaimana lokasi pernikahan, Emran juga meminta jasa baik media tidak menyiarkan lokasi majlis diadakan. Apa yang pasti, semua pihak yang menjayakan majlis pernikahan malam ini sibuk membuat persiapan.Paling sibuk tentulah perancang majlis perkahwinan, Pak Abu. Begitu juga mereka yang bertanggungjawab menyediakan makanan.Walaupun Erra mengatakan serba sederhana, SS yakin ia tetap gah. Maklumlah, pernikahan Ratu Filem Melayu.
SS tidak pasti pula baju rekaan siapa yang jadi pilihan Erra. Mungkin baju rekaan Jovian Mandagie, Radzuan Radziwill, Butik Citra atau Butik Cosry.
SS dengar Pengarah Urusan SRC, Tan Su Loke bergegas balik dari China atas urusan kerana tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan detik bersejarah Erra. Maklumlah, Erra kan anak harapan terbaru SRC selepas Erra bersetuju menjadi keluarga SRC, baru-baru ini.SS doakan perkahwinan Erra kali ini berkekalan dan Erra cepat-cepat bergelar ibu.
Sumber : Metro