MUNGKIN ramai yang tidak mengenali siapa Hady Mirza, 27, namun, jika ramai yang mengikuti perkembangan industri hiburan tanah air, pastinya akan teringat jejaka kelahiran Singapura ini pernah dikaitkan dengan pelakon kontroversi, Nur Fazura Sharifuddin.
Baik Fazura mahupun Hady, masing-masing mengunci mulut apabila berbicara tentang cinta. Jawapan klise yang diterima media, “Kami hanya kawan biasa sahaja. Tidak lebih daripada itu.”
Bertemu dengan Hady pada rakaman program Hari Raya terbitan ntv7, Nite of Soulful Stars di Finas tidak berapa lama dulu, pemenang musim kedua Singapore Idol (SI) itu merungkai rahsia percintaan singkatnya bersama Fazura.
“Saya memang mengaku saya pernah bercinta dengan Fazura namun percintaan kami begitu singkat sahaja. Malah, perhubungan kami juga ada pasang dan surutnya. Saya sendiri tidak pasti sejauh mana hubungan saya dengan Fazura ketika itu.
“Disebabkan itu juga, saya sering dituduh sombong dan berlagak oleh pihak media apabila mereka bertanyakan saya tentang percintaan kami. Bukan saya mahu bertindak sedemikian, cuma saya tidak dapat untuk memberikan jawapan yang tepat tentang perhubungan kami. Dengan itu, saya memohon ampun dan maaf kepada pihak media andai kata ada yang tersinggung dengan perlakuan saya sebelum ini,” jelas Hady atau nama sebenarnya, Muhammad Mirzahady Amir panjang lebar.
Tambah Hady lagi, baik dirinya mahupun Fazura, sudah tidak lagi saling berhubungan. Namun, atas dasar profesionalisme, dia menegaskan akan menegur pelakon yang popular dengan filem dan drama, Gol & Gincu itu jika berjumpa di majlis mahupun acara hiburan.
*Kepuasan dalam album pertama
Bercerita tentang album sulungnya, hadymirza yang kini sudah pun berada di pasaran tempatan, Hady menjelaskan, sebagai artis baru, dia cukup berpuas hati dengan kelahiran album pertamanya itu memandangkan kesemua lagu yang terkandung di dalamnya menepati cita rasanya.
“Album hadymirza itu dirakamkan tiga hari selepas saya memenangi SI dan ia juga merupakan pengalaman pertama saya di dalam studio. Namun, atas tunjuk ajar produser album, Jason Tan, saya dapat melakukannya dengan baik dan saya berpuas hati dengan hasilnya,” kata jejaka berbintang Aquarius ini lagi.
Jika diperhatikan, sepuluh buah lagu yang dimuatkan dalam albumnya itu adalah lagu-lagu cover version. Hanya lagu What’s Left dan Merpati sahaja merupakan lagu yang diciptanya sendiri.
Apabila ditanya tentang perkara itu, cucu kepada pelakon veteran Singapura, Osman Zailani itu hanya melemparkan senyuman manis yang memperlihatkan lesung pipitnya itu.
“Bukan anda sahaja yang bertanyakan soalan itu malah pihak media di Singapura juga bertanyakan saya tentang itu. Saya memilih lagu-lagu cover version kerana lagu itu ada kena-mengena dengan jiwa saya. Malah, lagu-lagu itu juga saya bawakan sepanjang saya bertanding di SI,” kata Hady sambil menjelaskan album itu mencapai tahap platinum dalam tempoh seminggu di Singapura.
Antara lagu cover version yang terkandung dalam albumnya itu adalah You’ve Got A Friend (dendangan asal Carole King), Rock With You (Michael Jackson), Ordinary People (John Legend) dan Legenda (Sheila Majid).
*Penat dibandingkan dengan Taufik Batisah
Sudah menjadi adat resam, juara bagi setiap pertandingan realiti TV sudah pasti akan dibandingkan. Hady Mirza juga tidak terlepas tempias itu apabila dirinya dibandingkan dengan juara SI musim pertama, Taufik Batisah.
“Saya tidak boleh lari apabila orang cuba membandingkan saya dengan Taufik. Tidak dapat saya nafikan, saya penat juga kalau selalu dibandingkan dengannya. Namun, cara kami berbeza dan dia ada gaya tersendiri. Begitu juga dengan saya. Malah, kami berkawan rapat dan saya gembira melihat dia kini sudah pun menembusi pasaran Malaysia,” jelasnya.
Sumber : Utusan