“Hati saja di sini. Tapi badan dan fikiran berada di seberang sana. Kak Wan nak balik. Ingin berada di sisinya pada saat dia sedang sakit begini.” Begitu kata Wan Chik Othman yang dulunya lebih dikenali sebagai Wan Chik Daud apabila Kak Tim tanyakan tentang khabar suaminya, pelakon M.Rajoli yang telah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam otak pada 11 November lalu.
Khabar sedih itu baru Kak Tim ketahui malam Rabu lalu. Justeru segera Kak Tim hubungi Kak Wan yang ketika itu berada di rumah anaknya di Amerika.
“Kak Wan memang tak mahu hebohkan perkara ini pada kawan-kawan media. Takut nanti ada yang salah sangka, ingat kami minta simpati.
“Tapi alhamdulillah. Abang (suaminya) semakin sembuh. Madu Kak Wan, Hassemah Md. Din dan anak-anaknya menjaga di hospital.”
Seketika kata-kata itu terhenti dan Kak Tim mendengar esakan di hujung talian.
“Kak Wan perlu menjaga hati semua pihak termasuk hati anak Kak Wan di AS ni. Dah berbulan-bulan dia aturkan Kak Wan beraya di rumahnya. Tiba-tiba pada hari Kak Wan nak berangkat, suami Kak Wan kena bedah. Masa tu, 11 November. Pagi Kak Wan berangkat, malamnya suami Kak Wan di bedah.
“Memanglah anak Kak Wan kata, tak apa kalau Kak Wan nak batalkan rancangan ke rumahnya. Tapi kasihan pula. Dah banyak buang masa dia menguruskan kedatangan Kak Wan.
“Kak Wan anggap semua ni qadak dan qadar yang kita kena terima. Tuhan sayangkan kita sebab itu dia duga kita untuk menguji sejauhmana kesabaran kita melalui semua ini.
“Tapi sebelum pergi, Kak Wan dah minta izin dengan suami Kak Wan. Kak Wan dah minta maaf dengan dia dan dia pun kata, tak apa kalau tak dapat jumpa dia. “Kita jumpa di syurga,” dia kata. Memang dia selalu cakap macam tu,” cerita Wan Chik dalam sendu sedannya.
Dua hari sebelum ke Amerika, kata Kak Wan, dia sudah terperasan perubahan pada suaminya. Sangka Kak Wan, M.Rajoli mengalami masalah jantung. Justeru pelakon itu di bawanya ke Institut Jantung Negara. Tapi kemudian suaminya dirujuk ke bahagian neurologi yang mengesahkan ada ketumbuhan dalam otaknya.
“Selama di AS ni pun, Kak Wan tak dapat tidur. Tak henti-henti Kak Wan solat sunat tahajud dan hajat, meminta supaya semuanya selamat. Hati Kak Wan tidak tenteram walaupun Kak Wan tahu, abang dijaga dengan baik oleh madu Kak Wan. Hari-hari Kak Wan telefon madu Kak Wan, bertanyakan khabar suami kami.
“Kalaulah boleh selepas ini, Kak Wan tak mahu bagi abang berlakon. Kak Wan pernah katakan hal ini pada dia. Duit persaraan Kak Wan cukup untuk hidup kami. Tapi abang berlakon pun kerana keperluan hidup untuk menjalankan tanggungjawab kepada anaknya yang ambil diploma tahfiz di Kuala Kubu dan akan melanjutkan ijazah ke Mekah atau Madinah. Sebenarnya kalau abang tak kerja pun tak apa sebab anak-anak madu Kak Wan pun semua lulusan universiti dan dah bekerja. Mereka boleh tanggung seorang adik yang tengah belajar tu. Tapi abang besar hati untuk lakukan tanggungjawabnya sebagai ayah.
“Memang dia selalu kata dah letih bekerja. Maklum, umur pun dah 62 tahun. Tapi itulah M. Rajoli. Bukan harta yang dia cari. Rumah pun dia tak mahu. Selalu dia cakap dengan Kak Wan, dia cuma ingin menjadi ayah yang baik dan bertanggungjawab. Pada sisa-sisa usianya, dia kata, dia hanya mahukan sebuah suraunya sendiri untuk mengajar muqaddam dan al-Quran. Selalu dia kata pada Kak Wan, dia ingin kembali menjalankan tugas sebagai bilal yang pernah dilakukannya sebelum dia jadi pelakon.”
Begitu cerita Wan Chik pada sembangnya dengan Kak Tim minggu lalu. Esakan tangisannya masih kedengaran hingga penghujung bicara.
Sumber : Utusan