Tuesday, October 23, 2007

Lebaran penuh makna

TANGGAL 13 Oktober lalu, seluruh umat Islam meraikan detik permulaan Syawal menandakan berakhirnya sebulan umat Islam berpuasa. Ia memang hari yang dinanti-nantikan kehadirannya, bukan saja sebagai meraikan kejayaan menunaikan ibadat puasa, malah ia muncul detik yang mengeratkan lagi ikatan silaturahim sesama manusia. Seperti tiga artis yang bernaung di bawah label Artist United Records (AUR) - Ning Baizura (Ning), Siti Surianie Julkarim (Yanie) dan Nicolette Palikat (Nikki) ini, mereka tidak terkecuali berasa teruja apabila tiba Hari Raya. Hip mendekati tiga wanita jelita ini untuk mengetahui serba sedikit mengenai sambutan raya mereka.

Ning

"RAYA tahun ini tentunya paling menggembirakan dan bermakna buat saya. Ibu saya, Puan Satilah, juga nampak ceria, apatah lagi dia akan menerima menantu tahun depan (Ning dan Omar Sharif Christopher Layton Dalton bertunang pada 19 Julai lalu). "Bagaimanapun, sambutan Aidilfitri kami sekeluarga hanyalah sederhana. Paling penting, kami dapat berkumpul bersama sanak saudara dan orang tersayang.

"Tahun ini, saya, ibu dan Omar berkunjung ke rumah ibu saudara saya, kemudian beraya dengan bapa di Shah Alam. Seterusnya, kami beraya pula di rumah kakak di Kajang. Omar tentunya orang yang paling seronok apabila pelbagai hidangan dapat dirasa. Rendang dan kari ialah masakan kegemarannya. "Omar yang bercuti selama seminggu juga beraya dengan baju Melayu yang disediakan ibu saya."

Yanie

"PADA tahun ini, Yanie berhari raya bersama keluarga di Kota Kinabalu, Sabah, selama seminggu. Aidilfitri sajalah masanya untuk kita sekeluarga duduk berkumpul dan saling ziarah menziarahi. Rasanya, enam atau tujuh hari sudah mencukupi untuk Yanie menerima kunjungan sanak saudara, kenalan serta peminat yang datang bertandang.

"Waktu itu juga digunakan kami sekeluarga untuk menziarahi saudara mara yang tinggal berdekatan, sehinggalah mereka yang tinggal jauh di Tuaran. "Dari segi persiapan pula, saya tidaklah berbelanja berlebih-lebihan. Sebaliknya, ia dilakukan secara sederhana saja. Saya hanya menyediakan tiga helai baju kurung kali ini. Baju tahun lepas pun masih elok lagi. Jadi daripada membazir begitu saja, baiklah saya memakainya semula. "Namun, raya tahun ini lebih bermakna kerana album sulung saya sudah hampir siap sepenuhnya. Kini, hanya tiga lagu saja yang belum dimasukkan suara. Jadual kerjaya saya agak padat, dengan aktiviti nyanyian dan lakonan. Justeru, proses rakaman asyik tertunda-tunda. Bagaimanapun jika tiada aral melintang, album ini dijangka menemui peminat pada awal 2008."

Nikki

"SEBAGAIMANA tahun-tahun sebelum ini, saya dan Vernon (pengurus) berkunjung ke rumah rakan taulan yang menyambut lebaran. Teman serumah, Yanie, pula pulang ke kampung, jadi tinggallah saya keseorangan. Daripada kebosanan tanpa berbuat apa-apa, lebih baik saya keluar berhari raya. "Jika tidak ada baju baru, rasa tidak sah pula hendak beraya. Jadi tahun ini saya membeli tiga pasang baju di Jalan Masjid India. Rasanya, cukuplah tiga pasang saja. Saya boleh gilir-gilirkan baju itu atau padankan baju dan kain mengikut kesesuaian.

"Biarpun bukan penganut agama Islam, namun saya juga turut berpuasa pada Ramadan lalu. Oleh kerana teman serumah berpuasa, saya turut berbuat demikian kerana menghormati amalannya. Pada hari pertama, saya mengaku kepala agak terasa pening juga. Masuk hari kedua, sudah tidak ada masalah. Malah, saya juga bangun bersahur seperti orang lain juga."

Solekan: Baby Elle, Kay Rohani, As
Pakaian: D’Risik Boutique, Kompleks Pertama Kuala Lumpur
Lokasi: Teratak Dusun, Hulu Langat

Sumber : Berita Harian
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR