TIDAK kurang yang percaya, karier seseorang artis akan berakhir atau paling tidak, popularitinya akan menurun sebaik saja mendirikan rumah tangga. Dibandingkan dengan artis lelaki, keadaan itu dikatakan lebih dirasai artis wanita. Namun, tidak semua artis yang sudah berkahwin dipinggirkan peminat begitu saja. Dengan kerja keras berterusan serta formula yang berkesan, rasanya masih ramai yang bertahan, malah semakin melonjak kemasyhuran. Farah Asyikin Zulkifli, penyanyi yang lahir daripada program Malaysian Idol (MI) musim kedua dan One In A Million (OIAM), berharap dirinya tidak akan tergolong dalam kelompok artis yang kononnya akan jatuh sebaik saja berumahtangga.
Sehingga kini, Farah memang boleh menarik nafas lega kerana petanda ke arah itu memang tiada. Sebaliknya, dia semakin sibuk dengan pelbagai atur cara dan jadual persembahan, sebaik saja bergelar isteri kepada seorang doktor muda, Dr Fariz Yahya. Sehingga Disember nanti, wanita berusia 28 tahun ini mengaku, jadualnya cukup padat dan tempahan undangan juga sudah hampir penuh diisi. Ketika mulutnya tidak putus-putus mengucap syukur dengan rezeki yang tiba, lewat pembabitannya dalam dua program realiti itu, serta kehadiran album solo pertama, Farah bagaimanapun berkata, bukan status bintang mega yang menjadi matlamat apabila dia membuat keputusan membabitkan diri dalam industri muzik.
"Berada pada tahap sekarang pun sudah amat saya syukuri. Paling tidak, sudah ada peminat yang menyedari kehadiran Farah Asyikin. Saya sendiri bukannya menyimpan angan-angan bergelar bintang besar apabila tampil sebagai penyanyi," kata Farah merendah diri.
Tidak dinafikan, kemunculan album penyanyi dari Kuala Lumpur ini banyak membuka mata peminat. Album yang boleh dimasukkan dalam kategori pop rock itu menyerlahkan lagi nama Farah selepas dua pertandingan berprestij berkenaan. Pada MI2 Farah berjaya meletakkan dirinya pada kedudukan ketiga, manakala OIAM pula pada tempat kelima. Menerusi album yang menggunakan namanya sebagai judul itu, suara Farah saban hari dapat didengar di corong radio menerusi lagi Dari Sini Ke Bintang-Bintang, 1000 Penipuan dan Cinta.
"Pada awal kemunculan album ini dulu, ketika single Dari Sini Ke Bintang-Bintang mula dimainkan, ramai juga yang berasa pelik apabila saya menyanyikan lagu yang berirama agak keras sedangkan, sewaktu pertandingan, saya banyak dilihat menyanyikan lagu balada. Namun selepas beberapa ketika, terutama apabila lagu 1000 Penipuan semakin kerap diputarkan, peminat dengan secara baik mula menerimanya," katanya ketika ditemui pada rakaman Cit Cat Raya, baru-baru ini. Sedikit waktu lagi, peminat akan dapat menikmati pula single terbarunya berjudul "O". Sebagaimana lagu sebelumnya, single terbaru itu juga masih mempertaruhkan irama rancak untuk menangkap perhatian pendengar.
"Kesemua lagu yang diketengahkan oleh syarikat rakaman, Nature Records, berentak rancak kerana mereka mahu mempromosikan saya sebagai penyanyi pop seperti Kelly Clarkson. Begitupun harus diingat, saya bukannya hendak meniru penyanyi itu kerana antara kami, amat jauh berbeza. Mereka cuma hendak mengetengahkan konsep sedemikian berikutan belum ada penyanyi wanita negara ini yang mengambil pendekatan berkenaan," jelas Farah. Biarpun tidak pasti dengan angka jualan sebenar, cetakan pertama album itu sebanyak 3,000 unit sudah habis dijual dan kini mereka sudah mengedarkan cetakan kedua pula.
Mengenai sambutan Aidilfitrinya, Farah memberitahu, dia enggan menerima sebarang tawaran menyanyi pada musim perayaan ini kerana ingin memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Hari Raya. Apatah lagi, buat pertama kali penyanyi ini beraya sebagai seorang isteri. Selama tujuh hari tidak diganggu sebarang kerja seni, dia akan beraya sepuas-puasnya di Kelantan, Johor, Pahang dan Kuala Lumpur.
"Paling seronok tentunya apabila tiba waktu untuk menghias rumah. Tahun ini pula, saya terpaksa sediakan duit raya yang lebih sikit kerana jumlah anggota keluarga semakin besar. Kanak-kanak hari ini pula, paling sedikit pun, akan hanya menerima RM5 seorang," katanya.
INFO: Farah Asyikin Zulkifli
Tarikh Lahir: 11 November 1979
Asal: Kuala Lumpur
Status: Isteri kepada Dr Fariz Yahya
Profesion: Penyanyi Album: Farah Asyikin (2007)
Lagu Popular: Dari Sini Ke Bintang-Bintang, 1000 Penipuan, Cinta
Label: Nature Records
Sumber : Berita Harian