SALAH satu aspek penting dalam sesebuah pementasan teater dan tidak boleh dipandang ringan adalah soal kostum yang digunakan oleh pelakon yang menjayakan produksi itu. Seperti teater P Ramlee The Musical yang sedang dipentaskan di Istana Budaya ketika ini, Enfiniti Productions, menggunakan lebih 250 hingga 300 kostum. Pengarah Kostum, Shada Hamid, 32, berkata kerja menyediakan kostum pula bukanlah mudah dan perancangan sudah dijalankan beberapa bulan sebelum pementasan setelah membuat beberapa kajian mengenai kostum yang sesuai mengikut zaman itu.
"Kita juga banyak menonton kembali filem lakonan Seniman Agung itu untuk mendapatkan gambaran sebenar pakaian yang digunakan. Selain itu, kita juga mula mengumpul segala gambar lama di era 40-an sehingga 70-an sebagai rujukan untuk membuat kembali kostum yang sukar diperoleh. "Jika bercerita dari segi cabaran, semua kerja menghadapi masalah yang sama tetapi berbeza dari segi cabaran yang terpaksa kita lalui. Memandangkan agak sukar untuk mendapatkan kostum di era 40-an, saya mengambil inisiatif untuk membuat kembali kostum itu. Enam puluh peratus kami jahit sendiri dan selebihnya mencari di kedai saja. "Ada yang ditempah di Kuala Lumpur dan ada yang ditempah di Bangkok, Thailand memandangkan harga di sana lebih murah berbanding negara kita," katanya.
Menurut Shada, tugas mereka menjadi semakin sukar apabila kebanyakan tukang jahit tidak mahu lagi mengambil tempahan kerana terlalu sibuk menyiapkan tempahan pelanggan yang mahu menyambut Syawal. "Kerja ini menjadi rumit apabila pementasan yang bakal dipersembahkan sepanjang bulan Syawal ini terpaksa disiapkan awal dan kita menghadapi masalah kerana banyak tukang jahit tidak mahu mengambil lagi tempahan kerana mereka terlalu banyak mendapat tempahan untuk Hari Raya ini.
"Syukurlah kerana saya banyak mendapat kerjasama pereka pakaian terkenal tanah air yang sanggup membantu kami. Keseluruhan kerja kostum ini tidak berhenti ketika pementasan berlangsung. Malah semasa pementasan juga enam pekerja di bahagian ini akan bertungkus lumus menyusun pakaian untuk semua pelakon yang terbabit," jelasnya lagi. Tugas Shada tidak selesai setakat itu saja kerana sebaik saja pementasan tamat mereka akan mengumpul semula pakaian untuk dicuci sebelum digunakan semula untuk malam esok dan begitulah seterusnya sehingga pementasan tamat.
"Selain pakaian, kita turut menyediakan pelbagai aksesori lain seperti barang kemas, beg tangan, topi, kasut, tongkat dan banyak lagi prop yang digunakan. "Tetapi saya tidak banyak menghadapi masalah untuk menggalas tanggungjawab ini memandangkan bajet yang diberikan untuk bahagian ini memadai dengan apa yang kita perlukan," katanya yang kali pertama menggalas tanggungjawab dalam pementasan teater kerana sebelum ini dia lebih banyak bekerja untuk produksi filem. Sementara itu, kerja di sebalik tabir dalam sesebuah produksi tidak wajar dipandang remeh kerana ia turut menyumbang kepada kejayaan sesebuah pementasan itu.
"Saya juga ingin menasihati mereka yang berminat untuk menceburi bidang ini agar menanam sikap jujur dan ikhlas dalam menjalankan tugas yang diamanahkan. Bakat yang dikurniakan saja tidak cukup untuk meletakkan tahap profesional itu pada diri sekiranya keikhlasan tidak disematkan dari awal. Minat harus seiring dengan bakat dan yang penting konsisten dengan apa yang dimahukan pengarah, "Selain itu, mereka harus berfikiran kreatif dengan kerja yang dijalankan untuk melihat hasil kerja yang menarik dan lain dari yang lain," kata Shada mengakhiri perbualan.
Sumber : Berita Harian