Sebagai penggalas gelaran tersebut, dia tentunya bukan sahaja mahu mengungkap momen indahnya melalui suatu persembahan istimewa, tetapi turut mahu berkongsi pengalaman itu bersama para peminatnya.
Panggung Sari di Istana Budaya, Kuala Lumpur merupakan pentas yang menjadi pilihan penyanyi kumpulan Search ini bagi merealisasikan impiannya itu pada persembahannya yang dikenali sebagai Suatu Masa... Amy.
Menerusi persembahan yang akan diadakan pada 26 hingga 28 Mac ini, Amy akan tampil solo dengan menyampaikan lagu-lagu, monolog dan persembahan yang mampu menggambarkan pembabitannya dalam bidang seni selama ini.
"Saya harap persembahan ini akan menjadi pengalaman baru saya dan juga impian yang saya idam-idamkan selama ini," katanya pada majlis pelancaran persembahan Suatu Masa... Amy di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ilham bagi menterjemahkan perjalanan seni bapa kepada pelakon popular Nabila Huda ini tercetus sewaktu beliau terbabit menjayakan pementasan teater muzikal Sirah Junjugan arahan Erma Fatima di Panggung Sari tahun lalu.
Menurut Amy atau Suhaimi A. Rahman, beliau bukan sahaja kagum dengan prestij Istana Budaya sebagai panggung bertaraf dunia, malah turut berasakan ia sebuah pentas yang sesuai untuk merealisasikan impian yang sudah lama dipendamnya itu.
"Sebenarnya, saya tidak pernah masuk Istana Budaya sehinggalah saya terbabit menjayakan pementasan Sirah Junjungan.
"Selama hampir 28 tahun bergelar anak seni, itu adalah antara persembahan yang mendebarkan hati saya," kata Amy berkongsi suara hatinya.
Lalu, apabila Azman Azhar iaitu penerbit di syarikat produksi Mentari Channel Network) dan Abang Joe atau Mohamed Juhari Shaarani (Ketua Pengarah Istana Budaya) berhasrat membawanya ke Istana Budaya, Amy berasa begitu terharu.
Semuanya kerana dia sudah berkira-kira untuk memberikan kelainan pada persembahannya selain enggan menampilkan persembahan yang seperti sebuah konsert biasa.
"Saya mahukan ia berkonsepkan theaterical yang turut menampilkan persembahan monolog.
"Selain monolog turut diselitkan ialah prolog dan skripnya akan disediakan oleh Pengarah Muzikal iaitu Fauziah Ahmad Daud. Saya harap tiga malam itu kelak akan menjadi suatu kenangan yang indah buat saya," ujarnya mengenai keinginan yang lama didambakannya itu.
Pemilihan Panggung Sari jelas Amy lagi, bukan setakat mampu mencernakan momen-momen indahnya sepanjang bergelar anak seni tetapi ia juga mampu mencetuskan atmosfera yang tersendiri dengan konsep persembahannya itu.
Dengan tiket berharga RM50, RM80, RM120, RM180 dan RM300 penyanyi rock ini berharap menerusi segmen monolog itu ia sedikit sebanyak dapat menggambarkan tentang perjalanan seninya selama ini.
"Saya anggap persembahan ini sebagai suatu journey (perjalanan) saya dari awal bergelar anak seni hingga kini.
"Walaupun sudah hampir 30 tahun bergelar penyanyi saya tidak nafikan masih ada perasaanstage fright (gemuruh) untuk mengadakan persembahan ini. Kalau tidak ada perasaan itu sudah sampai masanya saya bersara.
"Bagi saya, stage fright suatu thrill (cabaran) sebelum saya berada di pentas," jelas rocker tersohor negara ini.
Pada persembahannya yang akan diiringi oleh para pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer Nawi, Amy akan menyanyikan lagu-lagu yang sama pada tiga malam persembahan tersebut.
Selain menyanyikan lagu-lagu yang dipetik daripada album-album solonya, Amy juga akan menyanyikan lagu-lagu yang pernah dipopularkannya bersama kumpulan Search pada persembahan selama hampir 90 minit itu.
"Saya akan menyanyikan lagu-lagu yang sama pada tiga malam persembahan itu kerana ini bukan sebuah konsert. Set atau segmen-segmen pada persembahan ini telahpun ditetapkan. Saya harap tiket untuk persembahan saya ini akan habis dijual dalam masa terdekat ini.
"Sebabnya, saya tidak bercadang untuk melanjutkan persembahan ini pada malam-malam seterusnya andai kata tiketnya sold out (habis) atau ada lagi permintaan daripada para peminat. Kalau mahu lagi saya akan buat konsert lain pada masa akan datang.
"Mungkin konsert itu akan diadakan lebih besar dan konsepnya juga berlainan. Ia bergantung kepada keadaan. Saya akan bagi statement (kenyataan) yang lain tetapi buat masa ini saya mahu fokus pada persembahan ini terlebih dahulu," katanya.
Hadir sama pada majlis pelancaran persembahan anjuran Mentari Channel Network itu ialah Penerbit Eksekutifnya, Prof. Dr. Khalili Khalil, Pengarah Muzik, Mohd. Rafi Shafie dan Mohamed Juhari Shaarani.
Persembahan Search di UK
SEBELUM mengadakan persembahan solo di Panggung Sari, Istana Budaya, Amy bersama kumpulan Search juga akan mengadakan persembahan di tiga buah bandar besar di United Kingdom (UK) mulai 12 Februari ini.
Amy dan rakan-rakannya menerima undangan mengadakan persembahan di London, Liverpool dan Dublin atas jemputan para pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di negara tersebut.
"Saya dan Search akan berada di UK selama 10 hari mulai 12 Februari ini. Antaranya kami akan berada di Dublin, Ireland selama dua malam. Ini adalah kali pertama saya dan Search mengadakan persembahan di sana.
"Dalam konsert berbayar itu, kami akan mengadakan persembahan selama sekitar 90 minit pada setiap persembahan. Kami akan menyanyikan lagu-lagu Search termasuklah daripada album-album lama kami," ceritanya.
Memandangkan jarak masa antara persembahan di UK dan persembahan solonya di Panggung Sari tidak jauh, Amy telah membuat persiapan rapi atau boleh dikatakan 'dua dalam satu' bagi dua projek penting tahun 2010 itu.
Penghibur berusia 52 tahun ini berdoa persembahan-persembahan yang akan dijayakannya itu mampu meninggalkan kenangan manis sepanjang bergelar anak seni sejak hampir tiga dekad lalu.
"Kos untuk mengadakan persembahan di UK agak tinggi tetapi syarikat yang membawa Search ke sana yang dikenali sebagai Orang Kita telah menaruh kepercayaan yang tinggi kepada kami. Sebab itu kami amat menghargainya.
"Bagi menjimatkan kos, kami hanya membawa peralatan seperti instrumen muzik yang perlu dan ringkas sahaja. Ini sebagai permulaan, mana tahu kalau ada peluang kami mahu mengadakan lagi persembahan di sana," katanya lagi.
Harap tiket habis
Sepanjang tahun lalu, Panggung Sari di Istana Budaya telah mementasakan empat persembahan muzikal termasuk Cuci The Musical dan kesemuanya mendapat sambutan luar dugaan.
Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani berkata, pementasan Muzikal Puteri Gunung Ledang misalnya mencatat sejarah apabila tiketnya habis dijual tetapi pementasan tambahan dilakukan bagi menampung permintaan ramai.
Justeru, beliau berharap agar Suatu Masa... Amy yang membabitkan Fauziah Ahmad Daud sebagai Pengarah Muzikal itu juga akan mengulangi rekod cemerlang pementasan-pementasan muzikal tersebut.
"Saya berharap agar Suatu Masa... Amy juga akan mendapat sambutan luar biasa daripada para peminat. Kalau sambutannya bagus, tidak mustahil persembahan seperti ini boleh dilanjutkan lagi waktu pementasannya.
"Semua itu bergantung kepada keadaan dan sambutan para penonton. Bagaimanapun, sebagai persembahan yang tidak mempunyai penaja, saya cukup kagum dengan kesanggupan Mentari Channel Network sebagai penganjur.
"Tanpa penaja, mereka (Mentari Channel Network) harus memastikan agar tiket-tiket untuk menyaksikan persembahan pada ketiga-tiga malam itu habis dijual bagi menampung kos penganjuran dan mengaut untung," jelasnya.
Enam bulan rancang persembahan
SELAKU Pengarah Muzik Suatu Masa... Amy, komposer dan pemuzik Mohd. Rafi Shafiemenganggap persembahan Amy amat ditunggu-tunggu oleh peminat yang ingin melihat suatu persembahan berskala besar.
Untuk memenuhi impian itu, beliau telah mula membuat persiapan enam bulan lebih awal bukan sahaja demi kepuasan para penonton tetapi juga penyanyi terbabit.
"Saya telah ditawarkan sebagai Pengarah Muzik untuk enam bulan sebelum persembahan ini diadakan supaya dapat membuat persediaan lebih awal.
"Dengan adanya persiapan lebih awal, banyak perkara yang saya boleh lakukan bagi memastikan persembahan ini berjalan dengan lancar dan tidak tergesa-gesa.
"Ramai peminat yang menjangkakan keajaiban pada sesuatu persembahan tetapi macam mana keajaiban itu akan datang kalau tidak dirancang," katanya.
Dengan masa persiapan yang panjang, Amy selaku penyanyi yang mahu merealisasikan persembahan solo pertamanya di Istana Budaya kata Mohd. Rafi, dapat melontarkan lebih banyak idea yang telah sekian lama dipendamnya.
Malah, sebagai Pengarah Muzik yang pernah terbabit menjayakan banyak konsert penyanyi popular lain, beliau tidak menafikan cabaran dalam usahanya merealisasikan konsep persembahan yang diingini oleh Amy.
"Saya masih merancang dan belum berani untuk menggambarkan sepenuhnya bagaimanakah corak persembahan itu nanti. Apa yang pasti ia berbeza dengan persembahan-persembahan penyanyi-penyanyi lain sebelum ini.
"Sebelum ini saya pernah menjayakan Konsert Zaman Ramli Sarip tetapi dia (Ramli) muncul dengan menyanyikan lagu-lagu kumpulan lamanya, Sweet Charity. Sedangkan Amy hanya ada lima buah album solo dan masa sekitar 90 minit.
"Dalam masa itulah saya akan cuba merangkumkan lagu-lagu yang dipetik daripada album-album solonya pada persembahan itu nanti. Apatah lagi, pada klimaks persembahan itu Amy akan menyanyikan lagu Asma Al-Husna," ujarnya lagi.