‘CINTA’ Hattan kepada lagu dendangan ‘Papa Rock’ membawa kepada terciptanya satu naskhah yang cukup sempurna apabila dia diberi penghormatan merakam kembali lagu nyanyian vokalis kumpulan Sweet Charity itu.
Sepuluh lagu dinyanyikan Ramli Sarip ketika era kegemilangan kumpulan rock itu diberi nafas baru oleh Hattan lalu menghimpunnya dalam album Hattan Masterpiece.
Tanpa ada cacat cela yang kelihatan menerusi album itu, ia dilihat seakan-akan kumpulan rock yang pernah ‘diagungkan’ dulu kembali bernyawa walaupun ia dinyanyikan Hattan.
Ramli berkata, lagu yang dinyanyikan semula oleh Hattan dilihat mempunyai jiwa tersendiri, walaupun ia bukan lagu asal penyanyi itu.
“Mungkin menerusi rasa hormat seorang pencinta muzik kepada seorang seniman, menjadikan album itu kelihatan luar biasa dan ‘berjiwa’.
“Barangkali disebabkan Hattan juga dipengaruhi Sweet Charity sejak sekian lama menjadikan dia ‘masak’ dengan lagu didendangnya.
“Jika dilihat, Hattan Masterpiece dirakam dengan cermat malah pilihan dan susunan muziknya juga tampak teratur. Bagi saya, tiada cacat celanya album itu, malah ia juga antara yang terbaik pernah saya dengar.
“Saya menghargainya, malah menerima dengan tangan terbuka usaha yang dilakukan Hattan sama seperti usaha artis lain yang pernah melakukan ‘tribute’ untuk saya.
“Mungkin juga saya meninggalkan kesan dan pengaruh sendiri kepada industri muzik kita, tetapi jika mahu mengatakan diri saya menjadi legenda di kalangan artis sekarang, ia tidak benar,” katanya.
Lain pula yang diperkatakan oleh penyanyi kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu. Menurut Hattan, Ramli seakan-akan ‘living legend’ baginya.
Katanya, sepanjang bergelar anak seni, dia hanya mempunyai dua idola iaitu Ramli Sarip dan M Nasir. Kedua-duanya mempunyai personaliti tersendiri yang cukup baik, malah kehadiran mereka dalam dunia seni bukan sekadar menghiasinya.
“Ramli terkenal dengan persembahan yang cukup bersahaja sewaktu di pentas.
“Pun begitu, setiap nyanyiannya mempunyai mesej dan penghayatan tersendiri yang tidak pernah gagal menambat hati penonton. M Nasir pula dikagumi kerana karyanya yang puitis.
“Jujur saya katakan, Ramli antara yang terbaik. Seumur hidup, belum pernah saya berjumpa ‘living legend’ seperti yang ada sekarang ini dan kerana itu terdetik idea untuk melahirkan album Masterpiece.
“Daripada kita sibuk mengagung dan mendewakan pemuzik serta aliran yang dibawa masyarakat luar, lebih baik kita utamakan khazanah kita sendiri yang ternyata jauh lebih baik.
“Pun begitu, menerusi album itu, lagu berjudul Teratai dan Kamelia tidak diselitkan. Ini kerana kedua-dua lagu itu sinonim dengan dengan kumpulan legenda berkenaan dan sebab itu, saya tidak mahu mengganggunya,” jelas Hattan.