Artis-artis popular seperti Hattan, Jefrydin dan Ramli Sarip akan meriahkan majlis perasmian Sukan Negeri Sembilan (Suknes) 2007 pada 29 Mei ini (Esok).
Acara yang akan diadakan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu akan bermula pukul 8 malam.
Hattan akan mempersembahkan lagu-lagu popularnya Rendang Tak Berbuah, Kau Yang Satu, Zakiah dan Istilah Bercinta. Sementara Ramli Sarip dengan lagunya Syair Laila Majnun, Nyanyian Serambi, Kamelia dan Bukan Kerana Nama.
Penyanyi popular tahun 60-an, Jefrydin pula dijangka akan membuat peminat-peminat setianya teruja dengan lagu-lagunya Mas Mona, Kenanganku, Seruling Anak Gembala dan Siti Haida.
Pengacara persembahan iaitu selebriti yang tidak asing lagi, Ebby Yus dijangka akan membuat penonton tidak kering gusi dengan telatahnya yang lucu.
Persembahan percuma itu akan diakhiri dengan pertunjukan bunga api.