Monday, May 28, 2007

Kaer kesal difitnah mabuk, berpeleseran

PERNAH dia berasa tidak dipedulikan. Bagaimanapun, demi cintanya terhadap muzik, Wan Mohammad Khair Wan Azami (Kaer), 22, bangkit dari kesuraman. Lalu, dua tahun selepas menyepikan diri, dia kembali memeriahkan persada seni tanah air bersama kemunculan album sulung berjudul Menjelma yang akhirnya melewati pasaran awal tahun ini.

Namun apa yang membuatkan hati Kaer terluka apabila namanya mula meniti kejayaan, ada pihak seakan-akan tidak senang dan cuba menabur pasir ke periuk nasinya.

Lebih menghampakan, sebuah akhbar tabloid dengan berani menulis sesuatu yang melampau mengenai dirinya.

“Artikel itu tersiar lebih kurang tiga minggu yang lalu siap tentera nama dan gambar saya sekali tetapi bukan gambar ‘kejadian’ seperti dimaksudkan, sebaliknya gambar biasa.

“Saya perhatikan kalau artis lain dikaitkan dengan gosip seperti itu tidak pula nama dan gambar mereka disiarkan. Tapi lain pula jadinya pada saya. Sudahlah tidak berasas langsung, berani pula mereka buat begitu!

“Catatan artikel itu berbunyi lebih kurang begini, saya didapati berpeleseran di sebuah lokasi sekitar ibu kota dalam keadaan mabuk sehingga gelagat saya diperhatikan orang awam.

“Saya dapat tahu cerita ini daripada ibu yang membaca artikel berkenaan. Namun dia tidak percaya saya lakukan semua itu kerana selama dua bulan saya terlantar demam panas dan tidak keluar rumah, ibulah orang paling setia menjaga saya.

“Penulis artikel berkenaan turut menyatakan sekiranya saya inginkan penjelasan dan memberi kenyataan mempertahankan diri, sila menghubunginya. Namun apabila saya menelefon penulis itu, dia memberi pelbagai alasan.

“Tengah sibuklah, ada tugasan di luarlah dan kadang-kadang orang lain yang tolong menjawab bagi pihaknya. Kalau tidak percaya, saya boleh tunjukkan bil telefon bagi membuktikan berapa puluh kali saya menghubunginya tapi tidak pernah berpeluang mendapatkan penjelasan atau memberi kenyataan.

“Yang saya pelik kalau benarlah dia tidak bersalah dan menulis artikel itu berdasarkan sumber yang sah, mengapa dia perlu mengelak daripada saya?” katanya.

Lantaran tersiarnya artikel berkenaan, ibubapa Kaer menyarankan supaya hal ini dibawa ketengah dan sekali gus menyaman akhbar itu. Namun Kaer enggan memanjangkan cerita kerana banyak perkara yang harus diberi tumpuan.

“Saya bukan takut dan tidak ada sebab untuk takut. Cuma memang sudah menjadi sikap saya sejak dulu lagi mudah memaafkan orang.

“Lagipun banyak lagi perkara penting yang perlu saya berikan tumpuan selepas bersusah payah, menjual kereta dan menghabiskan duit simpanan untuk menghasilkan album Menjelma.

“Orang bukannya tahu macam mana saya susah terpaksa makan maggi, roti dan coklat untuk isi perut semata-mata menyiapkan album ini. Tiada seorang pun pernah peduli apa yang terjadi pada saya sepanjang dua tahun menyepikan diri.

“Peliknya mengapa bila saya sudah senang, sedap-sedap saja orang mahu menjatuhkan karier saya. Masalah dengki dan iri hati saya sedari sejak menyertai Akademi Fantasia lagi.

“Apa yang pasti, saya tidak bodoh melakukan sesuatu perkara di luar batasan yang hanya mencemarkan maruah diri dan keluarga kerana saya sendiri tidak mahu meraih publisiti dan populariti dengan cara sebegitu.

“Justeru, saya membuat kesimpulan orang yang menulis cerita sebegini pemikirannya cetek. Malah saya juga tidak percaya dia memperoleh berita itu daripada sumber, sebaliknya menulis sesedap rasa hati,” katanya.

Ditanya bagaimanakah dia boleh mendapat serangan deman panas sebegitu lama sehingga dua bulan, Kaer yang mulanya keberatan menjelaskan hal sebenar akhirnya tewas lalu membuka rahsia yang tersimpan rapi.

“Sebenarnya saya terkena buatan orang. Setiap kali menyanyi, saya rasa pedih di tekak. Sampailah satu hari itu tidak boleh bangun dan ibu membawa saya berjumpa dengan ustaz lalu dikeluarkan kaca dalam tekak dan perut sebelah kiri,” katanya.

Menyentuh karier nyanyiannya, Kaer berterima kasih kepada komposer terutama Azlan Abu Hassan kerana mencipta sebuah lagu yang indah iaitu Izinku Pergi sehingga melonjakkan semula namanya.

“Lagu itu disukai ramai dan gara-gara penangan Izinku Pergi saya menerima banyak undangan persembahan. Alhamdulillah, sekarang ini kos (RM100,000) album hampir dapat dipungut semula,” katanya.

Tambah Kaer, tumpuannya kini untuk melebarkan sayap di peringkat antarabangsa. Buktinya pada Ogos atau September nanti, dia akan terbabit dengan sebuah pertandingan yang mengiktiraf muzik ‘house’ dan remix.

“Saya memperoleh peluang itu selepas mengirimkan single Menjelma saya kepada seorang rakan di sana. Tidak sangka pula sahabat saya itu memberikan kepada rakannya yang lain sehinggalah sampai ke tangan seorang penganjur pengurusan acara.

“Ternyata dia tertarik dengan lagu itu yang disifatkan cukup unik dan masih mengekalkan elemen tradisi seperti gamelan walaupun diadaptasi secara moden.

“Justeru, harus saya ucapkan terima kasih kepada Internet kerana ia membuka peluang yang luas untuk saya menambahkan kenalan dan mendapatkan ‘contact’.

“Harapan saya, pembabitan dalam acara sebegini dapat saya gunakan untuk memperkenalkan hasil karya anak tempatan dan sekali gus mengharumkan nama negara.

“Saya percaya muzik tempatan boleh pergi jauh tetapi orang dalam industri harus lebih terbuka serta berani mencuba,” katanya yang juga semakin dikenali di Jakarta, Indonesia.

Kaer yang bakal melanjutkan pengajian di sebuah institusi sama ada di Australia, New Zealand, Jakarta atau United Kingdom mempunyai perancangan menghasilkan album di Indonesia tidak lama lagi.

Dia berhasrat memperkenalkan konsep retro untuk album keduanya. Di samping berusaha menjalinkan kerjasama dengan komposer dari Sebarang, Kaer juga terus mengekalkan nama komposer tempatan.

“Buat masa ini terlalu awal untuk saya memperkatakan soal itu kerana ia masih dalam peringkat perbincangan. Janji saya, album ini akan menonjolkan kematangan vokal dan memuatkan lagu yang lebih menyengat,” katanya yang mengasah kemantapan vokal daripada guru vokal terkenal, Siti Hajar.
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR