Pertemuan Adam AF2 dengan keluarga angkatnya kecoh apabila sekumpulan lelaki berbadan tegap yang dipercayai menemani penyanyi itu bergaduh dengan pengawal peribadi keluarga berkenaan.
Ia berlaku selepas timbul ketegangan ketika mereka berbincang di rumah keluarga angkat terbabit di Kota Damansara di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Adam dikatakan datang ke rumah keluarga angkatnya dengan menaiki sebuah Mercedes Benz hitam dengan ditemani bapa kandungnya dan seorang lelaki yang mengaku dirinya bergelar Datuk serta beberapa lelaki berbadan tegap.
Kekecohan itu mengejutkan jiran keluarga angkat penyanyi berkenaan yang turut menyaksikan kumpulan lelaki berbadan tegap terbabit mengeluarkan kata-kata kesat kepada bapa angkat Adam yang juga bergelar Datuk.
Difahamkan, pergaduhan tercetus apabila bapa angkat Adam yang dikenali sebagai ‘Abah’ tidak membenarkan Datuk terbabit menyertai perbincangan mereka.
Difahamkan ketika pergaduhan berlaku, Adam dan bapa kandungnya berada dalam rumah untuk berbincang bagi menyelesaikan krisis peribadi antara mereka.
Abah ketika dihubungi berkata, ketika berbincang dengan penyanyi itu dan keluarganya, mereka terdengar bunyi bising di luar rumah dan terus keluar untuk melihat apa yang berlaku.
“Sebaik keluar dari rumah, saya dapati sekumpulan kira-kira enam hingga tujuh lelaki berbadan besar yang tidak dikenali tercegat bersama lelaki yang menggelarkan dirinya Datuk itu di hadapan rumah sambil memaki-hamun saya.
“Saya tidak mengetahui punca kejadian berkenaan dan cuba bertanya apa yang berlaku, tetapi sebaliknya mereka menampar muka pengawal peribadi saya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurutnya, kumpulan lelaki terbabit turut meludah pengawal peribadinya sambil mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya.
Abah berkata, dia tidak mengetahui motif sebenar lelaki berkenaan mahu menyertai perbincangan itu kerana setahunya, dia tidak mengenalinya serta tidak pernah bermusuh dengan sesiapa.
Abah juga menafikan dakwaan dia mempunyai niat tersembunyi atau cuba mempengaruhi Adam supaya mengikut katanya.
“Beberapa hari sebelum kejadian, Adam ada menghantar SMS kepada saya untuk mengadakan pertemuan bagi menyelesaikan segala masalah atau salah faham yang berlaku sebelum ini.
“Saya tidak mahu perkara ini berpanjangan dan menjadi buah mulut orang kerana kami sekeluarga sayang kepada Adam.
“Kami juga mendoakan semoga Adam bahagia dengan kehidupannya dan krisis antara kami dianggap selesai selepas perbincangan hari ini (semalam),” katanya.
Sementara itu, jiran keluarga angkat penyanyi itu yang enggan dikenali berkata, penduduk di situ turut terkejut dengan tindakan Adam meninggalkan keluarga angkatnya.
“Sebelum ini mereka hidup bahagia dan Adam sering kelihatan di rumah keluarga angkatnya.
“Adam juga sering mengikut bapa angkatnya berjemaah di masjid di kawasan ini dan selalu menunggang basikal dengan adik angkatnya.
“Keluarga angkatnya tidak pernah menimbulkan masalah kepada penduduk di kawasan ini dan mereka keluarga yang baik serta dihormati di sini,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Peribadi Adam, Zul Andi ketika dihubungi berkata, dia turut bersama penyanyi itu ke rumah keluarga angkat berkenaan, petang semalam.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku dan menafikan ada berlaku pergaduhan,” katanya.
Zul berkata, beliau tidak dapat menghubungi Adam kerana penyanyi itu tidak mahu menjawab panggilan telefon.
Adam sebelum ini mendiamkan diri selepas merajuk dan tertekan berikutan krisis dengan keluarga angkat selain kematian datuknya, baru-baru ini.