Monday, May 28, 2007
Ning Mengembara ke Kota LONDON
“Misi utama saya melebarkan sayap ke luar negara adalah untuk mereka menilai bakat saya... suara saya... muzik saya...
“Diri saya... biarlah seadanya. Seksi? Memang saya tidak mahu dan rasanya tak perlu, sebab artis di sana lebih seksi dan lebih berani,” jelasnya merungkai kenyataan itu.
Mungkin ramai yang sudah mengetahui, penyanyi bersuara saprano itu baru sahaja kembali ke tanah air setelah menyelesaikan proses rakaman album Inggerisnya di kota metropolitan itu pada awal bulan ini.
Tidak sahaja rakaman vokal, Ning sempat juga menjalani beberapa siri penggambaran dengan seorang jurugambar Jepun bernama Nicki di sana.
Ia sebagai persediaan bagi prapromosi album tersebut yang bakal dipasarkan di beberapa negara Eropah yang dijangka dilakukan pada musim panas tahun ini.
Tegas Ning, dia sudah menetapkan, penampilan untuk album Inggerisnya lebih menjurus kepada ciri minimalis yang lebih segar dan bebas.
“Tak perlu seksi! Inilah imej saya nanti,” katanya yang sempat merubah tata gaya rambutnya ketika berada selama 16 hari di kota tersebut.
Dandanan terbarunya itu dibuat oleh juru dandan Cina yang berasal dari Malaysia bernama Yan Chen yang kini bermastautin di sana.
Namun kata Ning, biar berimej moden tetapi dia tetap menampilkan ciri-ciri tempatan pada penampilannya khususnya kaftan dan batik bagi imejnya di Eropah.
“Itu pilihan saya. Saya tidak mahu berlebih-lebihan. Semasa berada di sana pun, saya mengenakan beberapa pasangan kaftan batik rekaan Nazleen Noor.
“Saya menyukai imej itu dan saya mahu perkenalkannya di sana. Dan saya rasa saya mampu,” kata Ning optimis.
*Ning perkenal classtronic
Usaha Ning merakamkan album Inggeris untuk pasaran Eropah telah dimulakan sejak setahun yang lalu setelah ‘disambar’ seorang lelaki Itali bernama Luigi Bagona.
Dia merupakan pengarah urusan Orinikos Private Limited, rakan niaga pengurusan Ning And Associates di Itali yang bertanggungjawab menguruskan pemasaran album Ning di Eropah.
Ning mengenali Luigi pada 2003 sewaktu mengadakan showcase di Planet Hollywood dan sejak itu menjalin hubungan erat dalam usaha merealisasikan impian menembusi pasaran di sana.
“Setahun selepas pertemuan, dia menghantar tiket kapal terbang kepada saya untuk ke Monte Carlo dan sejak itu saya yakin dia serius dengan projek untuk memperkenalkan saya dan menghasilkan album saya,” jelas Ning yang turut menjelajah Eropah dua tahun lalu atas undangan Luigi.
Berada di London dari 5 Mei hingga 20 Mei lalu, Ning merakamkan 13 buah lagu termasuk lagu Drama yang dialih bahasa kepada bahasa Inggeris.
Lapan hari berkurung di studio, pemilihan lagu-lagunya dibuat penerbit eksekutif, juga berasal dari Itali, Marco.
Dan akui Ning, vokalnya berbeza daripada biasa - tiada lagi suara saprano - dan dia mengetengahkan genre muzik yang dipanggil classtronic iaitu gabungan irama klasik dan elektronik yang lebih rancak seperti elemen lagu-lagu yang diperkenalkan Kylie Minouge dan Justin Timberlake.
Ditanya mengapa tidak mengekalkan muzik arus perdana seperti pop, Ning mempunyai alasannya tersendiri.
“Kalau mahu dikenali, perlu sesuatu yang baru dan berlainan yang menjadi minat khalayak di sana. Muzik classtronic yang saya bawakan menjadi minat orang di sana.
“Lagipun, bukan mudah memasuki pasaran pop atau rock kerana sudah terlalu ramai seperti Anggun (penyanyi dari Indonesia) sudah punya nama yang amat besar di Eropah malah lagunya turut berada di carta.
“Saya tidak mahu menjadi ‘seorang lagi Asia’ yang hadir dengan konsep sedemikian,” jelas Ning yang turut berbangga kerana komposer popular Britain, Scobie yang pernah menghasilkan lagu untuk Jamiroquai turut menyumbangkan lagu untuknya.
Menurut Ning tidak sukar merakamkan lagu di sana kerana sudah berlatih secara online dua minggu sebelum bertolak ke London.
*Perjudian besar risiko tinggi
Bercerita tentang projek album Inggeris sulungnya itu, kata Ning, dia tidak pernah menyangka impiannya itu akan terlaksana
“Biasalah... Pernah ditipu beberapa kali membuatkan saya kurang mempunyai rasa percaya pada mereka yang menawarkan janji-janji sedemikian,” katanya.
“Tetapi Luigi mengotakan janjinya dan alhamdulillah, kini tinggal menunggu masa untuk dipasarkan,” tambah Ning.
Namun Ning mengakui bukan mudah memulakan langkah untuk mengejar pasaran dunia khususnya di negara Eropah walaupun kini beberapa negara seperti Jerman, Perancis, Belanda, Sepanyol, United Kingdom dan Italy sudah menunjukkan minat.
“Raihan sebelum begitu dikenali, menjelajah ke kolej-kolej dan kemudian terus berkembang. Lihatlah mereka sekarang.
“Saya juga mahu berjaya seperti itu. Mendapat sokongan tidak sahaja kalangan mereka berbangsa Inggeris tetapi juga kalangan orang Melayu dan muslim di sana.
“Dan saya yakin, jika ada rezeki, saya akan berjaya. Tetapi jika tidak, saya tidak akan berputus asa dan akan terus mencuba.
”Apapun, saya sudah bersedia. Tiada apa yang dapat menghalang saya. Kalau saya kena menyanyi di pasar raya pun saya bersedia.
“Paparazzi? Kalau itu yang saya perlu hadapi, saya akan harungi. Yang penting, saya akan menjaga diri.
“Malah saya sudah bersedia untuk berhijrah ke London jika itu yang harus saya lakukan demi mencapai kejayaan.
”Apa yang saya perlu kini hanyalah doa daripada keluarga, rakan-rakan dan peminat. Ini satu perjudian paling besar dalam kerjaya saya dan saya mengambil risikonya,” kata Ning yang pernah melahirkan sebuah album berjudul Natural Woman untuk pasaran di Jepun pada 2001.