SEPANJANG Gang Starz diadakan, program TV realiti itu tidak banyak mencetuskan kontroversi sehinggalah konsert mingguannya pada malam Ahad lalu.
Pada malam itu program terbitan TV3 tersebut membuat kejutan apabila menyingkirkan dua kumpulan tempatan iaitu E-Voke dan Colabr8.
Kejutan timbul apabila dua peserta itu dimasukkan semula ke dalam Gang Starz dan akan bersaing dengan Pianka, N-Quint, G-18, Equal Star serta Infinatez yang pernah tersingkir sebelum ini.
Wan-D bersama anggota kumpulannya, Colabr8 merupakan peserta Gang Starz yang paling tidak berpuas hati dengan keputusan itu.
“Kami tidak puas hati kerana Gang Starz memasukkan semula peserta yang telah tersingkir sebelum ini.
“Kalau kami tersingkir malam ini kami rasa berbaloi tetapi dengan adanya kemasukkan semula peserta Gang Starz yang pernah tersingkir kami terpaksa bersaing semula.
“Bukannya mudah untuk kami berada di tahap sekarang ini. Keluarga kami sudah banyak sangat mengundi (menghantar SMS) untuk kami .
“Sampaikan dua adik anggota kami iaitu DJ KS menangis apabila kami disingkirkan. Sedangkan peserta yang telah tersingkir senang-senang sahaja dimasukkan semula mendapat peluang bertanding sekali lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas konsert mingguan Gang Starz di
Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor malam kelmarin.
Bagaimanapun, jelas Wan-D atau nama sebenarnya Muhd. Hazwan Jasmi, 21, dia terpaksa akur dengan keputusan tersebut.
“Kami tidak boleh menyalahkan sesiapa sebab kami sudah mengikat kontrak (dengan TV3). Tetapi hati kami memang terguris. Sampai hati mereka buat kami macam ini,” ujarnya lagi sambil menitiskan airmata.
Pengurus Jabatan Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan berkata, keputusan penyingkiran dan penyerapan semula tujuh kumpulan yang tersingkir itu bagi memberi peluang mereka bertanding sekali lagi.
“Keputusan ini dibuat pada saat akhir kerana kami mendapati ramai peserta termasuk yang tersingkir juga berbakat.
“Kadang-kadang para penonton tidak nampak sepenuhnya dan mereka pula tidak mengundi tetapi juri nampak (bakat peserta).
“Kami merasakan mereka ini sebagai artis pelapis masa depan, kalau bakat-bakat ini terlepas (tidak diberi perhatian) sayanglah (rugi),” katanya.
Ini bermakna, pada konsert minggu depan Colarbr8, E-Voke, Pianka, N-Quint, G-18, Equal Star dan Infinatez akan bersaing di mana pemenang yang mendapat undian khidmat pesanan ringkas (SMS) tertinggi dan atas pemilihan juri akan layak bertanding pada peringkat akhir pada 17 Jun ini.
Jelas Azhar, kemasukkan semula para peserta yang tersingkir tidak bermaksud TV3 mahu menambah jumlah undian SMS.
“Isu itu tidak berbangkit langsung. Ini kerana, pada setiap minggu konsert Gang Starz diadakan, kami menerima jumlah SMS yang tinggi,” ujarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Farid Ridzuan pula berkata, kemasukkan semula peserta yang tersingkir pada Gang Starz sebagai tali penghubung antara para peserta dengan penonton program TV realiti itu.
“SMS merupakan salah satu kaedah interaktiviti yang kami gunakan untuk penonton memilih peserta Gang Starz dan ia bukannya berdasarkan keuntungan semata-mata,” katanya.
Kata Farid, Gang Starz merupakan satu-satunya program TV realiti yang mencungkil bakat penyanyi berkumpulan di Asia Tenggara.
Kata Farid, Gang Starz merupakan satu-satunya program TV realiti yang mencungkil bakat penyanyi berkumpulan di Asia Tenggara.
Justeru, pada konsert minggu depan para peserta akan diberi peluang untuk menambah atau menyingkirkan anggota kumpulan masing-masing bagi memantapkan lagi persembahan mereka dalam usaha merebut hadiah wang tunai berjumlah RM340,000.
“Juri akan beri pendapat. Ini peluang mereka untuk tambah atau singkirkan anggota kumpulan mereka. Juri akan tolong para peserta buat keputusan tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, buat masa ini TV3 sedang berbincang dengan beberapa buah syarikat rakaman yang berminat untuk menguruskan para pemenang dan peserta Gang Starz kelak.
“Kami sedang berbincang dengan KRU Records, salah satu daripada syarikat rakaman yang berminat. Pemenang Gang Starz antaranya akan mendapat kontrak dengan syarikat yang akan menguruskan mereka kelak.
“Kami akan buat pengumuman rasmi tentang perkara itu tidak lama lagi,” katanya lagi.
Pertandingan akhir Gang Starz akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam pada 17 Jun ini bukan sahaja bakal disiarkan secara langsung menerusi TV3.
Pertandingan akhir Gang Starz akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam pada 17 Jun ini bukan sahaja bakal disiarkan secara langsung menerusi TV3.
Sebaliknya, stesen TV Televisi Paling Indonesia (TPI) juga akan menyiarkan siaran langsung pertandingan nyanyian tersebut di Indonesia.