Tahap kesihatan seniwati veteran, Kasma Booty, 75, yang dimasukkan ke Hospital Ampang, Selangor minggu lalu kerana menghadapi masalah paru-paru, sudah semakin stabil.
Bagaimanapun doktor masih mengawasi perkembangan kesihatannya dan beliau perlu menjalani pemeriksaan lanjut.
Anak bongsunya, Purnama Booty Jacobs, 52, berkata keadaan ibunya masih lemah kerana baru menjalani rawatan susulan untuk pemeriksaan jantung tengah hari semalam.
“Ibu baru selesai menjalani rawatan susulan untuk pemeriksaan jantung, tengah hari tadi. Alhamdulillah, doktor memberitahu jantungnya berada dalam keadaan baik.
“Esok, ibu dijadualkan menjalani pemeriksaan paru-paru pula. Doktor menasihati agar ibu terus berada di Hospital Ampang sehingga keadaannya benar-benar pulih,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Dalam waktu sama walaupun sudah beransur pulih, Purnama berkata, keadaan ibunya masih lemah dan tidak dibenarkan banyak bercakap.
“Keadaan ibu begitu kerana badannya baru hendak kembali sembuh terutama akibat masalah pernafasan yang dihidapi sebelum ini.
“Badannya juga masih lemah kerana masalah berat badan yang dihadapi tetapi rasanya ia tidak menjejaskan rawatan yang dilakukan doktor,” katanya.
Purnama berkata, ibunya tetap menerima pelawat daripada saudara mara dan rakan-rakan terdekat.
“Begitupun, mereka hanya dapat melihat dari jauh dan hanya bercakap sepatah dua kerana tahu keadaan ibu tidak boleh banyak bercakap dan berasa penat.
“Selain itu, kebanyakan rakan rapat akur dengan saranan doktor agar ibu tidak banyak menerima tetamu kerana tidak mahu proses rawatan terganggu,” katanya.
Sebelum itu, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dengan diiringi Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Mohd Mahyidin Mustakim dan Timbalan Ketua Pengarah Finas, Mohd Zulkifli Ab Wahab, datang melawat Kasma.
Tidak ketinggalan rakan baiknya, seniwati veteran Latifah Omar dan suami turut menziarahi seniwati yang cukup popular dengan filem Juwita.
Kasma dimasukkan ke Hospital Ampang, 13 Mei lalu selepas menghadapi masalah pernafasan dan selepas diberi rawatan rapi di unit rawatan rapi, doktor mendapati dia menghidapi masalah paru-paru berair.