Kemunculan album Hattan, Masterpiece to Ramli Sarip baru-baru ini, ternyata telah memberi impak yang besar kepada kedua-duanya, Hattan dan Ramli sendiri.
Ini terbukti apabila kedua-duanya tampil pada Majlis Pelancaran Sukan Negeri Sembilan 2007 (Suknes 07) baru-baru ini. Hampir 100,000 penonton bagaikan tidak mahu berganjak walaupun Hattan dan Ramli selesai membuat persembahan.
Mereka bersorak tatkala Hattan menyanyikan dua lagu daripada album terbarunya itu iaitu Kau Yang Satu dan Istilah Bercinta.
Begitu juga apabila Ramli Sarip tampil dengan lagu-lagu popularnya seperti Doa Buat Kekasih dan Kamelia.
“Bayangkan. Hattan dah selesai menyanyikan empat lagu dan Ramli lima lagu seperti yang kami rancangkan, tapi penonton di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada hari itu macam tak mahu berganjak.
“Bagusnya Hattan dengan Ramli, mereka berpakat menyanyikan tiga lagi lagu. Ramli petik gitar, berduet dengan Hattan menyampaikan lagu-lagu bonusnya itu,” cerita Pengarah Urusan D’Media Event Entertainment, Syed Yusof Wafa yang bertanggungjawab membawa kedua-dua penyanyi tersebut pada persembahan itu.
Selain Hattan dan Ramli, penyanyi 60-an Jefrydin juga turut diundang menjayakan pentas persembahan itu. Jefrydin mempersembahkan empat lagu popularnya termasuk Seruling Anak Gembala dan Kenanganku.