Thursday, June 7, 2007

Datuk Shake di Menara KL

SELESAI sudah sambutan Minggu Setiausaha dan Hari Ibu, kini pihak hotel sibuk menganjurkan Hari Bapa pula.

Turut serta memeriahkan sambutan Hari Bapa ialah Menara Kuala Lumpur (Menara KL) yang telah memilih Datuk Shake sebagai peneraju utama untuk menghibur tetamu di Mega View Bankuet, Menara KL yang terletak pada ketinggian 288 meter dari paras bumi.

Majlis yang membawa tema Sambutan Hari Bapa di Awan Biru itu akan diadakan pada pukul 3 hingga 5 petang pada 17 Jun ini.

Pada persembahan itu, Datuk Shake akan mempersembahkan lagu-lagu popularnya seperti Ummi, Pulanglah, Kau Bungaku dan Anugerah Dari Kegagalan.

“Saya akan cuba mengembalikan nostalgia pendengar pada persembahan itu nanti dan jika ada permintaan daripada penonton, saya tidak kisah untuk memuaskan hati mereka,” kata penyanyi yang sudah pun mempunyai lima orang cucu itu pada majlis sidang akhbar Sambutan Hari Bapa di Awan Biru di Menara KL, baru-baru ini.

Harga untuk menonton persembahan Datuk Shake itu ialah RM3,000 hingga RM1,550 bagi setiap meja. Tempahan terhad untuk 25 meja sahaja.

Selain berhibur, penonton juga akan berpeluang memenangi pelbagai hadiah seperti motosikal Kriss Modernas, pakej percutian ke Bali selama tiga hari dua malam dan baucer makanan dari restoran terpilih.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Suhaily Sahad di Jabatan Perhubungan Awam dan Acara di talian 03-20205448 atau 03-20206504.
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR