Monday, July 9, 2007

Luscious mengejar kerlipan bintang

Siapa Luscious?. Ya! Siapa yang kenal dengan nama itu seandainya tiga gadis manis ini tidak menyertai pertandingan TV realiti Gang Starz yang berakhir pada 17 Jun lalu.
Bukan sahaja kerana program anjuran TV3 itu menawarkan hadiah kemenangan wang tunai paling tinggi berjumlah AS$100,000 (RM350,000) tetapi lebih utama, mereka ialah satu-satunya kumpulan yang anggotanya semua wanita.
Selain bertanding dengan para peserta dari negara ini, mereka juga perlu berentap dengan kumpulan dari dua negara Asia lain termasuk Indonesia dan Singapura.
Biar nasib tidak menyebelahi mereka apabila tersingkir pada persembahan episod kelapan, namun itu tidak mematahkan semangat mereka untuk mengejar kerjaya sebagai sebuah kumpulan penyanyi wanita.
Luscious kini giat mempersiapkan diri untuk menghasilkan album sulung.
Kata anggotanya; Eenaz, Nadia dan Ruzana, mereka mahu menghasilkan sendiri lagu, susunan muzik dan liriknya.
Mereka sendiri mampu bermain alat muzik khususnya piano dan mengakui setiap lagu yang terhasil untuk album itu nanti adalah hasil buah tangan mereka sendiri.
“Kami mahu pendengar menghayati muzik dan cita rasa kami. Itu intonasi kami. Dan kami berharap, album itu mampu menjadi sebuah inspirasi kepada pendengar,” kata mereka.

RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR