Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, dilahirkan pada 9 Februari 1974 dan berasal dari Sungai Choh, Rawang, Selangor.
Memulakan kerjayanya dalam bidang modelling sehinggalah dinobatkan sebagai Miss Malaysia/World 1992. Dia juga pemenang tempat ketiga Miss South East Asia 1992/1993. Erra seterusnya menceburkan diri ke dunia seni sebagai penyanyi dan pelakon, kini usahawan.
Antara album yang pernah dihasilkannya termasuklah Erra Fazira (1994), Aku dan Dia (1995), 2.5 Sayang (1996), Kini (1999 ), Sampai Bertemu (2002), Kini Kembali (2003) dan Ya Atau Tidak (2006). Manakala lagu popularnya ialah Pasrah, Jendela Hati, Hadirnya, Pertemuan, Ucapkanlah (duet dengan Yusry) dan Nada Kasih (duet dengan Rio Febrian).
Erra pernah mendapat jolokan primadona filem Melayu alaf baru. Antara filem lakonannya ialah Sembilu, Maria Mariana, Gemilang, Tragedi Oktober, Pasrah, Gerak Khas The Movie (GKTM), Mr Cinderella, Gila- Gila Pengantin, Cinta Kolesterol, Hingga Hujung Nyawa, Pesona Non Grata dan Qabil Khusri Qabil Igam (QKQI). Tujuh kali dia dinobatkan sebagai Pelakon Filem Wanita Popular menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABP-BH).
Ratu Filem Melayu itu pernah menjalin hubungan serius dengan Awie selama empat tahun. Mereka bertunang pada Oktober 1997, tetapi terputus di tengah jalan pada tahun berikutnya. Hanya pada 1999, Erra mula rapat dengan Yusry Abdul Halim (Yusry KRU) apabila mereka digandingkan menerusi filem Mr Cinderella. Ternyata desas-desus hubungan cinta mereka benar apabila kedua-duanya bertunang pada 3 Mac 2003
Erra akhirnya diijabkabulkan dengan Yusry pada 15 Jun 2003 di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Majlis persandingan penuh gemilang atau dianggap Wedding of the Year itu diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 22 Jun 2003.
Namun, selepas mengecapi kebahagiaan alam berumah tangga kira-kira dua tahun, perkahwinan mereka tiba-tiba dilanda badai sehingga kedua-duanya tidak lagi tinggal sebumbung untuk beberapa ketika. Erra dan Yusry akhirnya bercerai secara rasmi pada 16 Jun 2006.
Hubungan intim Erra dengan Hans Isaac mula menjadi bualan ramai ketika mereka berlakon sama dalam filem Persona Non Grata pada 2005. Penggambaran filem itu dibuat di Thailand. Ketika itu rumah tangga Erra bersama Yusry sedang bergolak.
Bagaimanapun, Erra menafikan keretakan rumah tangganya berpunca daripada hubungan rapatnya dengan Hans kerana mereka hanya kawan baik. Pun begitu, selepas Erra bercerai dengan Yusry, sekali lagi hubungan istimewa Erra bersama Hans kembali diperkatakan apabila mereka sering kelihatan bersama.
Hubungan rapat mereka terus menjadi bualan hangat apabila Hans sanggup menghadiahkan jam tangan Rolex bernilai RM15,000 sempena hari jadi Erra ke-33 pada Februari lalu. Pun begitu, Erra tetap menafikan mereka bercinta, selain mendakwa tiada salahnya dia menerima hadiah mewah daripada rakan baik.
Hanya pada awal Julai ini Hans tiba-tiba mengesahkan hubungan cintanya dengan Erra sudah pun berakhir berikutan penyanyi dan pelakon terkenal itu dikatakan bakal berkahwin dengan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin.
Monday, July 9, 2007
Info & kronologi sejarah percintaan Erra
Sumber dari "Bintang Popular"