Thursday, August 23, 2007

Dafi hibur peminat Bera


Peminat bekas peserta Akademi Fantasia 5, Mohd. Gaddafi Ismail atau Dafi, pastikan jangan lepaskan peluang bermesra dengan penyanyi comel ini dengan lebih dekat lagi pada hari Sabtu ini (25 Ogos) di Laman Kerayong, Bera, Pahang bermula pukul 10 pagi.

Dafi akan meluangkan masa lebih daripada satu jam untuk bermesra dengan para peminatnya dan ia merupakan antara aktiviti yang bakal berlangsung sempena Karnival Parlimen Bera dengan kerjasama stesen radio AsyikFM.

Bukan itu sahaja, malah Dafi juga merupakan antara 13 artis lain yang akan terlibat dalam Konsert Gerenti Asyik pada hari yang sama pukul 9 malam.

Istimewanya konsert ini, ia menampilkan artis-artis dari tahun 60-an sehinggalah sekarang seperti J.Sham, Uji Rashid, Ifa Raziah, Zamani, Farahdhiya, kumpulan Jinbara serta kumpulan Flava yang dicungkil bakat mereka dari program realiti, Gang Starz.

Selain itu juga, artis dari kaum Orang Asli seperti Agek, D’Menteri dan Hitam dari kumpulan Jelmol turut akan menghiburkan penonton yang hadir nanti. Pengacara yang diberi mandat mengendalikan konsert berkenaan ialah tiga pelawak terkenal, Sathiya, Angeline Tan dan Zami Ismail.

Sebelum berlangsungnya konsert tersebut, akan diadakan tayangan sejarah perjuangan kemerdekaan selama satu jam bagi mengenang kembali jasa mereka yang telah berusaha membebaskan tanah air daripada kuasa penjajah.

Selain itu juga, pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk para pengunjung seperti pameran serta pelbagai pertandingan seperti futsal dan bola jaring, mewarna untuk kanak-kanak serta pertandingan lagu patriotik.
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR