Wednesday, August 22, 2007

Hampir 10,000 peminat saksikan Konsert solo Gwen Stefani malam kelmarin


KATALAH apa saja mengenai penyanyi berambut perang ini. Seksi, tidak bermoral atau mampu membawa pengaruh kurang baik kepada remaja, namun apa yang pasti dakwaan itu tidak langsung dihiraukan peminatnya di negara ini yang terdiri dari pelbagai lapisan usia, kaum dan keturunan.

Jika tidak, masakan hampir 10,000 penonton membanjiri Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam kelmarin semata-mata untuk menyaksikan figura bernama Gwen Stefani mengadakan konsert solonya di sini. Malah, kesanggupan mereka meredah kesesakan jalan raya, beratur panjang sebelum masuk ke dalam stadium menjadi bukti kesetiaan mereka terhadap bekas vokalis kumpulan No Doubt ini.

Berbeza konsert artis Bollywood yang sering tidak menepati masa, konsert The Sweet Escape Jelajah Dunia menyingkap layarnya tepat pada jam 9 malam. Secara tiba-tiba, lampu stadium digelapkan dan ketika itulah kelihatan dua gadis Jepun berskirt kembang berlari berkeliaran di kanan dan kiri stadium seolah-olah sedang dikejar seseorang.

Kemudian muncul pula di atas pentas dua lelaki lengkap berpakaian ala polis mengejar mereka. Entah apa kesalahannya, kedua-dua gadis itu ditangkap sebelum dibawa ke tengah pentas. Namun, jangan terperanjat, itu semua hanyalah gimik yang dipersembahkan empat penari latar Gwen sebagai membuka tirai konsert.

Dengan iringan muzik Gwen tampil berbaju belang putih hitam yang dipenuhi labuci membuka persembahan dengan lagu The Sweet Escape diikuti l Rich Girl kemudian Yummy sebelum berinteraksi dengan penonton. Menepati janjinya sebelum ini, walaupun mengekalkan imej berseluar pendek, Gwen melindungi kakinya dengan leotard berwarna hitam sekali gus menepati peraturan dan garis panduan yang dikenakan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) sebagai syarat untuk penyanyi ini meneruskan konsertnya di negara ini.

Nyata dalam usia 37 tahun, Gwen masih begitu bertenaga dalam membuat persembahan. Ruang pentas yang agak besar itu digunakan sepenuhnya untuk dia beraksi. Berlari ke kiri dan kanan pentas, sambil menyanyi dan menari membuktikan stamina yang dimiliki Gwen bukan calang-calang. Paling menghairankan, suaranya tidak pernah ‘pancit’ biarpun kebanyakan lagunya berentak rancak.

Bukan saja bertenaga dalam membuat persembahan, malah ibu kepada seorang cahaya mata lelaki berusia 15 bulan ini juga bijak berkomunikasi dan mengambil hati penonton.
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR