SUKAR untuk menelah apa yang bermain di benak fikiran penyanyi bersuara lunak, Liza Hanim ketika ini. Bercampur baur barangkali saat jarinya asyik menghitung hari memulakan sesuatu yang baru, yang belum pernah dilaluinya.
“Debarnya membuat saya tidak lena tidur,” perlahan tutur Liza saat ditemui usai sesi pengenalan barisan pelakon utama teater muzikal, Remy... Kisah P Ramlee di Borneo Rainforest Cafe, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Bukan sesuatu yang rahsia lagi apabila penyanyi yang cukup akrab dengan lagu Merawat Luka Terpendam ini tersenarai sebagai lima pelakon utama pementasan terbitan Enfiniti Productions Sdn Bhd milik aktres unggul, Datin Seri Tiara Jacquelina.
Bakal memainkan peranan sebagai isteri Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang dilakonkan Sean Ghazi iaitu Saloma, Liza mempunyai alasan tersendiri mengapa dia berani menggalas peranan besar itu.