FILEM terbaru arahan Raja Ahmad Alauddin, Kayangan sudah pun menemui penonton semalam (9 Ogos).
Rata-rata yang sudah menyaksikan filem berkenaan ternyata memberikan komen yang positif terhadap buah tangan terbaru pengarah yang pernah merangkul anugerah Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia Malaysia (FFM) Ke-9 menerusi filem Hati Bukan Kristal itu.
Memang benar.
Selepas menonton filem berkenaan, saya tersenyum kerana berasa puas dapat menonton filem yang bertemakan perbezaan darjat dan keturunan itu. Ternyata kesemua pelakon memberikan lakonan yang baik dan berkesan terutama si jelita, Nur Fazura Sharifuddin yang ternyata berjaya membawakan watak Maseira dengan bijak sekali.
Fazura berjaya mengubah imej Putri (wataknya dalam filem dan drama bersiri, Gol dan Gincu) yang sering dilabelkan kepadanya. Menonton lakonan Fazura tidak keterlaluan dikatakan, dia boleh dicalonkan untuk Pelakon Wanita Terbaik pada FFM tahun depan.
Dynaz yang membawakan watak Erina juga berkesan dan sudah pasti membuatkan penonton berasa benci dan meluat melihatkan perangainya yang cukup gedik dan mengada-ngada dalam filem berkenaan. Begitu juga dengan Nazril Idrus yang mampu pergi jauh dalam bidang lakonan jika terus diberi peluang dan digilap bakatnya.
Namun, sudah menjadi adat dunia. Dalam kesempurnaan tetap ada cacat cela yang tidak dapat dielakkan. Sebagai contoh, apabila Teuku Zacky ‘terpaksa’ menggunakan suara pelakon dan pengacara, Ashraff Sinclair bagi menjayakan watak Tengku Amir yang dilihat gagal memberikan penghayatan yang sebaiknya. Secara tidak langsung, ia salah satu faktor yang boleh membuatkan mood penonton sedikit merosot.