RADIO Televisyen Malaysia (RTM) menyediakan sekurang-kurangnya 100 rancangan khas yang akan disiarkan menerusi RTM1, RTM2 dan stesen radio RTM sempena sambutan Aidilfitri kali ini.
Menggunakan 'tagline' Meriah Aidilfitri saluran inforia RTM1 menyediakan lapan buah filem iaitu lima filem Melayu dan tiga filem dari Indonesia. Selain empat telemovie, empat drama termasuk dua drama panggung, 13 rancangan hiburan dan muzikal tujuh rancangan majalah dan dokumentari, sembilan terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), lima rancangan kanak-kanak termasuk satu untuk remaja dan selebihnya rancangan bicarawara, sukan dan satu rancangan penerbitan khas.
Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin, berkata semua program itu yang terbaik selaras garis panduan yang ditetapkan RTM. "Untuk memastikan RTM terus menjadi stesen televisyen dan radio terbaik di negara ini, kami sentiasa memantau kualiti produk dari masa ke semasa. Pelbagai rancangan menarik dan bersesuaian dengan peredaran zaman diberi penekanan begitu juga dengan musim perayaan."RTM menyediakan pelbagai rancangan yang terbaik, menarik dan bermutu sebagai sajian istimewa untuk tontonan umum sempena menyambut ketibaan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi. "Sepertimana tahun sebelumnya RTM tidak hanya menekankan rancangan hiburan semata-mata, malah tetap menonjolkan rancangan yang mempunyai mesej tersirat dan tersurat dengan tidak mengabaikan nilai-nilai murni dan keagamaan, adat serta budaya masyarakat terutama dalam kemeriahan sambutan Aidilfitri.
"Program raya di RTM akan bermula pada malam menjelang Aidilfitri melalui semua saluran radio dan TV akan menyiarkan perutusan khas Aidilfitri daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi jam 8.30 malam," katanya dalam majlis Berbuka Puasa dan Sidang Media Rancangan Rancangan Aidilfitri di RTM 2007.Menyentuh isi kandungan program, RTM menyemarakkan suasana hari raya dengan penayangan Gema Takbir Hari Raya di sepanjang malam menerusi radio dan TV.Apa yang menarik program ini akan disertai anggota pasukan beruniform, orang kenamaan, pelajar institusi pengajian tinggi termasuk orang awam. Siarannya bermula 9 malam pada malam raya dan berterusan hingga ke awal pagi.
Kemudian siaran langsung Solat Sunat Aidilfitri dari Masjid Negara Kuala Lumpur akan menyusul selama 90 minit dari 8 hingga 9.30 pagi.
Sementara pelbagai filem akan memenuhi ruang istirahat penonton, antaranya Cicak Man (Ahad, 14 Oktober) jam 8.30 malam, Tentang Bulan (Isnin, 15 Oktober) 2 petang, Baik Punya Cilok (Selasa, 16 Oktober) 8.45 malam, Tipah Tertipu (Rabu, 17 Oktober) 2 petang, Pesona Non Grata (Sabtu, 28 Oktober) 3.05 petang.Tiga filem Indonesia turut disenaraikan dalam slot Aura 1, Apa Ertinya Cinta (Ahad, 14 Oktober) 3.05 petang, Dealova (Sabtu, 21 Oktober) 3.05 petang dan My Heart (Jumaat, 19 Oktober) 8.30 malam."Boleh dikatakan filem yang ditayangkan baik di RTM1 dan RTM2 filem box office.
"Ini bermakna penonton yang belum berkesempatan menyaksikannya berpeluang menyaksikan kehebatan filem berkenaan menerusi saluran kami," katanya. Selain itu lima lagi rancangan Ziarah Lebaran (Isnin dan Selasa, 15 dan 16 Oktober, 4.05 petang), Forum Perdana Khas (Khamis 18 Oktober, 10 malam), Selebriti Sukan (Jumaat, 19 Oktober, 4.05 petang) sementara Fitrah Kasih (Sabtu, 20 Oktober 8.30 malam) serta KMJ Khas (Khamis, 18 Oktober 8.45 malam).RTM1 juga menyiarkan empat telemovie antaranya penerbitan bersama Radio Televisyen Brunei (RTB) yang berjudul Menggapai Awan Di Langit (Isnin,15 Oktober, 11.30 malam). Manakala slot Panggung RTM memilih Mencari Sinar Lailatul Qadar untuk disiarkan Selasa (16 Oktober) jam 2 petang.Dua lagi telemovie khas yang bakal menghiasi slot Panggung Seri, Ibu Mak Mama Mummy (Khamis 18 Oktober, 2 petang) dan Ada Jalan Kembali (Jumaat, 19 Oktober, 2 petang). Menambahkan keceriaan lebaran, RTM1 menyiarkan drama komedi Tak Pulang Nak Pulang (Sabtu, 13 Oktober 2 petang), Cik Timah Lenggang (Sabtu, 20 Oktober, jam 2 petang), Sesal (Ahad, 14 Oktober) dan Rintihan Keampunan (Sabtu, 20 Oktober).
Sumber : Metro