Wednesday, September 26, 2007

Angkasawan negara di Astro

Pemilihan Dr Sheikh Muszaphar Shukor, 34, dan Dr Faiz Khaled, 26, sebagai angkasawan pertama Malaysia berjaya mencipta sejarah tersendiri buat negara yang baru menyambut kemerdekaan ke-50.

Lantas setiap langkah mereka ke angkasa lepas nanti akan dirakamkan buat tatapan rakyat negara ini. Justeru, untuk berkongsi kebanggaan itu, Astro dilantik sebagai pusat transmisi di Malaysia akan menyediakan saluran khas Angkasa1. Saluran itu diwujudkan selama dua minggu saja, dari 8 hingga 21 Oktober menerusi saluran 588 Astro. Selepas dua hari saluran itu beroperasi, pada 10 Oktober ini pelanggan TV satelit itu akan dapat menyaksikan pengembaraan angkasawan Malaysia yang pertama ke angkasa lepas apabila Astro menyiarkan peristiwa itu secara langsung di saluran berkenaan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Astro TV, Rohana Rozhan, Astro memikul tanggungjawab ini untuk menyokong agenda nasional dalam mempromosikan kepentingan sains dan teknologi angkasa melalui peranannya sebagai penyiar dan pembekal kandungan bagi saluran Angkasa1. "Sebagai pusat transmisi di Malaysia, Astro akan mengumpulkan siaran secara langsung daripada Baikonour, Moscow, Astana dan Houston untuk disiarkan semula kepada semua stesen penyiaran negara supaya rakyat dapat berkongsi peristiwa bersejarah ini. "Sebagai tambahan, Astro juga akan menyiarkan semula kandungan yang dipakej semula disertai kandungan tambahan kepada Astana di Kazakhstan dan Kuala Lumpur sewaktu tontonan siaran langsung pelancaran itu di kedua-dua lokasi," katanya.

Selain itu katanya, Astro terus menyediakan tambahan bernilai melalui saluran khusus itu. Lebih menarik, saluran baru itu akan disampaikan dalam Bahasa Malaysia. Julung kali angkasawan Islam berpuasa dan menyambut Aidilfitri di angkasa lepas. "Untuk memberi lebih maklumat kepada penonton, saluran itu juga akan memaparkan program menarik merangkumi fakta mengenai pengembaraan ke angkasa lepas, pesawat angkasa, program angkasa negara dan program latihan angkasa, sejarah NASA serta maklumat mendalam pesawat angkasa.

"Disisipkan juga temu bual bersama pemimpin negara, angkasawan dan ahli keluarga mereka," katanya di mana pelanggan Astro akan menikmati program itu melalui pakej Famili tanpa sebarang langganan tambahan.
Isi kandungan lain dalam Angkasa1 merangkumi siaran langsung roket berlabuh, pendaratan angkasawan Malaysia, sesi perhubungan secara langsung dengan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), temu bual bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan temu bual dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis. "Orang ramai juga boleh membuat panggilan ke studio untuk memberi pesanan galakan atau mengajukan soalan berkenaan penerokaan angkasa lepas," katanya. Majlis pelancaran saluran Angkasa1 itu dilancarkan Dr Jamaluddin, turut hadir, Pengarah Eksekutif Astro Entertainment, Zainir Aminullah.

Sumber : Metro
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR