Sukar baginya untuk berdepan dengan peminat yang asyik bertanyakan bilakah album barunya keluar? Dia sendiri sudah tidak mampu berjanji kerana syarikat rakaman sendiri tidak memberi kata putus.“Saya sudah merakamkan 11 lagu dan selepas pihak syarikat mendengar kesemua lagu itu salah satu daripadanya akan dikeluarkan. Namun, sehingga kini saya tidak mendengar sebarang cerita mengenai kesemua lagu itu. Lagu mana hendak disimpan dulu pun, saya tidak tahu. “Sudah hampir dua tahun kesemua lagu siap dirakamkan tetapi belum pasti bila album itu akan memasuki pasaran.
Disebabkan saya tidak sanggup menunggu lagi, saya minta peruntukan kewangan daripada syarikat untuk membuat kulit album sendiri,” katanya.Menurut Zarina, dia sendiri mencari idea untuk konsep album itu, kostum dan lokasi serta mengupah jurugambar. Bahkan dia juga menaip lirik lagu, memasukkan nama komposer dan penulis lirik.“Bagi menyempurnakannya, saya perlukan kerjasama daripada komposer album itu, Azmeer tetapi dia sibuk dan anaknya baru meninggal dunia.
“Ketika pembikinan album pertama dulu saya tidak tahu apa-apa mengenai penghasilan album tetapi kali ini saya melakukan segala-galanya untuk memastikan album ini berada di pasaran,” katanya.“Seperkara yang membimbangkan, kontrak saya dengan Interglobal tamat pada awal 2008 dan kalau tidak keluar juga dalam masa terdekat ini, mungkin album itu tidak muncul langsung,” katanya.Dalam nada hampa Zarina menambah, jika dia tahu perkara seperti ini akan terjadi, katanya, lebih baik Interglobal terbit saja album mini atau album single. Hampir dua tahun tiada album juga akan menggugat popularitinya dalam bidang seni atau barangkali ada yang terfikir dia tidak aktif lagi. “Kalau ada gangguan pun, saya terpaksa merakamkan semula lagu ciptaan Nitrus berjudul Harapan Berbunga Realiti. Ini kerana rakaman pertama tidak begitu bagus dan Nitrus juga mahu saya masuk studio kembali untuk lebih memberi jiwa kepada lagu itu.
“Saya yakin lagu itu bakal mengulangi kejayaan lagu Langit Ketujuh. Konsep lagu Harapan Berbunga Realiti itu hampir menyamai Langit Ketujuh tetapi ia bagus lagi.
“Lagu yang siap dirakam itu saya perdengarkan kepada ramai orang dan mereka beritahu lagu itu memang bagus dan boleh pergi jauh. Respons positif seperti itu membuatkan saya terus tidak sabar menunggu kelahiran album itu. “Jika ada persembahan saya akan menyanyikan lagu itu dan juga lagu baru lain. Ia juga salah satu cara mempromosikan album itu. Bukan itu saja, lagu Harapan Berbunga Setia juga sudah dimainkan dalam slot Baru Di Era dan Hot FM Prelude (khusus untuk lagu baru) dan sudah terkeluar pun. “Takkan saya perlu turun padang mempromosikan lagu sendiri, itu kerja syarikat rakaman.
Selama ini hubungan saya dengan Interglobal baik dan saya tidak cerewet. “Justeru, kalau boleh saya tidak mahu membuat sebarang kenyataan mengenai album itu tetapi selepas difikirkan kembali saya perlu bersuara untuk mendapatkan hak saya,” katanya. Sehingga kini Zarina tidak tahu kenapa Interglobal tidak melakukan sesuatu terhadap albumnya itu. Jelasnya lagi, dia sedih apabila perkara seperti itu terjadi dan malu untuk terus menjanjikan kelahiran album barunya kepada peminat. “Kala berjumpa wartawan juga saya tidak tahu hendak bercerita apa kerana hampir dua tahun menunggu album kedua yang tidak kunjung tiba. Bagi pihak saya, saya sudah melakukan apa yang termampu dan kini terpulanglah kepada syarikat rakaman untuk bertindak selanjutnya,” katanya.Menurut Zarina, ketika dia mengadakan majlis sambutan hari jadi yang ke-25 pada 8 Ogos 2006, dia ada menyanyikan lagu Harapan Berbunga Realiti.“Jadi bayangkan pada 8 Ogos baru ini sekali lagi saya meraikan hari jadi saya tetapi album itu masih belum keluar.
“Setiap kali saya bertanya bos mengenai perkembangan album itu, dia kata OK. Tetapi album itu tetap tidak keluar juga,” katanya. Bercerita mengenai Ramadan, katanya dia banyak berehat di rumah. Zarina beruntung suaminya, Buswani Abdullah, 34, pandai memasak.“Suami saya balik awal dari pejabat terus memasak. Saya cuma membantu saja,” katanya yang akan balik beraya di kampungnya di Kuching, Sarawak. Zarina dan Buswani berasal dari daerah sama jadi tiada masalah bergilir rumah pada Syawal ini. Pasangan bahagia itu dikurnia seorang cahaya mata bernama, El-Athalia Beena, 4.
Sumber : Harian Metro