JIKA diberi tugas untuk mengacarakan sesuatu majlis, rancangan radio ataupun televisyen, Fara Fauzana memang tidak ada masalah.
Ini kerana, pengalamannya sebagai penyampai radio Era dan Hot fm banyak membantunya menjalankan tugas-tugas tersebut.
Tetapi apabila disuruh menari joget lambak menerusi rancangan Joget Lambak Bersama Fara yang diacarakannya, anak kelahiran Shah Alam ini berasa agak kekok sedikit.
Menurut Fara, rancangan terbitan TV3 itu memerlukannya mempelajari dan berlatih joget lambak sebelum rakamannya diadakan.
Ini kerana, pengalamannya sebagai penyampai radio Era dan Hot fm banyak membantunya menjalankan tugas-tugas tersebut.
Tetapi apabila disuruh menari joget lambak menerusi rancangan Joget Lambak Bersama Fara yang diacarakannya, anak kelahiran Shah Alam ini berasa agak kekok sedikit.
Menurut Fara, rancangan terbitan TV3 itu memerlukannya mempelajari dan berlatih joget lambak sebelum rakamannya diadakan.
“Lagu-lagu joget dan zapin merupakan konsep rancangan ini di mana selain mengacara, rancangan ini juga memerlukan saya menari joget lambak bersama para penari dan artis jemputan yang lain.
“Saya mengambil masa empat jam untuk berlatih menari joget lambak dengan seorang penari bernama Lan dari studio Pak Ngah Productions baru-baru ini,” katanya ketika ditemui ketika rakaman Joget Lambak Bersama Fara di Shah Alam, Selangor, Ahad lalu.
Joget Lambak Bersama Fara merupakan rancangan muzikal yang akan ditayangkan menerusi TV3 pada Hari Raya Aidilfitri ini pukul 5 petang hingga 6.30 petang.
Artis-artis yang terbabit menjayakan rancangan ini ialah Datuk Siti Nurhaliza, Datuk M. Daud Kilau, Adibah Noor, Jay Jay, Senario, Def Gab C, Fabulous Cats dan Fahmi (Mentor).
Tambah Fara, bagi membantunya mengacarakan rancangan itu, Danny X-Factor dan Yani (Mentor) turut dijemput bagi menjayakannya.
“Kami menjemput Danny dan Yani bagi melakonkan sketsa-skesta dalam rancangan ini. Kebetulan Danny dan Yani berlakon bersama saya dalam sitkom Fara.
“Dalam Joget Lambak Bersama Fara, Danny dan Yani akan melakonkan watak mereka seperti dalam sitkom Fara. Danny melakonkan watak Din Jejaka Jambu, manakala Yani pula sebagai Wanda,” ujarnya.
Sementara itu, menurut penerbit rancangan itu, Ahmad Shaifullizam Arshad atau lebih dikenali sebagai G-Bam, konsep irama joget dan zapin dipilih bagi memberi kepelbagaian kepada program-program terbitan TV3 pada Hari Raya Aidilfitri ini.
“Sebelum ini TV3 telah menerbitkan pelbagai rancangan yang menampilkan lagu-lagu berkonsepkan Hari Raya pada musim perayaan Aidilfitri seperti Ole-Ole Raya dan sebagainya.
Global
“Kami harap konsep yang diperkenalkan ini akan memberi kelainan. Walaupun hanya ada sebuah lagu raya berjudul Sesuci Lebaran yang dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza tetapi lagu-lagu joget dan zapin juga mampu untuk menceriakan Hari Raya kali ini,” katanya.
Malah, G-Bam turut menafikan Joget Lambak Bersama Fara tidak akan mencemarkan lagu-lagu joget dan zapin biarpun ia disertaikan oleh kumpulan rock dan rap.
“Bagi saya, muzik bersifat global. Apa yang penting kita tahu apa yang hendak diketengahkan dan konsep muziknya tidak lari daripada format asal.
“Dengan ini secara tidak langsung diharap dapat menarik perhatian dan minat golongan muda terhadap lagu-lagu joget dan zapin,” katanya.
Menerusi rancangan itu, kumpulan rock Def Gab C misalnya akan menyanyikan lagu popular mereka yang berjudul Cinta Sakti dalam versi joget berjudul Joget Cinta Sakti.
Sementara itu, Fabulous Cats yang terkenal dengan lagu hip hop berjudul Papa Jahat akan menukar versi lagu itu kepada irama joget dengan judul baru, Joget Pujuk Sayang.
Siti Nurhaliza antaranya akan menyanyikan lagu berjudul Nirmala, Jay Jay (Joget Mak Enon, Joget Angan Tak Sudah), Senario (Dia Datang) dan M. Daud Kilau (Laksamana Raja Di Laut).
Sumber : Utusan