JIKA tiada aral melintang, selepas Aidilfitri ini peminat Erneelya Elyana Emrizal atau lebih dikenali dengan nama Elyana akan dapat menikmati album solo keempatnya yang sudah pun siap dirakam. "Buat kali kedua selepas Bicara Mata Ini, saya dapat bekerjasama sepenuhnya dengan penerbit yang juga pencipta lagu popular, Aidit Alfian. Boleh dikatakan, dialah orang pertama yang amat memahami kehendak saya dan syarikat rakaman. Kami saling mengerti jalur muzik terbaik untuk saya," katanya yang cukup meledak bersama lagu ciptaan komposer itu, Tak Tercapai Akalmu.
Kata Elyana, Aidit seorang komposer yang sentiasa bekerja keras dalam memastikan album terbarunya memberikan kepuasan kepada peminat. Pada masa yang sama, penyanyi ini tidak melupakan semua pemuzik yang memberikan persembahan terbaik mereka ketika proses rakaman dijalankan. Sebanyak 10 lagu dimuatkan dalam album terbaru itu dan selain Aidit, antara komposer yang turut sama menyumbangkan khidmat ialah Tam Spider dan Marlin (The Fish). "Istimewanya album ini, apabila saya merakam kembali lagu Niat. Kali ini, gaya nyanyian saya lebih bersahaja, manakala muziknya juga lebih bersifat sederhana. Ketika saya merakamkan lagu itu buat pertama kali, umur saya baru 14 tahun. Kini, saya sudah mencecah 20 tahun, jadi peminat dapat menilai sendiri perubahannya nanti.
"Secara umumnya saya boleh katakan, album ini lebih banyak menonjolkan kematangan saya dari segi penyampaian dan vokal. Muzik dan liriknya juga jauh lebih dewasa," kata Elyana. Langkah gadis ini dalam bidang seni pula bukan terhad kepada nyanyian semata-mata. Sejak kemunculannya dalam VCD Seriau beberapa tahun lalu, Elyana kini turut sibuk di lokasi filem dan drama. Dia sudah pun membintangi filem Gong, Dukun dan Dunia Baru The Movie.
Sedikit masa nanti, dia akan kembali ke lokasi musim ketiga siri Dunia Baru pula. Menyentuh topik Dunia Baru, Elyana mengaku, siri televisyen siaran TV3 itu agak kuat pengaruhnya. Masakan tidak, dia sendiri ketika ini lebih dikenali sebagai Opie, watak yang dipegang olehnya dalam siri berkenaan. "Baru-baru ini, ketika hendak berbuka puasa, saya terdengar seorang kanak-kanak yang berusia tiga tahun memanggil nama Opie berulang kali. Pada mulanya saya tidak mengendahkan, kerana saya tidak yakin kanak-kanak itu memanggil saya. Lama kelamaan baru saya perasan, dia memang memanggil saya, tetapi dengan nama watak berkenaan. "Jika sedikit masa lalu ada peminat yang memanggil saya dengan nama Tapak Sulaiman, kini Opie pula yang jadi panggilan," cerita gadis yang menjadikan bidang seni sebagai kariernya sepenuh masa. Buang kasut bukan soal imej IMEJ berkaki ayam di pentas bagai sudah cukup serasi dengan Elyana.
Dihitung kembali, sudah lebih dua tahun dia menanggalkan kasut di pentas dan gaya itu bagai tidak lagi menjadi masalah untuk peminat menerimanya. Hakikatnya, dia tidak memakai kasut bukan semata-mata kerana gaya atau cuba memberikan kelainan. Sebaliknya, penyanyi yang kini dikenali dengan lagu Kau Atau Aku ini mengaku tidak selesa apabila mengenakan sepatu. "Sebenarnya, sejak zaman bersekolah lagi saya sudah biasa tidak memakai kasut. Dulu, saya asyik kena tanggal kasut di sekolah apabila datang lewat. Kemudian saya mula perasan, kaki saya akan berasa lenguh jika mengenakan kasut, terutama yang bertumit. "Justeru, pada Anugerah Industri Muzik 2005, buat pertama kali saya tidak mengenakan sepatu. Sepatutnya saya memakai kasut tinggi, tetapi kerana tidak selesa, saya lupakan saya.
Berkaki ayam jauh lebih menyenangkan buat saya," katanya ketika ditemui pada sesi rakaman Melodi Raya di Berjaya Times Square, baru-baru ini. Pada acara itu sendiri, dia mengenakan kasut untuk sesi fotografi. Tidak lama kemudian, gadis ini dilihat beramah-mesra bersama tetamu lain hanya berkaki ayam. Menurut si manis yang bernaung di bawah label FMC ini, bukan hanya di pentas peminat akan melihatnya berkaki ayam, bahkan dia turut berbuat demikian apabila keluar membeli-belah atau berjalan-jalan. "Jika tidak berkaki ayam, saya hanya akan memakai selipar saja. Kaki saya akan berasa sakit jika saya memakai apa-apa yang bertumit. Lagipun, saya berasa seronok apabila tidak memakai kasut. Tetapi, bukannya saya tidak berkasut 24 jam sehari atau di mana-mana saja. Tengok jugalah keadaan dan tempatnya," ujar penyanyi ini. Kata Elyana lagi, kini, apabila mengadakan persembahan, ada kalangan peminat yang menjerit meminta dia membuka saja kasut yang dipakai. Betapa, imej berkaki ayam di pentas itu sudah menjadi begitu sinonim dengan penyanyi ini.
Elyana Nama penuh: Erneelya Elyana Emrizal
Nama komersial: Elyana
Tarikh lahir: 5 Julai 1987
Zodiak: Cancer
Tempat lahir: Klang, Selangor
Kerjaya: Penyanyi, pelakon
Hobi: Membaca, berenang, menyanyi
Ketinggian: 168 sentimeter
Bilangan adik-beradik: Empat orang (anak kedua)
Pendidikan: SPM
Minuman kegemaran: Teh ais
Makanan kegemaran: Nasi ayam
Sumber : Berita Harian