BUKAN lagi rahsia. Sebaliknya satu Malaya sudah tahu bahawa gosip yang menyatakan sebuah kumpulan muzik meninggalkan konti radio gara-gara tidak puas hati dengan deejay bertugas sebenarnya merujuk kepada kumpulan Spider. Bagaimana boleh jadi begitu? Apakah yang dilakukan si deejay sehingga sang labah-labah ini naik angin? Biarpun tidak ada sebarang kenyataan rasmi dari kedua-dua belah pihak namun difahamkan insiden itu berlaku apabila penyampai stesen radio swasta ini tidak profesional ketika bekerja. Kononnya, sepanjang temu bual berlangsung nampak sangat dia tidak membuat sebarang persediaan apabila bertanya perkara remeh temeh mengenai kumpulan ini.
Tapi apa yang menerbitkan perasaan kurang senang di dalam hati Tam, Napi dan Tony apabila gosip mengenai insiden itu tersiar, semua kesalahan terletak di pundak mereka. Kononnya, tiga jejaka ini sudah mula berlagak sombong, terlalu sensitif dan besar kepala. Justeru, tanpa dibicarakan di mana-mana mahkamah serta menyelidik apa sebenarnya yang terjadi, Spider sudah dijatuhi hukuman terlebih dulu. Tercalar sudah maruah apabila ramai menuding jari ke arah mereka. Namun, Spider tidak cepat melatah kerana mereka tahu mereka berada di pihak yang benar. Jelas mereka, mendiamkan diri lebih baik kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan serta memperbesarkan perkara yang sudah berlaku. Bagi mereka lambat-laun kebenaran akan terbukti juga satu hari nanti.
Dan itulah juga pendirian Spider ketika ditemui Hip pada majlis Melodi Raya 2007 di Berjaya Times Square baru-baru ini. Sambil mempertahankan tindakan mereka itu, Spider berharap, apa yang berlaku itu menjadi satu iktibar dan pengajaran bahawa jangan sesekali cuba memperkotak katikkan artis tempatan.
Hip: Dengar cerita baru-baru ini Spider buat perangai. Tinggalkan konti radio ketika temu bual sedang berlangsung, apa masalahnya?
Spider: (Tertawa) Sudah heboh ya? Sebenarnya bagi kami perkara ini tak adalah kronik sangat. Cuma apabila sudah heboh maka jadilah ia besar. Ceritanya begini, kami diundang stesen radio ini untuk membicarakan mengenai album baru kami Bintang 12. Mula-mula semuanya nampak okey tetapi apabila deejaynya mula bertanyakan soalan yang saya sifatkan remeh seperti siapa nama kami, ini album ke berapa, apa single terbaru, itu semua saya rasakan sudah melampau. Takkan perkara asas seperti itu pun tidak tahu. Nampak sangat dia tak buat homework. Pada saya apabila mereka undang artis menjadi tetamu, mereka seharusnya tahu serba sedikit latar belakang artis yang diundang. Ini tidak. Masa temu bual itulah baru nak tanya siapa nama. Bengang punya pasal, kami tinggalkan studio itu.
Hip: Mungkin deejay itu masih baru dan tidak kenal siapa itu Spider?
Spider: Kami kenal deejay itu. Dia orang lama. Kalau baru sekalipun, sepatutnya adalah menjadi tanggungjawabnya untuk membuat sedikit kaji selidik mengenai kami. Lagi pun kami bukan artis baru yang dia tak kenal. Kami sudah ada empat album studio. Paling dahsyat, nama vokalis Spider pun tak tahu. Lainlah kalau kami ini artis Indonesia. Ini kami artis Malaysia, sepatutnya mereka lebih arif mengenai kami. Kami juga ingin memberi contoh di sini, pernah ada seorang deejay di utara tanah air menemubual kami. Saya boleh katakan dia amat profesional kerana saya lihat dia membuat persediaan rapi sebelum menemubual kami. Di hadapannya tersedia kertas dan kesungguhannya itu membuatkan kami menghormati dia.
Hip: Apa tindakan deejay itu apabila kamu semua tinggalkan konti macam itu saja?
Spider: Terkejut rasanya. Kami pun tak ada tanya apa-apa selepas itu. Cuma syarikat rakaman Universal saja ada hantar surat permohonan maaf secara rasmi kepada mereka. Kami tidak tahu apa reaksi deejay itu selepas ini kerana sehingga kini kami tidak pernah bertemu dengannya. Tapi dengar khabar, deejay itu memang marah betul dengan kami. Hendak buat macam mana, pada kami itu memang salah dia. Harap apa yang berlaku dapat dijadikan iktibar.
Hip: Spider tidak takut kena gam dengan stesen radio terbabit?
Spider: Saya pernah kena gam sebelum ini dan saya tidak takut andai itu berlaku sekali lagi. Kami hanya lakukan apa yang kami rasakan benar. Setakat ini tidak pula kami dengar yang stesen radio itu hendak menggam kami. Stesen radio lain, alhamdulillah, semuanya memutarkan lagu kami terutama single kami berjudul Mabuk.
Hip: Mungkin Spider ingin membuat pertemuan dari hati ke hati dengan deejay terbabit?
Spider: Sebenarnya, kami sudah pun melupakan perkara itu. Dan kami sebenarnya tidak pernah bercakap apa-apapun pasal isu itu sehinggalah anda bertanyakan hal itu hari ini. Ini kali pertama kami mengulas perkara itu. Setakat ini kami belum ada perancangan untuk mengadakan perjumpaan dengan deejay terbabit kerana kami anggap cerita itu habis di situ saja. Namun, apabila cerita itu tersiar di beberapa buah akhbar dan kebanyakan mereka menuduh kami, kami mula rasa tak sedap hati. Tapi apabila memikirkan tidak mahu perkara ini diperbesar-besarkan, jadi kami diamkan saja. Nanti kalau bersuara, panjang pula ceritanya.
Hip: Jadi apa yang kamu ingin luahkan terhadap kenyataan yang banyak menghentam Spider itu?
Spider: Ini bukanlah masanya untuk menuding jari kepada mana-mana pihak. Cuma kami mahu mereka lebih berlaku adil dan siasat dulu apa sebenarnya berlaku sebelum membuat sebarang rumusan. Kami tidak akan berbuat begitu tanpa sebarang alasan yang munasabah.
Hip: Bersedia dengan pelbagai tanggapan negatif, seperti mula besar kepala?
Spider: Cakaplah apa yang orang hendak cakap. Pada kami Spider masih lagi seperti dulu. Ini bukan soal lupa daratan atau besar kepala, tetapi soal prinsip dan profesionalisme. Sebagai penggiat industri hiburan tempatan, kita seharusnya menghormati artis kita sendiri. Ini tidak, selalu ambil mudah banyak perkara. Apabila itu berlaku, kami rasa tidak dihargai sangat. Ini juga bukan kes memberontak atau terlalu sensitif, cuma kami harap tindakan ini mampu membuka mata banyak pihak dan kita sendiri harus menyokong antara satu sama lain.
Hip: Bagaimana perkembangan album terbaru Spider, Bintang 12? Setakat ini sambutan macam mana?
Spider: Setakat ini alhamdulillah, album ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat Spider. Ketika ini kami sedang dalam rangka promosi album terbabit. Apa yang menarik mengenai album ini adalah, muziknya berbeza dengan album kami yang terdahulu. Kami juga bakal mengadakan konsert tidak lama lagi. Buat masa ini pihak syarikat rakaman kami sedang sibuk membuat perancangan ke arah itu.
Hip: Apa yang dimaksudkan dengan Bintang 12?
Spider: Bintang 12 bermaksud horoskop. Ia menerangkan konsep keseluruhan album ini iaitu mengandungi lagu yang menggambarkan pelbagai ragam manusia, bersesuaian dengan horoskop itu sendiri. Kalau nak tahu, dengar dan hayatinya sendiri.
Sumber : Berita Harian