Thursday, September 20, 2007

Cerita lucu tunang Ning

LUCU mendengar tunang penyanyi Ning Baizura, Omar Sharif Christopher Layton Dalton bercerita mengenai pengalaman pertamanya menjalani ibadat puasa. Walaupun baru pertama kali belajar berpuasa, Omar Sharif tetap berusaha menyempurnakannya biarpun penat. Pada hari pertama puasa, Omar tidak dapat menyempurnakan ibadat itu sepenuhnya kerana terlalu penat dengan tugas di Jakarta dan perlu pulang ke Malaysia.

Bagaimanapun, Omar tidak menjamah sedikit pun makanan hanya menelan seteguk air untuk membasahkan tekak. Itupun setelah mendapat kebenaran Ning terlebih dulu. Pada hari keenam pula, dia menjalani pemeriksaan kesihatan yang memaksanya berlari di atas treadmill dan sekali lagi niat puasanya tersasar. Pada hari lain, jejaka Britain yang sudah setahun mengenali Ning Baizura ini tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyempurnakannya. Waktu yang paling menyeronokkan kata Omar apabila tibanya waktu berbuka. Manakala waktu bersahur pula adalah satu cabaran buatnya kerana terpaksa bangun seawal jam 4 pagi yang mana tidak pernah dilakukan sebelum ini.

"Ning akan menelefon untuk mengejutkan saya pada waktu sahur. Pada masa yang sama, saya juga akan mengunci jam loceng supaya tidak terlepas waktu sahur. Ada masa saya yang akan menelefon Ning untuk mengejutkannya. "Walaupun kenyang berbuka masih belum hilang saya akan tetap bangun untuk bersahur kerana bimbang tidak mampu bertahan sekiranya tidak bersahur. Bersahur pun hanya sekadar bijirin saja," kata Omar ramah. Menurut Omar lagi, dia tidak kisah terpaksa menahan lapar sepanjang hari tetapi perkara yang paling mencabar adalah apabila terpaksa menahan dahaga. Itulah cabaran yang paling getir dalam menjalani ibadat berpuasa. Berpuasa juga menimbulkan kesedaran kepadanya betapa dia beruntung mempunyai makanan untuk dimakan. Kekerapan mengembara ke negara miskin seperti India dek tuntutan tugas menyedarkan jejaka berusia 33 tahun ini. Dia beruntung masih mempunyai makanan untuk dimakan tetapi penduduk miskin di India pula terpaksa berebut-rebut untuk mendapatkan makanan begitu menginsafkan dirinya. Sementara Ning Baizura yang berada di sisi tunangnya pula berkata, walau sesibuk mana sekalipun dia akan memastikan mereka dapat berbuka puasa bersama-sama.

Ning tidak mahu, Omar yang baru memeluk Islam terasa dipinggirkan sekiranya dia tidak menemani tunangnya itu. Dengan adanya Ning di sisi, sekurang-kurangnya ia dapat memberi motivasi kepada Omar untuk terus bertahan menjalani puasa. Kata Ning, dia tidak pernah memaksa Omar untuk berpuasa tetapi tunangnya itu dengan rela melakukannya. Pada hari pertama, Ning menjemput Omar ke rumahnya untuk berbuka puasa dan menjamu Omar dengan kari ayam sentuhannya. Kata Ning, dia terasa seperti kembali ke zaman kanak-kanak kerana melihat gelagat Omar yang tidak sabar menantikan waktu berbuka. Paling lucu melihat gelagat Omar ketika berbuka di hotel Shangri-La. "Hari itu saya mengajak Sarimah (Ibrahim) dan suaminya berbuka sekali. Omar dan suami Sarimah makan bersungguh-sungguh. Memang kelakar melihat gelagat mereka. Mereka berdua tambah sampai lima kali dan kami menghabiskan masa di situ sampai dua jam," kata Ning. Omar mendedahkan, majlis berbuka puasa di hotel itu adalah sempena ulang tahun perkenalan mereka yang pertama.

Ning membuat kejutan untuknya apabila turut mengundang Sarimah dan suami. Bagaimanapun Ning agak malu-malu apabila Omar mendedahkan perkara itu kerana katanya dia tidak mahu dikatakan beriya-iya meraikan ulang tahun perkenalan mereka padahal masih belum ada ikatan yang sah. Menceritakan lagi mengenai pengalaman pertamanya berpuasa, Omar berkata, dia tidak mempunyai masalah berpuasa pada waktu bekerja kerana masa yang ditumpukan untuk bekerja sekali gus menyebabkan dia tidak terasa penat. Tetapi cuti hujung minggu memberikan sedikit cabaran kerana terasa masa lambat berlalu. "Bagi melupakan rasa dahaga dan penat saya akan mengajak Ning berjalan-jalan atau kami akan bermain boling. Ia akan membuatkan saya lupa yang saya berpuasa kerana tempat boling ada penghawa dingin jadi tidaklah terasa penat sangat," katanya.

INFO:
Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 19 Julai lalu di kediaman keluarga Ning Baizura di Shah Alam, Selangor selepas 10 bulan berkenalan.
Omar Sharif bertugas sebagai Pengurus Perunding sebuah syarikat gas dan minyak antarabangsa dan mereka bertemu buat pertama kali di Bali, Indonesia ketika menghadiri majlis perkahwinan rakannya di sana.
Awal perkenalan, Omar tidak mengetahui Ning ialah penyanyi terkenal di negara ini. Hanya selepas beberapa bulan berkenalan, dia terpandang wajah Ning di kaca televisyen. Omar akhirnya menyedari teman wanitanya itu ialah penyanyi hebat yang pernah mencipta nama di pentas antarabangsa.

Omar juga berjanji tidak akan halang Ning untuk terus bergiat aktif dalam kerjayanya selepas mendirikan rumah tangga. Baginya, mereka akan saling menyokong kerjaya masing-masing.
Pengurus Perunding di Asia Pasifik, Landmark Graphics Malaysia Sdn Bhd itu meminati lagu Breathe Again yang dimuatkan dalam album Awan Yang Terpilu. Hatinya juga tersentuh apabila menonton klip video Awan Yang Terpilu kerana jalan ceritanya yang menyentuh hati.

Sumber : Berita Harian
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR