Thursday, September 20, 2007

Kejutan Bunga Citra Lestari


JIKA sudah namanya cinta, maka apa saja sanggup dilakukan demi si dia. Begitu juga dengan si Bunga Citra Lestari, bintang muda Indonesia yang kini menjalin kasih bersama pelakon dan pengacara negara ini, Ashraf Sinclair. Atas nama sayang, dia tiba di Kuala Lumpur untuk mengejutkan kekasihnya dengan sebuah majlis hari jadi. Dengan perancangan yang sudah diatur lebih sebulan yang lalu, dia, Sazzy Falak dan Kajai Priya dari Beyond Events (syarikat pengurusan Ashraf dan Sazzy) mengatur rancangan mengadakan majlis hari lahir ke-28 jejaka itu pada 17 September lalu.

Kononnya, Ashraf perlu bertemu Sazzy untuk berbincang mengenai syarikat mereka bersama, Sinclair-Falak serta berbuka puasa. Tetapi akhirnya rahsia yang disimpan terbongkar apabila anggota keluarga, rakan taulan dan pasukan Beat TV beramai-ramai menyanyikan lagu selamat hari lahir buat anak muda ini. Apabila tiba waktu kek hari jadi dibawa masuk, orang yang membawanya turun dari tingkat atas tidak lain tidak bukan si jantung hati sendiri, Bunga. Ada sumber terdekat melaporkan, Ashraf menitiskan air mata kerana terharu dan gembira dengan kejutan yang diterima. Begitu jugalah Ashraf kelihatan cukup riang tatkala wakil media menemubual dirinya dan si kekasih sewaktu kedua-duanya hadir pada majlis berbuka anjuran syarikat pengurusannya. Lalu apa lagi, bagai orang mengantuk disorongkan bantal, maka pelbagai soalan diajukan kepada dua selebriti ini yang sedang hangat dilamun asmara.

"Ya, inilah kali pertama saya berpuasa di Malaysia. Kali ini ia agak istimewa kerana selalunya saya bekerja juga pada Ramadan. Bahkan, saya sebenarnya tidak mempunyai rehat sejak Februari lagi. Jadi, saya membuat keputusan untuk tidak menerima sebarang kerja sepanjang bulan puasa ini. Selepas Aidilfitri nanti, barulah saya kembali sibuk di studio rakaman untuk album baru dan juga berlakon dalam sebuah filem yang belum berjudul," kata Bunga membuka bicara. Sambil tersipu malu, dia memberitahu, sebuah lagu yang menceritakan segala perasaannya ketika ini bakal dimuatkan dalam album yang kini berada pada peringkat pengumpulan material. Berupa luahan hati, irama itu bagaimanapun bukanlah ciptaannya sendiri. Ditanya pula mengenai tarikan yang dimiliki Ashraf sehingga berjaya menambat hatinya, wanita yang betah menjawab pelbagai pertanyaan ini berkata, "Semua yang saya inginkan ada padanya." Bahkan, dia sendiri terkejut apabila mendapati dirinya terpaut pada jejaka terbabit, selepas dua tahun hatinya tidak diusik. "Saya jenis manusia yang cukup keras kepala.
Tidak mudah untuk saya menerima sesuatu. Begitu juga saya selalunya memilih seseorang yang saya boleh dengar katanya. Justeru, saya amat terkejut apabila saya mula mendengar apa yang diucapkan oleh Ashraf. Apatah lagi setelah dua tahun saya tidak mempunyai sesiapa. Selama tempoh itu saya cukup berasa bebas dan tidak bergantung harap pada sesiapa. "Kini, saya sendiri dapat berasakan perubahan pada diri saya. Apatah lagi kawan-kawan, mereka juga perasan dengan kelainan saya ketika ini," katanya. 'Kami serius' HUBUNGAN antara dirinya dan Ashraf, menurut penyanyi dan pelakon berusia 24 tahun ini, sesuatu yang serius, bukannya perancangan yang diatur sebagai langkah mendapatkan publisiti. Kedua-duanya juga amat berharap, perhubungan itu akan berkekalan dan menjadi. Namun, apabila ditanya apakah sudah ada perancangan untuk menukar bentuk hubungan itu kepada sebuah perkahwinan pula, masing-masing hanya tersenyum dan meminta semua orang mendoakan saja kebahagiaan mereka. Menyentuh soal perkahwinan, Bunga menyatakan betapa dia tidak berasakan seseorang artis perlu risau apabila tiba ke soal mendirikan rumah tangga.
"Bukankah berumah tangga itu suatu ibadat juga? Jadi kenapa perlu takut untuk berumah tangga, bimbang jika rezeki akan lari apabila sudah bergelar isteri? Rezeki itu di tangan Tuhan. Sebagai artis, terutamanya, tidak perlu risau untuk berkahwin. Bagi saya, menerusi perkahwinan, kita menjadi manusia lebih matang. Kejayaan dalam karier tidak ada kaitannya dengan perkahwinan. Malah saya akan berada lebih baik setelah berkahwin kerana kita akan mendapat sokongan suami," kata Bunga. Tiada jawapan pasti mengenai perkahwinan daripada mulut mereka berdua, tetapi apa yang nyata, masing-masing sudah mengatur rancangan pada Aidilfitri nanti. Kata Ashraf, pada beberapa Hari Raya pertama, kedua-duanya akan menyambut Syawal bersama keluarga masing-masing. Beberapa hari kemudian, Bunga akan terbang ke Kuala Lumpur untuk beraya bersamanya.
Kemudian, Ashraf akan mengikut Bunga pulang ke Jakarta, untuk meraikan Aidilfitri di sana pula, di samping menemui keluarga artis wanita berkenaan. Sudah sebaiknya jejaka kacak ini lebih mengenali famili Bunga, kerana masing-masing mengaku tempoh tiga bulan terakhir ini cukup mendekatkan mereka berdua. Berhubung penyiaran gambar yang menunjukkan keintiman mereka pula, kata Bunga, di Indonesia, pihak media serta peminat di sana lebih tertarik untuk mengetahui kisah hubungan cintanya bersama pelakon itu, berbanding apa yang terjadi dalam foto terbabit. "Saya pula artis yang tidak suka bercakap mengenai kisah peribadi apabila ditemubual di Jakarta. Hanya soal karier yang selalunya saya perkatakan. Jadi, apabila foto itu tersebar, bagi mereka, ia sudah cukup untuk mengesahkan bahawa saya sudah punya kekasih hati.
Mereka nyata lebih berminat pada perhubungan ini, bukan mengenai gambar berkenaan. "Bukannya saya terperanjat apabila gambar itu turut tersebar di sini. Namun, saya amat memahami perbezaan budaya antara kita dua negara. Saya tetap menganggap, penyebaran gambar kami itu sesuatu insiden yang tidak harus berlaku, bukan hanya pada kami berdua, tetapi pada semua orang. Tetapi semuanya sudah berlaku, jadi apa yang kami perlu buat hanyalah menjadikan ia sebagai pengajaran. "Kami pasti akan lebih berhati-hati selepas ini, biarpun saya bukannya jenis manusia yang mampu untuk berkata 'tidak mungkin lagi'. Saya dan Ashraf akan lebih berwaspada dalam segala perkara. Inilah dia proses yang mendewasakan kami dan tiada apa yang dimahukan kami kecuali kebaikan," ujarnya. Menurut Bunga, dengan penyebaran gambar itu serta gosip cinta yang saban hari disiarkan menerusi infotainment di negaranya, Ashraf sudah mula dikenali di sana. "Saban hari mukanya terpampang di kaca TV," katanya.
Namun begitu, bukan populariti yang mereka kejar daripada perhubungan berkenaan, sebaliknya kasih sayang dan persefahaman yang diharap menjanjikan seribu kebahagiaan. Meskipun begitu, kedua-duanya tidak menolak rezeki populariti yang mendatang hasil pendedahan percintaan. "Baguslah jika ada yang menganggap percintaan ini membuatkan kami berdua lebih dikenali. Pada kami, jika media tidak mahu melaporkan mengenainya, kami juga tidak berniat untuk menghebahkan. Iyalah, hubungan ini sesuatu yang bersifat peribadi. Pada masa yang sama, kami juga sedar dan tahu batasnya," kata Bunga.
Sumber : Berita Harian
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR