KESIBUKANNYA sebagai seorang artis ternyata tidak memberi peluang kepadanya untuk meluangkan masa bersama kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan juga anak-anak yatim.
Namun, setiap kali tiba Ramadan, kesempatan itu diambil oleh penyanyi bersuara husky, Dayang Nurfaizah Awang Dowty untuk meluangkan masa bersama golongan kanak-kanak istimewa itu.
Namun, setiap kali tiba Ramadan, kesempatan itu diambil oleh penyanyi bersuara husky, Dayang Nurfaizah Awang Dowty untuk meluangkan masa bersama golongan kanak-kanak istimewa itu.
“Memang saya akui sangat sibuk dengan kerja sehingga tidak ada masa untuk bersama kanak-kanak kurang bernasib baik ini. Jadi, bila tiba bulan puasa, saya mengambil ‘cuti’ selama satu hari dan berbuka puasa bersama mereka. Hanya inilah masanya untuk saya bersama mereka,” jelas Dayang ketika ditemui pada majlis berbuka puasa yang diadakan di Hotel Cititel, Mid valley, Isnin lalu.
Tambah Dayang lagi, ini merupakan tahun ketiga dia mengadakan majlis berbuka puasa dengan anak-anak yatim dan jika dipanjangkan umur, dia akan teruskan niat murninya itu sehingga ke akhir hayat.
“Jujurnya, saya sendiri tidaklah terlalu kaya untuk menyumbang dari segi wang ringgit buat kanak-kanak ini. Jadi, saya memberi sumbangan dengan cara membelikan mereka barang-barang keperluan harian seperti sabun, berus gigi, syampu serta alat tulis. Selain itu, ada jugalah saya memberikan sumbangan kecil berupa duit raya,” kata penyanyi berkulit hitam manis ini yang kini sedang melonjak namanya dengan lagu Hilang.
Jelasnya lagi, sumbangan atau sedekah padanya bukanlah hanya dilakukan pada bulan Ramadan sahaja namun dia sering mengamalkan sikap murni itu kerana percaya setiap rezeki yang diterima seeloknya dikongsi bersama mereka yang memerlukan.
“Apa yang saya lakukan ini bukanlah bertujuan untuk menunjuk atau riak, tapi ini datang dari hati yang ikhlas dan jujur. Malah, setiap tahun, dengan bantuan Majlis Kanak-Kanak Malay- sia, saya akan memilih sekurang-kurangnya enam buah rumah anak yatim dan golongan orang kurang upaya secara bergilir-gilir agar semua dapat merasa peluang itu,” katanya yang turut bercadang untuk menjemput warga tua pada majlis yang sama pada tahun hadapan.
Dayang Nurfaizah turut memberitahu, dia bertuah kerana mendapat kerjasama dari pihak Hotel Cititel kerana sanggup menaja lokasi dan makanan sepanjang tiga tahun dia menganjurkan majlis berbuka puasa itu.
Katanya juga, untuk memeriahkan dan menceriakan hari golongan istimewa itu, dia turut menjemput rakan-rakan artis yang lain.
“Tahun lepas, Anuar Zain turut sama dalam majlis ini tetapi nampaknya tahun ini dia tidak dapat hadir kerana sibuk dengan undangan lain,” katanya.
Turut kelihatan pada majlis yang diacarakan oleh Fara Fauzana itu ialah penyanyi Noryn Aziz, kedua ibu bapa Dayang, Awang Dowty Awang Fauzi dan Nona Nahrawi serta 20 orang peminat setianya turut sama meluangkan masa bersama anak-anak yatim.
Cerita Dayang, satu perkara yang dia tidak mampu elak adalah menikmati masakan ibunya, Nona Nahrawi yang sentiasa membuka seleranya.
“Masakan ibu saya memberikan satu kenikmatan buat saya. Bayangkan, masakan ibu yang simple seperti udang bakar yang ditumbuk dengan cili sudah mampu untuk saya menambah nasi sebanyak dua kali,” kata Dayang ketawa.
Duta produk Shapemaster itu juga menjelaskan dia rajin turun ke dapur untuk mempelajari resipi masakan ibunya.
“Saya bukan jenis yang suka buat kerja-kerja rumah yang lain dan hanyalah di dapur sahaja yang saya fikir sesuai untuk saya. Saya bukanlah pandai masak pun. Cuma pandai ‘kacau’ ibu sahaja,” ujarnya berseloroh.
Dalam pada itu, Dayang juga melahirkan rasa syukurnya apabila album terbarunya, Dayang 2007 sudah pun mencecah jualan 5,000 unit sejak dipasarkan Julai lalu.
“Alhamdulillah, saya gembira dengan berita ini dan khabarnya, pihak syarikat rakaman saya, NSR sudah pun menerima tempahan kali kedua untuk album saya itu. Saya akan tetap teruskan membuat promosi album ini meskipun pada bulan puasa. Terima kasih kepada peminat yang menyokong saya dari dulu hingga kini,” katanya yang akan membuat persembahan eksklusif di No Black Tie pada 2 dan 3 November depan.
Sumber : Utusan Malaysia