Tuesday, September 11, 2007

Emelda Rosmila Manja vs Lara


Dua nama disatukan, Manjalara hadir di kaca TV anda dengan dua karakter berbeza. Ibarat langit dan bumi dan fasa kedua hidup Manja berubah dengan kehadiran Lara.

Blok pertamanya memperkenalkan Manja seorang gadis naif berusia 18 tahun yang bukan sahaja montel dan comel tetapi juga baik hati, jujur dan disenangi ramai.

Pun begitu, sebagai pewaris harta, dia dibenci isteri pakciknya yang berhasrat mahu merampas harta peninggalan bapanya yang dibunuh.

Kini drama bersiri itu memasuki blok keduanya dengan kemunculan watak Lara, seorang gadis cantik yang bergaya dan ingin membalas dendam dengan orang yang membenci Manja.

Lara yang baru pulang dari luar negara merupakan seorang gadis matang yang sombong lagi angkuh tetapi hanya kepada orang yang pernah menyakitkan hati Manja.

Watak dan perwatakan Lara memang jauh berbeza dengan Manja, bukan sahaja daripada segi saiz badan tetapi juga sifat dan sikap.

Dan pendukung wataknya - Emelda Rosmila nyata berjaya membawa penonton untuk sama-sama merasai kesengsaraan Manja dan dendam Lara.

Bertemu dengannya baru-baru ini semasa menjalani penggambaran Manjalara di Ampang, Selangor, Emelda berkongsi keghairahannya terhadap watak ceria Manja dan dendam kesumat Lara.

Bukan mudah membawakan watak Manjalara, kata buah hati pengarah teater dan aktor popular Adlin Aman Ramlie itu.

Bagaimanapun watak budak gemuk yang menyenangkan hati itu berjaya digalas dengan baik sekali walaupun Emelda bukanlah pilihan awal pengarahnya, Kabir Bhatia.

Semuanya gara-gara aktres yang mendukung watak Manja perlu menambah berat badan dan Emelda tidak teragak-agak untuk menerima tawaran itu apabila seorang aktres menolak untuk mengorbankan keindahan tubuhnya demi watak Manja.

Dan Emelda pula dapat merasakan watak Manjalara yang dipikulnya adalah satu peluang yang tidak mungkin dilepaskan.

Peluang yang ditunggu-tunggu untuk membuktikan dia hadir menyerikan industri lakonan bukan sekadar menjual wajah cantiknya.

Jauh sekali menumpang nama kakak sendiri atau sebagai teman istimewa seorang penggiat seni tempatan.

Dia mahu khalayak menilai bakat lakonan yang ada dalam diri dan terjemahan yang dilakukannya terhadap watak Manja dan Lara.

Merealisasikan

Nyata taruhannya berjaya apabila kemunculan dalam drama itu mendapat pujian bukan sahaja kalangan teman artis tetapi juga para penggemar drama tersebut.

Emelda memberitahu, dia diterima mendukung watak Manjalara hanya setelah dua hari menjalani uji bakat.

“Tapi dengan syarat, pihak penerbitan membiayai perbelanjaan saya di pusat pelangsingan untuk menguruskan semula badan saya,” kata Emelda sambil tersenyum.

Sememangnya Emelda bersedia menaikkan berat badan demi merealisasikan watak utama drama bersiri popular itu.

Menjayakan watak Manja, Emelda yang kini telah pun kembali ke berat badan idealnya, 49 kilogram setelah dua bulan menjalani program pelangsingan badan memberitahu terpaksa menaikkan hampir enam kilogram berat badannya.

“Walaupun saya menggunakan sut badan gemuk (fat suit), saya tetap perlu menambah berat badan supaya kemunculan saya dengan watak Manja nampak lebih realistik.

“Sebagai Manja, saya bukan sahaja perlu memakai cermin mata serta memakai gigi palsu malah turut memasukkan kapas pencuci muka (facial cotton) ke dalam mulut untuk menambahkan lagi tembam di pipi.

“Perkara itu bukan sesuatu yang sukar cuma fat suit membuatkan belakang saya ditumbuhi ruam dan susah ke tandas apabila sudah memakainya,” katanya sambil memberitahu hanya memerlukan kurang daripada 10 minit untuk mengenakan sut itu.

Malah berbanding watak Lara, kata Emelda, Manja sebenarnya satu watak yang mudah untuk dibawa tetapi harus diterjemahkan dalam bentuk tersendiri untuk mencuit hati audiens.

“Watak Manja adalah watak positif kerana walau macam mana pun dibuat oleh orang terutama mak- ciknya, dia tetap tabah.

“Dan saya akui apabila menjadi Lara, ada kalanya saya terbawa-bawa watak Manja sedangkan perwatakan Lara lebih berat dan mendalam,” kata Emelda.

Satu transformasi

Emelda yang juga merupakan adik kepada aktres Amelia Rosnaida tidak menafikan Manjalara memberinya satu titik perubahan dalam bidang lakonan.

Malah ia merupakan satu transformasi terbaik bagi Emelda untuk membuktikan bakatnya dalam bidang seni.

“Ini satu rezeki yang saya ibaratkan seperti bulan jatuh ke riba,” ujarnya.

Lebih membanggakan apabila dia diberi sepenuh kepercayaan dan kebebasan untuk membentuk watak Manja dan Lara sesuai dengan kehendak skrip dan pengarah.

“Para pendukung watak dalam Manjalara juga semuanya sudah mempunyai nama besar dalam bidang lakonan seperti Sheila Rusly, Abby Abadi dan Mustapha Kamal.

“Justeru ia turut memberi impak kepada kemunculan drama ini sekali gus memberikan saya peluang untuk membuka mata khalayak terhadap bakat lakonan saya.

“Tentunya saya harus berjalan seiring dengan mereka, maksudnya memberikan lakonan yang terbaik untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan mereka,” beritahu Emelda.

Manjalara dari Venezuela

Memenuhi slot Isnin-Khamis pada pukul 6.30 petang hingga 7.30 petang, Manjalara mendapat sambutan memberansangkan khalayak penonton TV3.

Jumlah kadar penontonnya juga meningkat daripada hanya kira-kira 500,000 pada minggu pertama tayangan kepada lebih 1.9 juta ketika ini.

Menurut pengarahnya, Kabir Bhatia, konsep drama bersiri itu diambil daripada drama bersiri popular Venezuela berjudul Me Gorda Belle (My Sweet Fat Velentine) namun diterjemah dalam konteks tempatan.

“Kita juga menggugurkan beberapa watak dan perwatakan demi menjaga sensitiviti rakyat negara ini,” jelas Khabir.

Malah dengan penayangan selama sejam, pihak produksi juga telah memendekkan episod Manjalara yang sebelum ini direncanakan sebanyak 150 episod kepada 75 episod.

Penggambaran bagi blok kedua drama bersiri itu telah dimulakan sejak hampir sebulan lalu dan bagi 30 episod akhirnya, Manja kini adalah Lara yang cantik lagi bergaya.

“Walaupun Emelda bukan seorang pelakon yang popular namun ternyata dia berjaya meletakkan dirinya sebagai artis yang berjaya dalam Manjalara,” puji Kabir terhadap bakat Emelda.

Sumber:Utusan Malaysia
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR