Tuesday, September 11, 2007

Reaksi positif Anak Halal


SELEPAS kegagalan Puaka Tebing Biru, pengarah muda, Osman Ali, boleh menarik nafas lega apabila menyaksikan reaksi diberikan penonton di majlis tayangan perdana filem kedua arahannya, Anak Halal yang berlangsung di Dewan Sri Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM), baru-baru ini.

Rata-rata penonton terdiri daripada pelajar universiti itu memberikan maklum balas positif terhadap filem terbitan Tayangan Unggul (TU) yang menampilkan pelakon muda dan popular antaranya Maya Karin, Farid Kamil, Fasha Sandha, Raja Farah, Fizz Fairuz, Bronx dan Adi Putra.

Sepanjang tayangan dapat dilihat sebahagian penonton menjerit dan bersorak apabila menyaksikan babak menarik dan mendebarkan terutama membabitkan aksi pergaduhan.

Osman sendiri berasakan maklum balas positif diberikan mereka penting kerana ia menjadi penanda aras kepada kejayaan filem itu apabila ditayangkan kepada umum November ini.

Sebelum itu sewaktu Anak Halal pertama kali ditayangkan di Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM20) yang berlangsung di Pulau Pinang, ia turut menerima maklum balas positif daripada penggiat industri filem sendiri.

"Saya rasa pelajar yang menyaksikan Anak Halal menggemarinya kerana ia dekat dengan mereka. Selain itu ia menampilkan banyak elemen komersial seperti percintaan, drama dan aksi," katanya sewaktu ditemui sebaik majlis tamat.

Bercerita lanjut mengenai filem yang pembikinannya menelan belanja RM1.8 juta itu, Osman berkata, idea menghasilkan Anak Halal diperoleh selepas kejayaan filem pendek arahannya menggunakan judul sama memenangi anugerah Filem Pendek Eksperimental Terbaik di Majlis Anugerah Video Malaysia 2001.

"Filem pendek yang saya hasilkan itu mengangkat tema kepincangan hidup yang dialami sebahagian remaja zaman sekarang akibat tekanan kehidupan dan peralihan zaman moden yang dialami negara sekarang.

"Berasakan ia menarik diangkat ke filem layar lebar saya menulis skripnya terlebih dulu dan memasukkan elemen yang dimahukan sasaran penonton. Saya lega apabila ditayangkan pertama kali Anak Halal diterima baik," katanya.

Walaupun filem Anak Halal banyak sub plot, tetapi Osman berjaya menyusun dan menggabungkannya dengan baik.

Ia bermula dengan aksi mendebarkan apabila Indera Putra (lakonan Farid Kamil) diserahkan kepada ibu angkatnya seorang pengemis selepas bapanya (lakonan Rosyam Nor) ditangkap polis.

Sewaktu membesar, Indera sekali lagi ditimpa malang apabila ibu angkatnya pula ditahan polis kerana disangka gila menyebabkan dia terpaksa menumpang hidup bersama keluarga teman rapatnya Johanna (lakonan Maya Karin).

Membesar di kawasan hitam, kehidupan remaja dilalui Indera Putra dan Johanna penuh dugaan apabila rakan rapat mereka terbabit dengan masalah pengedaran dadah dan hutang dengan Along.

Mencantikkan lagi jalan cerita, Osman turut mewarnakan Anak Halal dengan kisah cinta tiga segi antara Indera, Johanna dan Kartika (lakonan Fasha Sandha).

Sumber: Harian Metro
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR