Sunday, September 9, 2007
Erry Putra diburu gadis gempal
GARA-GARA wataknya sebagai Joffri, jejaka yang meminati Manja ketika gemuk (lakonan Emelda Rosmila) dalam drama bersiri Manjalara, Erry Putra sering menerima e-mel daripada gadis-gadis berbadan gempal.
Drama sejam yang disiarkan dalam slot Akasia TV3 setiap Isnin hingga Jumaat pukul 6.30 petang itu membuatkan setiap hari sekurang-kurangnya Erry menerima 15 e-mel daripada gadis-gadis berkenaan yang bertanyakan apakah benar beliau meminati gadis seperti mereka.
“Saya pun tak sangka karakter Joffri itu benar-benar mempengaruhi gadis-gadis berkenaan. Macam-macam soalan yang mereka kemukakan dan kadang-kadang soalan mereka tu sensitif.
“Tapi sebagai menghargai setiap e-mel yang dikirimkan, saya menjawab dengan jujur. Bagi saya setiap wanita mempunyai kecantikan yang tersendiri tidak kira kurus atau gemuk.
“Jadi setiap wanita janganlah merasa rendah diri apabila berbadan besar kerana bukan semua lelaki meminati gadis yang kurus tinggi.
“Sejak berlakon drama itu, selain daripada menerima banyak e-mel, peminat juga sering memanggil saya Joffri. Mulanya saya tak biasa tetapi kini saya dah tak kisah walaupun ia hampir menenggelamkan nama sebenar saya,” kata Erry Putra, 26, ketika ditemui di kediamannya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut Erry, walaupun dalam drama itu digambarkan Joffri tetap menyintai Manja setelah kurus tetapi feel itu amat berbeza.
“Dalam drama itu saya tahu Manja dan Lara adalah gadis yang sama. Tetapi sebenarnya saya lebih feel berlakon sewaktu Manja gemuk. Saya rasa seronok dan feeling habis. Tapi bila jadi Lara, feel itu berkurangan,” cerita Erry Putra tanpa berselindung.
Erry, anak ketiga daripada tujuh beradik ini mula menceburi bidang seni sebagai penyanyi kumpulan Boyz R Us pada tahun 2001 dan pernah tampil dengan album Kasihku Abadi.
Katanya: “Walaupun Manjalara mempopularkan saya dalam bidang lakonan tetapi sebenarnya saya mula diberi peluang berlakon oleh Mak Nani dalam filem Bicara Hati.”
Terbaru, Erry akan tampil dalam drama bersiri genre seram, Misteri Long Piah terbitan Nizarman (M) Sdn. Bhd. yang akan disiarkan tidak lama lagi di Astro Prima.
Mahu menyanyi semula
Menurut Erry walaupun percubaannya dulu untuk menjadi penyanyi tidak menghasilkan kejayaan, namun itu tidak mematahkan semangatnya.
“Memang teringin sangat muncul dengan album baru. Saya ingin muncul dengan album solo berkonsepkan pop,” katanya.
Malah kata Erry, dia juga bercita-cita menubuhkan production house sendiri.
“Takkanlah saya nak berlakon sampai tua. Insya-Allah kalau dah cukup simpanan saya mahu terbitkan drama sebelum menerbitkan filem,” kata Erry.
Sumber: Utusan Malaysia