Thursday, September 13, 2007
Juadah Untuk Datuk K
Gulai tempoyak buat Datuk K
Sebagai isteri, tentunya Siti mahu menyediakan juadah berbuka puasa untuk suami, Datuk Khalid Mohd Jiwa, 48, dari air tangannya sendiri. Begitu juga bangun tengah malam menyediakan juadah dan mengejutkan suami bangun sahur sebagai bekalan berpuasa esok hari.Siti yang menyambut ulang tahun perkahwinan pertama pada 21 Ogos lalu, mengakui tiada masalah melaksanakan tugas sebagai isteri sepanjang bulan puasa tahun lalu walaupun baru berkahwin ketika itu. Siti yakin mampu melakukan tugas itu lebih baik lagi tahun ini, selepas melalui pengalaman tahun lalu.“Suami lebih suka berbuka di rumah dan saya akan menyediakan juadah kesukaannya. Tambahan pula memasak bukan satu masalah buat saya kerana sudah diajar emak sejak kecil.“Sebagai orang Kedah, Datuk Khalid suka masakan kampung seperti sambal belacan, ikan masin, kari, asam pedas dan gulai tempoyak.
Masakan paling disukai sambal petai udang.“Biasanya saya masak dua atau tiga jenis lauk tapi sambal belacan dan ikan masin tidak tinggal sebagai pembuka selera. Kadang-kadang ada juga dibeli di pasar Ramadan seperti ayam percik dan kuih-muih.“Untuk sahur, Alhamdulillah saya juga tiada masalah kerana sudah biasa bangun sahur sejak kecil. Begitu juga suami, memang bangun sahur. “Saya sediakan juadah ringkas saja. Kalau tidak makan nasi pun, kami tetap bangun sahur walaupun hanya minum segelas susu,” katanya ketika ditemui, kelmarin.Untuk puasa sulung, Siti biasanya mengambil peluang berbuka bersama keluarganya di kampung kerana adik beradik lain balik kampung. Bagaimanapun, kata Siti, dia dan suami tidak pasti sama ada pulang ke Kuala Lipis, Pahang pada hari pertama puasa tahun ini.
“Biasanya memang saya berbuka bersama mak dan abah di kampung pada hari pertama puasa. Ia sudah menjadi tradisi. Tapi memandangkan puasa pertama Khamis, mungkin sukar adik-beradik lain berkumpul kerana ada anak yang sekolah.
“Kalau tidak pulang ke Lipis, hari pertama saya berkumpul bersama adik beradik suami berbuka di rumah mentua di Kuala Lumpur,” katanya. Penyanyi yang kini popular dengan lagu Destinasi Cinta, mencuba bidang lakonan buat kali pertama melalui teater Remy...Kisah P Ramlee yang akan dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur selama tiga minggu mulai 18 Oktober. Siti juga akan berkurung di studio untuk rakaman album terbarunya berkonsep pop supaya dapat disiapkan segera untuk dipasarkan akhir tahun ini.Katanya, tahun ini dia tidak menunaikan umrah pada bulan puasa sebagaimana sebelumnya kerana kesibukan kerja. Walaupun begitu, Siti dan suami dijangka berangkat ke Makkah menunaikan haji tahun ini.“Kalau tahun lalu saya dan suami berpeluang berpuasa di Makkah, tahun ini tidak dapat berbuat demikian. Lagipun saya dan suami baru balik umrah Mei lalu.
“Latihan Remy...Kisah P Ramlee diadakan lebih kerap lagi sepanjang puasa kerana pementasannya beberapa hari selepas raya. Tapi saya ada jadual latihan pada hari tertentu, seminggu tiga kali.“Rakaman album juga diadakan sepanjang puasa. Buat masa ini saya sudah mendapat lapan lagu daripada komposer Malaysia dan Indonesia seperti Katon Bagaskara, Yasin dan komposer baru, Fahmi. Saya juga menanti lagu daripada Azmeer dan Aubrey Suwito.“Saya harap album ini dapat dipasarkan akhir November atau awal Disember dan masih mengekalkan konsep album Transkripsi yang menggabungkan lagu ciptaan komposer Malaysia dan Indonesia,” katanya.Siti juga menjadi pilihan pengarah Shuhaimi Baba untuk menyanyikan lagu tema filem 1957: Hati Malaya, Hati, ciptaan Sharon Paul dan lirik Shuhaimi. Sebelum ini Siti menyanyikan lagu untuk filem Kayangan, Menanti Pasti.
Selain album dan teater, Siti baru saja menyambung kontraknya setahun lagi sebagai duta Olay dan kini memperkenalkan produk baru, Olay Total Effects dengan formula baru yang lebih baik daripada produk sebelum ini. Majlis pelancarannya di Hotel Hilton Kuala Lumpur, KL Sentral baru-baru ini dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif P&G Malaysia, Vaidyanath Swamy dan juga pelakon muda, Wayne Chua Pei Xuan. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif ntv7, Amrin Jamaluddin dan Pengurus Besar Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul.Selain Olay, Siti juga menjadi duta produk Panthene untuk tahun kedua. Untuk promosi produk baru ini, Siti menghasilkan iklan yang menjalani penggambaran di Bangkok, Jun lalu.
Ternyata penampilan Siti ketika itu nampak lebih berisi dan ini diakui Siti. Katanya, ketika itu memang dia nampak berisi, tambahan pula tidak menggunakan khidmat Nurul sebagai juru solek tetapi menafikan ia disebabkan dirinya sudah berbadan dua.“Ramai mengatakan saya nampak berisi. Suami juga cakap begitu apabila melihat penampilan saya jauh lebih tembam di televisyen kerana gambar di kaca TV menyebabkan seseorang lebih besar. “Tapi saya mengamalkan makanan seimbang dan kini berat saya 58 kilogram. Saya harap dapat turunkan berat badan sampai 55 kg.“Mengenai anak, belum ada rezeki lagi. Memang saya dan suami mahu mempunyai anak tetapi belum ada lagi,” katanya.
Sumber : Harian Metro