Sunday, September 16, 2007

Nafas baru SinarFM


HALIM Othman seolah-olah mendapat `jiwanya’ kembali dengan kehadiran Raja Azura dan Salih Yaakob sebagai gandingannya dalam mengendalikan segmen Sinar Pagi di SinarFM. Sebelum ini, Halim seperti kehilangan `sengat’ selepas berdepan dengan masalah peribadi yang mencengkam jiwa. Bagaimanapun, kehadiran dua pengacara, pelakon, pelawak dan penyanyi yang kini bergelar penyampai radio itu memberi kehidupan baru buat Halim yang sebelum ini kerap kali dinobatkan sebagai penyampai radio popular dalam beberapa anugerah tempatan.

Malang menimpa apabila jejaka berusia 40-an itu berdepan dengan kematian ibu lalu menyeretnya dalam duka berpanjangan hingga menjejaskan kerjayanya sebagai penyampai radio popular. Kini semuanya sudah berlalu, Halim semakin ceria dengan kehidupannya lebih-lebih lagi apabila ditemani Raja Azura atau Kak Engku dan Salih di konti setiap pagi. Sambil merenung jauh, Halim akui sesaat pun adalah detik berharga ketika bersama Salih dan Kak Engku setiap hari. Dirinya kini kian bersemangat selepas kehadiran dua penyampai lucu, bersahaja dan memiliki idea yang bernas dalam menjalankan tugas seharian itu. “Kak Engku dan Salih sememangnya bintang. Hadirnya mereka bukan saja menyinari hidup saya, malah memberi cahaya kepada SinarFM. Pertama kali bertemu, saya ingatkan mereka supaya menjadi diri sendiri kerana saya melihat ada aura yang tebal serta cahaya yang terang dalam diri mereka.

“Saya perhatikan Kak Engku seorang yang sangat prihatin dan komited dengan kerja, manakala Salih pula memiliki keyakinan yang tinggi. Dia tidak kisah sama ada orang suka ataupun tidak jenakanya tetapi dia tetap menghiburkan pendengar dengan caranya. “Salih juga adalah antara manusia paling hebat buat saya. Selain memiliki ilmu yang tinggi, Salih buat saya dan Kak Engku selesa dan tidak sabar untuk berada di konti setiap hari,” katanya. Halim menolak anggapan sesetengah pihak dirinya begitu kecewa ditukarkan ke stesen SinarFM yang dikenali sebagai stesen muzik retro selepas sembilan tahun menabur khidmat di Radio Era. Dia mengakui, dirinya seolah-olah melalui satu pusingan hidup dan kini kembali ke pangkal jalan. “Radio Era adalah tempat saya bermula dan membesar. Sembilan tahun saya bersama Era dan banyak kenangan manis yang tidak mampu dilupakan. Bagaimanapun, SinarFM pula adalah langkah saya seterusnya ketika meniti usia yang matang. Radio Era sesuai untuk golongan urban, manakala SinarFM untuk peringkat usia pertengahan. “SinarFM adalah jiwa saya kini,” katanya ketika ditemui Hip di Balai Berita, baru-baru ini.
Kak Engku dan Salih mula mengikat kontrak bersama SinarFM selama setahun bermula 16 Julai lalu. Selepas dua bulan mengendalikan Sinar Pagi yang ke udara dari jam 6 hingga 10 pagi setiap hari, kecuali Sabtu dan Ahad, dua penyampai itu kian serasi dengan tugasan mereka. Sinar Pagi menampilkan pelbagai segmen termasuk Fokus. Sket-Ma Sinar, Satu Hari Di Hari Ini, Madame Mozhou dan Star Salih. Salih berkata, dia tidak pernah terfikir akhirnya cabang sebagai penyampai radio turut diterokainya selepas 27 tahun berada dalam industri persada seni. “Bukan saya atau Kak Engku mahu merampas periuk nasi orang lain, tapi kami diberi kepercayaan untuk memantapkan dan menaikkan nama SinarFM dengan bakat yang dimiliki.
Saya bukan penyampai radio tetap, tapi saya semakin serasi dengan kerjaya baru ini. “Secara keseluruhan Halim adalah kapten konti setiap hari, manakala tugasan saya dan Kak Engku menceriakan pagi pendengar dengan celoteh bersahaja di samping mengendalikan segmen masing-masing. Saya seronok bertugas dengan Halim dan Kak Engku, mereka memiliki banyak idea yang spontan. “Begitu juga jika berlakon, kalau terikat dengan skrip, lawak jenaka pastinya kurang menjadi tapi idea spontanlah yang banyak menghidupkan suasana,” katanya. Kak Engku akui mulanya agak bimbang tidak mampu melaksanakan tugas dengan baik memandangkan cara bekerja di Radio Era dan SinarFM berbeza. “Peluang berceloteh di Radio Era agak terhad kerana mereka padat dengan iklan dan info, manakala SinarFM pula lebih relaks dan santai.
Bagaimanapun, saya seronok bersama SinarFM kerana rangkaian lagunya sering mengingatkan saya pada zaman muda dulu. Tiada dulu, tiadalah sekarang,” katanya Katanya, dia juga bertuah kerana mendapat tunjuk ajar daripada Halim terutama bagaimana mahu menjadi penyampai radio yang baik serta tugasan teknikal. “Halim seorang penyampai radio yang bagus dan tidak hairanlah kerap menerima anugerah penyampai radio popular. Apabila bertugas dengannya, saya lihat kesungguhannya melaksanakan tugas sekali gus memastikan persembahannya diminati. “Saya berazam suatu hari nanti saya akan mengikut jejak langkah Halim bergelar penyampai radio popular dengan tunjuk ajar yang diberikan. Saya percaya impian akan jadi kenyataan kerana saya bersama penyampai radio hebat dan berpengalaman seperti Halim,” katanya.
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR