Sunday, September 16, 2007
‘Kami bercium bukan sekadar suka-suka’
“SEBELUM bertemu Bunga Citra Lestari (BCL) saya single. Saya break off dengan bekas teman wanita saya awal 2006, dah lama solo. Masa break off tu saya cakap dengan diri sendiri, saya nak fokus kerjaya saja. Sehinggalah BCL berkunjung ke Kuala Lumpur April lalu untuk mempromosikan album sulungnya, saya diminta menemubualnya untuk Beat TV. Ketika temubual itu, pertama kali saya gugup apabila berdepan dengan artis. Rasa macam pertama kali menemubual artis. Masa tu, apabila saya buat silap, saya tak boleh nak cover, jika tidak, sebelum ni saya boleh selitkan dengan jenaka untuk tutup kesilapan tu. Dari situ saya dah rasakan sesuatu.
Saya pun mendapatkan nombor telefonnya. Bermula dari situlah kami mula berhubungan. Kami kenal sekitar April dan sehingga kini kami dah menjalin hubungan serius kira-kira tiga bulan. Saya melamar BCL kira-kira sebulan selepas saya mengenalinya. Saya tertarik dengan BCL kerana dia memiliki kekuatan diri sendiri, fokus dan wawasannya memajukan diri. Dia sentiasa mencari sesuatu yang lebih besar dalam hidupnya. Saya juga seperti dirinya, sentiasa mencari pembaharuan dalam hidup. Bagi saya, maksud cinta ialah dua insan yang sering bersama untuk kebaikan dan kemajuan diri sendiri. Antara kami saling bantu membantu.Mengenai penerimaan keluarga, mak dan ayah saya sudah berpeluang menemui BCL. Alhamdulillah mak, ayah saya menerima BCL seadanya. Mereka merestui perhubungan kami. Saya sendiri sudah menemui orang tua BCL di Jakarta, Indonesia.
Mereka juga tidak menghalang persahabatan kami dan pada masa sama mereka ingin mengenali saya lebih dalam.Saya akui, perasaan takut apabila menjalin perhubungan dengan BCL memang ada, maklumlah dirinya cantik, popular, dia sering dikaitkan dengan ramai artis lelaki popular. Tapi biasalah, apabila kita dah suka seseorang tu, perasaan begitu memang sentiasa ada. Kita tak pasti lagi sama ada pilihan kita tu betul ke tidak. Bagi saya, saya tak nak fikir benda-benda tu, saya tak kisah. Kehidupan masa lalu, itulah yang menjadikan BCL hari ini. Mungkin apa yang pernah dilaluinya memberinya semangat dan kekuatan yang dia tunjukkan hari ini. Cerita silam BCL, saya tak nak ambil tahu. Yang penting bagi saya, perasaan BCL hari ini dan perancangannya untuk masa depan.
Saya mencintai BCL sepenuh perasaan. Apa-apa cerita negatif mengenai dirinya, saya akan buang jauh-jauh. Apabila saya mengenali BCL, saya nak tahu mengenai dirinya hari ini, bukan sejarah lampaunya. Apabila terbit perasaan cinta, kami mengambil peluang untuk bertemu jika masing-masing ada kelapangan sama ada di sini (Kuala Lumpur) mahupun di Jakarta. Kadang-kadang benda-benda kecil, contohnya kami tengok wayang bersama, rasa macam benda besar sangat, maklumlah bukan senang nak jumpa, jauh! Selepas beberapa pertemuan, akhirnya sekitar Ogos lalu, saya bersama BCL, bercuti di Pulau Bali. Ketika itu BCL ada show di sana dan saya pergi untuk beri sokongan, saya tak pernah lagi tengok dia buat show sebelum ini. Selesai kerja, hari berikutnya kami bercadang ke Pantai Dreamland.
Kami berjalan-jalan di tepi pantai.Saya mengaku, gambar yang tersebar di Internet dan yang disiarkan menerusi Metro Ahad baru-baru ini, adalah gambar saya bersama BCL. Apa yang berlaku, waktu itu petang. Kawan-kawan kami juga ramai di situ. Kami lepak, mandi laut, mandi matahari, bersantai. Waktu yang berlaku itu (bercium) adalah waktu matahari nak terbenam. Kami ke tepi pantai, tengok matahari terbenam. Perasaan ketika itu memang romantik. Rasa macam best sangat, kami berada di Bali, matahari terbenam. Boleh dikatakan, pada ketika itu, saya lupa yang diri ini seorang personaliti. Maka berlakulah perkara itu (bercium). Maklumlah, masing-masing darah muda. Jurugambar yang ambil gambar kami tu pun, kami langsung tak nampak. Ia mungkin dilakukan sekumpulan paparazzi.
Apabila saya dapat tahu gambar itu sudah tersebar, saya terus menghubungi ayah dan mak. Ayah saya minta buatlah apa yang sepatutnya dan bertanggungjawab. Mak saya pun sama, dia minta saya lebih berhati-hati dan bertanggungjawab. Maka, berlakulah sidang akhbar seperti hari ini. Tapi, siapa yang suka kalau kehidupan peribadi kita didedahkan seperti itu. Apabila berlakunya perkara itu, tak siapa yang rasa bangga atau seronok. Memang saya kesal. Sepatutnya saya lebih berhati-hari. Di sini, memang saya ingin meminta maaf kerana saya tahu, gambar yang tersebar itu boleh menyinggung perasaan rakyat Malaysia. Sebelum ini memang saya tidak pernah dikaitkan dengan sebarang kontroversi, tapi apa yang berlaku (bercium) itu tidak terjadi sewenang-wenangnya kerana ia dilakukan dalam satu perasaan yang penuh dengan cinta.
Apa yang saya lakukan, bukan sekadar nak suka-suka, tapi disertai dengan perasaan. Saya tak boleh nafikan perkara itu. Apa yang berlaku ini, saya belajar dari kesilapan. Saya perlu ingatkan diri saya dan bagaimana situasi saya dengan BCL. Ada ramai orang sekeliling dan saya perlu memikirkan sensitiviti pihak lain. Tapi, bagi diri BCL dan keluarganya, mereka di Jakarta, perkara seperti itu biasa. Filem mereka pun ada adegan cium. Tapi, masyarakat di Malaysia lain penerimaannya.
Selepas apa yang berlaku ini, Insya-Allah perhubungan kami akan bertambah kuat. Ini satu rintangan yang harus kita atasi. Apa yang berlaku, saya percaya ada hikmahnya. Saya pernah beritahu BCL, saya serius dengannya. Dia pun sama, serius dalam perhubungan kami. Apabila dua-dua dah serius, kita fokus agar percintaan ini akan disulami dengan perkahwinan. Tapi, seandainya takdir menentukan suatu hari nanti kami hanya jadi kawan baik, saya terima seadanya.
”Info: Ashraf Sinclair
Ashraf Daniel Mohd Sinclair, 28, dilahirkan pada 18 September 1979. Dilahirkan di England, namun sejak berumur tujuh tahun, dibesarkan di Kuala Lumpur. Ashraf berdarah campuran Inggeris di sebelah bapanya dan Melayu (ibu). Dia anak sulung daripada tiga beradik .
Dia memiliki Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dari Oxford Centre for Excellent & Learning di Universiti Oxford, England. Memulakan kerjaya di bidang peragaan seawal usia 17 tahun. Antara komersial TV pernah dijayakannya ialah Petronas (kasut Gombak), Toyota dan Levi’s.
Drama yang pernah dijayakannya termasuklah Gol & Gincu (musim kedua) dan Tak Pernah Ku Sesali, mManakala filem lakonannya - SH3 The Movie dan Gol & Gincu.
Berbakat besar dalam bidang pengacaraan. Namanya semakin melonjak apabila mengacarakan rancangan hiburan bermaklumat, Beat TV bersama Sazzy Falak menerusi Astro Ria. Bagi game show kendaliannya ialah Pritt menerusi RTM. Mulai 22 September ini selama 10 hari, Ashraf akan ke Switzerland mengacarakan Teknologenius untuk dua episod yang akan disiarkan menerusi Astro.
Sumber : Bintang Popular