Sunday, September 16, 2007

Ahmad Idham, Pierre dikawal ketat di Manila


PELUANG mengikuti bersama rombongan produksi filem Jangan Pandang Belakang di Manila adalah pengalaman menyeronokkan. Biarpun menghadapi sedikit masalah untuk mendapatkan makanan halal sepanjang tiga hari berada di sana tetapi melihatkan orang Filipina juga teruja dengan kehadiran filem seram dari Malaysia ini, ia sudah memberi kegembiraan kepada semua peserta rombongan.

Buktinya dilihat sejurus tayangan gala menjelang pembukaan rasmi filem itu dibuat kerana hampir semua wakil media dan warga filem yang dijemput menghadiri majlis itu memuji filem berkenaan, selain penerbit, pengarah dan pelakon filem itu tidak putus-putus diberi ucapan tahniah.Poster filem itu tidak sama seperti mana posternya apabila ia ditayangkan di Malaysia, Singapura atau Brunei kerana imej yang dipaparkan pada kanvas ialah satu makhluk berupa hantu dengan rambut mengurai panjang dan paras muka yang kehitaman pekat.Jangan Pandang Belakang menggunakan judul bahasa Inggeris dengan nama Don’t Look Back.

Ia ditayangkan menerusi 23 pawagam di sekitar Manila. Lebih menarik, ia bukannya menghiasi pawagam kecil tetapi semua pawagam utama yang kebiasaannya menayangkan filem mega dari Hollywood dan Hong Kong.Keceriaan terpancar pada wajah penerbit filem itu, David Teo kerana usaha kerasnya menunjukkan hasil baik apabila melihat reaksi daripada wakil media massa Filipina yang menunjukkan minat untuk mengetahui lebih lanjut produksi angan Pandang Belakang.

“Saya bawa filem ini ke Manila bukan sekadar mahu cari untung peribadi tetapi saya mahu beri sumbangan untuk industri filem kita. Sekarang sudah terbukti filem Melayu juga dapat masuk pawagam di Manila. Filem kita dapat tayang di pawagam besar bukannya dalam televisyen. Filem Melayu akhirnya sudah berjaya sampai ke sini selepas berpuluh tahun kita mencuba. Saya harap ada penerbit filem lain akan mengikut jejak saya ke sini. Selepas ini pula saya mahu cuba pula bawa filem seram, Congkak,” kata David.

Pengarah Ahmad Idham dan pelakon, Pierre Andre sebelum ini langsung tidak dikenali oleh media massa di sana tetapi kehadiran mereka berdua diberi sokongan padu oleh wartawan dan jurugambar di sana. Jadual temu bual mereka bersama stesen televisyen dan radio juga ketat, sesekali Pierre turut merungut kerana terlalu penat akibat rehat tidak cukup.“Penat memanglah penat tetapi apabila tengok mereka sambut baik kita, hilang penat, tidak sangka mereka hargai kedatangan pelakon Malaysia,” kata Pierre ketika kami singgah makan malam di sebuah restoran bernama Penang Hills.Melihat kelibat Ahmad Idham dan Pierre yang diberi kawalan keselamatan ketat, termasuk sentiasa diiringi pengawal peribadi sepanjang mereka menjalankan kegiatan promosi dan menghadiri tayangan gala di Robinson Galleria Movieworld, bagaikan terasa seolah-olah Ahmad Idham dan Pierre bintang filem besar sedangkan di Malaysia pun mereka tidak diberi layanan sebegitu.

Malah, ketika Ahmad Idham dan Pierre berhenti rehat untuk menikmati capuccino di Coffee Bean berdekatan hotel penginapan, Imperial Palace Suites, pengawal peribadi juga mengawasi rapat mereka. Betul-betul macam film star!“Nampaknya ada peluang lagi filem kita selepas ini ditayang di Manila, tengoklah waktu tayangan gala tadi, tidak sangka ramai faham cerita ini, kita boleh tengok ada yang menjerit dan terkejut apabila sampai babak hantu... menjadi juga tahap seram filem ini. Walaupun masyarakat di sini majoritinya Kristian tetapi mereka boleh layan filem macam ini yang ada elemen Islam dan ada ayat suci al-Quran. Saya kira berdakwahlah juga,” kata Ahmad Idham berseloroh dan sesekali ketawa besar apabila wakil media Malaysia memberitahu beliau dilabelkan sebagai Chito Rono Malaysia.

Chito ialah nama seorang pengarah filem seram terkenal di Filipina.Ahmad Idham juga mengadu orang Filipina sukar untuk sebut namanya dan selalu tersasul dengan panggilan ‘Emet Dehem” dan ada juga wartawan di sana memanggilnya dengan nama “Amet Adem” atau “Iham”. Ia berbeza dengan nama Pierre Andre yang lebih serasi sebutannya di kalangan orang Filipina. Sepanjang berada di Manila, promosi yang dibuat untuk filem itu termasuklah menemubual David bersama Ahmad Idham dan Pierre iaitu sesi wawancara di beberapa rangkaian stesen televisyen dan juga radio, antaranya Max FM, Wave 89.1, Mellow Touch, RJ TV 29, Un TV, ANC, GMA 7.

Ada temu bual yang dibuat seawal jam 4 pagi dan juga selewat 7 malam.Walaupun kepenatan, Ahmad Idham dan Pierre bersama wakil media turut diberi peluang untuk berbelanja di sebuah pusat beli terkenal di sekitar Green Hills, selain berkunjung ke Hard Rock Cafe di Makati, Manila. Namun, hasrat peserta rombongan untuk melihat tugu Jose Rizal tidak kesampaian berikutan kesuntukan masa dan pemandu kami, Chris mengaku laluan jalan untuk ke sana selalunya sering mengalami kesesakan lalu lintas.

Kutipan JPB cecah 1.3 juta peso

DALAM tempoh hampir seminggu, berita baik yang diterima Metrowealth ialah apabila kutipan filem itu yang ditayangkan menerusi 23 pawagam di sekitar Manila sudah mencecah 1.3 juta peso atau lebih RM100,000. Perkembangan menarik ini sudah tentu mampu menarik nafas lega penerbitnya kerana cubaan pertama kali nyata membawa hasil yang membanggakan.Biarpun, jumlah itu tidak begitu tinggi ettapi ia memperlihat . Siapa menyangka, filem Melayu juga ada tempat di hati masyarakat Filipina.

David berkata, beliau berpuas hati dengan pencapaian itu dan masih meletakkan sasaran kutipannya mampu mencapai RM1 juta. Katanya, sebaik selesai tempoh tayangan di sekitar Manila, filem itu akan diteruskan tayanganya di wilayah lain di sekitar kepulauan Filipina.“Hari pertama pembukaan, filem ini dapat kutipan lebih RM10,000 dan ia meningkat kepada RM80,000 pada cuti hujung minggu. Seminggu tayangannya kutipannya sudah mencecah RM100,000 atau 1.3 juta peso. Ini perkembangan yang baik dan jumlahnya akan terus meningkat kerana sambutan sehingga hari ini masih ada di beberapa pawagam utama,” katanya.

Sumber : Bintang Popular
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR