Thursday, September 6, 2007

Konsert Mega Aidilfitri gabung baru dan lama


MESKIPUN Hari Raya masih jauh lagi namun sebagai persediaan, bahagian penerbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) awal-awal lagi sudah selesai merakamkan Konsert Mega Aidilfitri.

Diterbitkan oleh Mohd. Yusni Mohamed Ali, program itu telah pun selesai menjalani rakamannya pada 17 Ogos lalu di Auditorium Perdana, Angkasapuri.

Program yang menampilkan 16 artis ternama tanah air itu akan ditayangkan pada 13 Oktober, pukul 8.30 malam menerusi RTM1.

Menurut Mohd. Yusni atau Yus, program yang mengambil masa selama dua jam itu bukan sekadar hiburan tapi ia juga mampu merungkai rindu peminat pada penyanyi-penyanyi kesayangan mereka.

“Berdasarkan konsep itulah, saya sengaja menggandingkan penyanyi baru dan lama. Kemunculan Ramlah Ram dan Liza Hanim yang sudah lama tidak menghasilkan album misalnya mampu memberi ruang untuk mereka mengubati rindu peminat,” kata Yus.

Penonton program ini juga berpeluang mendengar 25 buah lagu daripada artis-artis terlibat.

Lagu-lagu yang didendang bukan sekadar lagu-lagu raya, malah lagu-lagu berkonsep kontemporari juga dipersembahkan.

Tegas Yus, program yang diacarakan oleh pelakon Jasmin Hamid dan penyanyi Nurul itu akan dimulakan dengan medley lagu raya, Menjelang Hari Raya dan Selamat Berhari Raya yang dipersembahkan oleh barisan penyanyi baru.

Mereka yang digandingkan untuk segmen ini ialah Izwan Pilus, Fazli Zainal, Fiq (Juara Mentor 2), Rey (Juara Suara Emas Bintang RTM 2007) dan Shahir (Naib Juara Suara Emas Bintang RTM 2007).

Sementara penyanyi wanita ialah Farawahida, Nita, Zeti (Finalis Suara Emas Bintang RTM 2007) dan Karen Kong.

Jelasnya, setiap penyanyi berpeluang mendendangkan dua lagu iaitu lagu nostalgia raya dan masa kini.

Antara lagu yang diperdengarkan ialah Indahnya Beraya Di Desa (Jaclyn dan Han), Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Dayang Nurfaizah), Kepulangan Yang Dinanti dan Lelaki Ini (Anuar Zain), Ketentuan (Ramlah Ram), Akan (Karen Kong), Bebas (alternatif mix) dan Bersabarlah Sayang (Liza Hanim), Kasih Tercipta (Faizal), Indah Lelapku (Izwan Pilus) dan Selamat Hari Raya (semua artis).
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR